Seorang pemilik BMW yang berpendapatan tinggi menikmati 4 kali lebih subsidi petrol daripada seorang penunggang motosikal berpendapatan rendah.
Menurut kajian Institut Kajian Khazanah baru-baru ini, golongan kaya menikmati sejumlah 80% subsidi minyak yang diperuntukkan untuk isi rumah Malaysia pada 2013.
Angka tersebut menunjukkan betapa terpesongnya sistem subsidi minyak di Malaysia sementara rakyat sedang cuba menyesuaikan diri dengan pengumuman yang skim tersebut akan dihentikan pada 1 Disember.
Bagaimanapun, seorang penganalisis dasar Institut Rakyat berkata, walaupun menstruktur semula sistem subsidi itu langkah yang betul, kerajaan patut terlebih dulu memperkenalkan langkah mengurangkan impak keputusan tersebut terhadap orang ramai.
Kajian tersebut yang digelar "Keadaan Isi Rumah di Malaysia" mendedahkan seorang pemilik BMW yang menggunakan minyak RON95 menikmati subsidi RM22.50 setiap 1,000km.
Manakala seorang pemilik motosikal Honda EX5 pula yang menggunakan RON95, hanya mendapat subsidi RM5 setiap 1,000km.
"Sementara kenderaan motor menjadi lebih mahal, daripada motosikal sehinggalah kereta buatan Jerman, subsidi yang diterima pemilik kenderaan itu bagi setiap 1,000km meningkat dengan drastik," kajian tersebut.
Angka itu dikira menggunakan harga RON95 pada RM2.30 seliter di mana kadar subsidinya ialah 27 sen seliter.
"Subsidi bersifat regresif. Kebanyakan subsidi hanya manfaatkan perniagaan daripada isi rumah.
"Daripada apa yang sampai ke isi rumah pula, golongan berpendapatan tinggi yang paling untung manakala isi rumah yang hanya memiliki motosikal dan kipas siling mendapat kurang subsidi dibandingkan isi rumah dengan beberapa biji kereta dan penghawa dingin di Damansara Heights," kata kajian tersebut.
Kajian tersebut menganggarkan pada 2013, kurang daripada 23.8% atau RM5.6 bilion daripada seluruh subsidi minyak akan digunakan untuk isi rumah.
Selebihnya, sebanyak 76.2% atau RM17.9 bilion, pula pergi ke perniagaan, syarikat dan sumber lain.
Berkenaan subsidi gas melalui Petronas pula, hanya 20% atau RM4 bilion yang sampai ke isi rumah.
Selebihnya, RM16 bilion atau lebih, akan digunakan dalam perniagaan, syarikat dan kegunaan lain.
"Hanya 22% daripada seluruh subsidi tenaga diberikan kepada isi rumah. Secara purata, setiap isi rumah menerima subsidi tahunan RM625 setahun bagi elektrik dan RM885 setahun bagi petrol.
"Tetapi, kebanyakannya dinikmati keluarga yang berpendapatan tinggi, yang menerima 80% daripada subsidi," kata kajian tersebut.
Putrajaya mengumumkan pada 21 November yang ia akan menghentikan subsidi petrol dan diesel bulan depan. Harga RON95 dan diesel akan ditentukan kelak mengikut kawalan pengapungan.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata keputusan itu akan menjimatkan kerajaan antara RM10 hingga RM20 bilion yang kemudiannya akan disalurkan bagi memperbaiki pembangunan pedalaman, pendidikan dan sektor kesihatan.
Kajian Khazanah itu juga mengatakan subsidi mewujudkan gangguan dalam ekonomi dan mendatangkan kerugian besar dalam ekonomi, atau pembaziran.
"Wang yang dibelanjakan untuk subsidi lebih baik digunakan dalam sektor lebih produktif yang meningkatkan pertumbuhan ekonomi atau projek pembangunan yang lebih fokus kepada membantu golongan lemah," kata kajian tersebut.
Dibandingkan dengan satu subsidi untuk semua, laporan tersebut mengatakan, pemberian wang adalah cara paling efektif membantu golongan lemah.
Pengarah eksekutif Institut Rakyat Yin Shao Loong bagaimanapun berkata, kerajaan sepatutnya sudah meletakkan mekanisma menghadang kesan daripada keputusan tersebut sebelum mengumumkan pemberhentian subsidi secara mengejut.
Ini kerana peningkatan harga minyak selalu digunakan sebagai alasan pihak peniaga meningkatkan harga barangan dan perkhidmatan, sama ada wajar atau tidak.
"Cara bagaimana kerajaan memperbaharui sistem subsidi menghasilkan inflasi yang mendadak. Kerajaan kemudiannya memberi amaran kepada peniaga supaya tidak meningkatkan harga, namun tiada sebarang tindakan penguatkuasaan dibuat kementerian,” katanya,
Yin berkata walaupun pemberian wang bersasaran adalah lebih efisyen daripada subsidi, kerajaan masih tidak mempunyai rancangan menyeluruh bagi meningkatkan pendapatan isi rumah.
Buat masa kini, median pendapatan isi rumah berada pada RM4,600, bermakna setengah daripada isi rumah rakyat Malaysia berpendapatan lebih rendah daripada batasan pertengahan itu.
Hampir setengah daripada mereka yang berada di bawah median pendapatan ini layak menerima pemberian wang melalui Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang diberikan kepada keluarga berpendapatan kurang RM4,000 sebulan.
"Pada dasarnya, hampir setengah isi rumah Malaysia masih bergelut dalam menyara kehidupan," kata Yin.
"Jadi apa rancangan jangka panjang kerajaan bagi mengeluarkan mereka dari terus berada dalam kategori itu?"
Program Transformasi Ekonomi, diumumkan Putrajaya sebagai strategi melakukan pembaharuan ekonomi, masih lagi meneruskan sistem yang menghasilkan barangan berkualiti rendah bagi bayaran upah yang rendah, katanya. – 23 November, 2014.
Memang le yg pakai BMW tu dapat lebih subsidi pasal dia bayar cukai. Kajian itu juga tidak memikirkan mereka yang membayar cukai dan mempunyai tanggungan yang tinggi sbg contoh yg mempunyai anak ramai. Setakat kajian yg menghalalkan cara utk menyokong kerajaan apa gunanya? Saya sokong cadangan Yin tu!
ReplyDelete