Friday, November 14, 2014

PAS Terus Bergolak, PasMa mesyuarat pertama malam ini di sebalik ejekan ‘jebon’ oleh pro-ulama

Logo profil Facebook El Haraki, laman pro-ulama PAS yang kerap menghentam pemimpin PasMa. – 14 November, 2014.

Menjelang mesyuarat penuh pertama Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) malam ini, hubungan kumpulan ini dengan parti induk mereka, PAS, terus mendapat perhatian menjelang pemilihan pucuk pimpinan parti Islam itu pertengahan tahun depan.

Pihak paling tidak senang dengan mereka adalah para penyokong Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, khasnya golongan pro-ulama dalam parti itu.




Walaupun Presiden PasMa, Datuk Phahrolrazi Zawawi berkata pihaknya tidak akan terlibat dengan pemilihan PAS, namun cakap-cakap di bawah semakin terang bahawa kumpulan ini bakal menjadi kumpulan pendesak ke arah perubahan pucuk pimpinan parti itu agar lebih pro-Pakatan Rakyat (PR).

"Kami sebagai sebuah badan bukan kerajaan (NGO) tidak akan terlibat dengan pemilihan parti. Tugas kami ialah memperkukuhkan PR. Pemilihan dalam PAS terserahlah kepada perwakilan," kata Phahrolrazi.

PasMa yang ditubuhkan secara rasmi 10 Ogos lalu meraikan sambutan 100 hari pertamanya 20 November ini.

Pertemuan pertama diadakan pada 31 Ogos lalu di Perpustakaan Az Zahra, Kota Bharu.

Selepas hampir 100 hari bergerak dan menubuhkan cawangan di seluruh negara, PasMa akan mengadakan mesyuarat penuh perwakilan pertamanya di sebuah hotel dekat Petaling Jaya malam ini.

Ini merupakan mesyuarat pertama yang lengkap selepas jawatankuasa peringkat negeri ditubuhkan.

"Kita jangka antara 120 hingga 150 perwakilan dan pemimpin dari seluruh negara akan menyertai mesyuarat ini," kata Setiausaha Agung PasMa, Mohd Taib Ahmad.

PasMa ditubuhkan ketika krisis PR ekoran usaha PKR mahu menukar bekas menteri besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Melalui krisis ini, pemimpin PAS dilihat berpecah dua antara yang pro-PR dan pro-ulama dan lebih senang bersendiri.

Walaupun ia reda pada 23 September lalu selepas Mohamed Azmin Ali mengangkat sumpah jawatan sebagai menteri besar Selangor yang baru, PAS terus bergolak sehingga kini.

Sebahagian pemimpinnya menunding jari kepada PasMa sebagai pihak yang bersalah, namun PasMa bertegas mereka hanya sebuah NGO yang mahu memperkukuhkan Pakatan.

Pemimpin PasMa dan PAS yang dilihat menyokong mereka dilabelkan sebagai "Jebon", nama yang digunakan untuk memburukkan seseorang atau sesebuah kumpulan perosak.

Kempen dibuat oleh kumpulan pro-ulama termasuk di dinding laman sosial Facebook El-Haraki dan mengajak ahli PAS menghalau para pemimpin ini dari PAS.

Laman tersebut bukan sahaja menghentam para pemimpin PAS yang pro-PasMa bahkan meletakkan logo anti-PasMa sebagai gambar profilnya.

Antara tokoh PAS dilabelkan sebagai Jebon adalah Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, Naib Presiden Datuk Husam Musa, Mohamed Hanipa Maidin, Bendahari Asmuni Awi dan ramai lagi.

Phahrolrazi, yang namanya turut dilabelkan "jebon", tetap bertegas: "Tujuan utama mesyuarat ini bagi membuat penyelarasan  pentadbiran dan tidak akan campur tangan dalam pemilihan PAS."

Namun Taib, setiausaha agung PasMa, tidak menolak isu ini dibincangkan dalam mesyuarat malam ini jika ada usul dari mana-mana perwakilan.

"Kalau ada usul, kita akan bincangkan. Yang pasti kenyataan (Setiausaha Agung DAP) Lim Guan Eng tentang presiden PAS tidak hadir mesyuarat PR itu kita akan bincang," kata Taib kepada The Malaysian Insider.

Menurut Taib, 100 hari pertama PasMa adalah sesi berkenalan dan pelantikan semua pejawatnya.

"Peringkat taaruf (pengenalan) telah selesai. Selepas ini kita akan merancang program-program besar untuk PasMa termasuk makan malam dan dialog dengan NGO lain," katanya yang turut memaklumkan PasMa sepanjang tempoh tersebut mengadakan 16 program.

Sebuah "retreat" diadakan PAS hujung minggu lalu di Kuala Selangor antaranya bersetuju agar parti itu perlu berhubung dan berdialog dengan pemimpin PasMa.

"Kami dihubungi Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub yang mahu mengadakan pertemuan dengan kami. Ia  akan diadakan hujung bulan ini di Kuala Lumpur," kata Phahrolrazi mengulas hasil "retreat" itu. – 14 November, 2014.
f

No comments:

Post a Comment