KL CHRONICLE: Kini Bekas pembantu Khalid Ibrahim dakwa Twitter digodam selepas ‘pengakuan’ pampasan

Friday, November 28, 2014

Kini Bekas pembantu Khalid Ibrahim dakwa Twitter digodam selepas ‘pengakuan’ pampasan



Bekas Setiausaha Akhbar Tan Sri Khalid Ibrahim buat pertama kali tampil secara terbuka mengaku menerima pampasan sebanyak RM478,000 dan sedia disiasat sama ada terlibat dalam penyelewengan dana Perbadanan Menteri Besar (MBI).

Mengemukakan beberapa bukti dokumen di laman sosial Twitter, Arfa'eza Abdul Aziz berkata, pampasan kepada dirinya dan 7 bekas rakan sejawatnya yang lain itu munasabah.



"Saya akui terima sejumlah RM478k & Cik Faekah RM695k. Saya tegaskan jumlah yang diterima pegawai-pegawai lain juga munasabah," katanya merujuk kepada Faekah Husin, bekas ketua pegawai eksekutif MBI.

"Saya mengalu-alukan siasatan terbuka oleh mana-mana pihak; saya yakin ia adalah proses yang telus," katanya lagi menerusi akaun Twitternya.

Namun tidak sampai seminit kemudian, beliau menafikan memuat naik pesanan Twitter tersebut, sebaliknya mendakwa akaunnya digodam pihak tidak bertanggungjawab.

"Twitter saya diceroboh. Tweet di bawah bukan daripada saya! Manipulasi Twitter ini kerja orang pengecut!"

Tiga kenyataan mengenai pampasan MBI sebelum itu juga dilihat dipadamkan.

The Malaysian Insider sebelum ini melaporkan, Faekah didakwa menerima RM581,400 sebagai pampasan dan RM114,000 sebagai ganti kepada notis tiga bulan, manakala Arfa'eza menerima pampasan RM358,000 dan RM55,000 ganti kepada notis tiga bulan dan Setiausaha Politik Mustapa Mohd Talib menerima RM265,000.

Pembantunya yang lain didakwa dibayar antara RM97,000 dan RM230,000 masing-masing sebagai pampasan dan di antara RM18,000 dan RM69,000 sebagai ganti kepada notis tiga bulan mereka.

Khalid menafikan sebarang salah laku, mengatakan beliau mengikut prosedur yang betul dan bayaran tersebut dibuat mengikut Skim Pemisahan Sukarela (VSS) yang ditawarkan kepada pembantunya apabila beliau meletakkan jawatan.

Dalam menjawab persoalan mengenai rasional pembayaran tersebut, Khalid berkata bayaran VSS tersebut hanya kurang 2% daripada rizab MBI yang berjumlah RM112 juta.

Beliau berkata, bayaran tersebut diluluskan ahli lembaga pengarah MBI, termasuk setiausaha kerajaan negeri dan pegawai kewangan negeri, serta exco kerajaan negeri. 

No comments:

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget