KL CHRONICLE: Amaran tidak cukup, pecat penjawat awam terlibat dalam Laporan Ketua Audit Negara

Wednesday, November 12, 2014

Amaran tidak cukup, pecat penjawat awam terlibat dalam Laporan Ketua Audit Negara



Bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin menggesa Putrajaya memecat penjawat awam yang terlibat dalam ketirisan yang didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara baru-baru ini.

Beliau berkata, tindakan memberi amaran sahaja tidak menyelesaikan masalah, sebaliknya kerajaan perlu tegas membuang mereka bagi memberi contoh terbaik supaya berdisiplin.



"Amaran-amaran ini tidak boleh, buat salah terus sahaja tendang keluar. Kamu (kerajaan) perlu lakukan. (Dengan) memecat, dapat beri contoh.

"Mereka perlu berdisiplin, bila tidak berdisiplin, ini masalahnya. Mereka tidak kisah," kata beliau kepada media selepas merasmikan buku berjudul “The Colour of Inequality” di Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (Istac), Kuala Lumpur hari ini.

Katanya, pendedahan yang dibuat saban tahun melibatkan kebocoran wang negara menunjukkan mereka tidak peduli dan bimbang walaupun berkali-kali diberi amaran.

"Sejuta, dua juta mereka buat tak faham. Buang terus. Kenapa perlu simpan? Kalau mahu jujur, tendang mereka," katanya.

Semalam, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) terkejut kerana lebih banyak kementerian ‎bakal dipanggil jawatankuasanya berhubung Laporan Ketua Audit Negara 2013 Siri 3 yang baru didedahkan.

PAC akan memanggil 13 kementerian dan dua agensi berdasarkan kepada laporan tersebut dan ‎prosiding dijangka bermula pada sesi Dewan Rakyat akan datang.

Antara kementerian yang akan dipanggil segera adalah Kementerian Pendidikan berhubung program 1Bestarinet dan Kementerian Kesihatan bagi pembinaan hospital di Shah Alam.

Laporan Audit Negara mendapati projek 1Bestarinet yang bernilai ‎RM663 juta mempunyai tahap penggunaan yang sangat rendah.

Laporan itu men‎yatakan penyambungan Internet ke 4,176 tapak pengguna lewat disiapkan, antara 12 ke 439 hari dari tempoh pelaksanaan yang ditetapkan.

Tambahan, tiada lanjutan masa dilakukan dan kontraktor tidak dikenakan denda lewat sejumlah RM2.4 juta.

Bagi prosiding kategori program, PAC bakal memanggil Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat.

Sementara itu, PAC juga sudah menghantar surat teguran pengesahan penyata kewangan 2013 dikenakan terhadap Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, Finas, Lembaga Pembangunan Seni Visual, Lembaga Wakaf Hindu Penang, Perbadanan Aset Keretapi, dan Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana.

No comments:

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget