Ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) Iszuree Ibrahim yang digantung tugasnya selepas mengkritik kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Pulau Pinang semasa berucap di Muktamar PAS ke-60 baru-baru ini tetap bertegas tidak akan memohon maaf kepada Ketua Menteri Lim Guan Eng, lapor Utusan Malaysia hari ini.
Menurut akhbar itu, Iszuree mengatakan beliau diberi dua pilihan iaitu memohon maaf atau disingkirkan jawatannya dalam MPPP.
"Ya, perkara itu merupakan keputusan mesyuarat melibatkan pemimpin PAS negeri dengan DAP, namun saya kekal dengan pendirian untuk tidak memohon maaf kerana saya membangkitkan perkara yang betul," katanya seperti dilaporkan Utusan Malaysia hari ini.
Semalam, mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (exco) memutuskan tidak akan melaksanakan pemecatan Iszuree sehingga satu perbincangan dibuat bersama beberapa pihak lain termasuk Ahli Majlis MPPP walaupun beliau melanggar etika.
Menurut Utusan Malaysia, Iszuree bagaimanapun digugurkan daripada menganggotai mana-mana jawatankuasa kecil MPPP manakala peruntukan akan disalurkan kepada seorang lagi ahli majlis daripada PAS, Mhd Nasir Yahya.
Iszuree memberitahu Utusan Malaysia beliau kecewa dengan sikap sesetengah pemimpin PAS Pulau Pinang yang lebih cenderung memihak kepada DAP berbanding dirinya.
"Ada pemimpin utama PAS negeri meminta saya memohon maaf kepada Ketua Menteri Lim Guan Eng tetapi saya tidak akan berbuat demikian," katanya kepada akhbar milik Umno itu.
Iszuree, bendahari PAS negeri mengkritik kerajaan negeri Pulau Pinang berhubung masalah tanah penduduk tempatan ketika berbahas di Muktamar PAS pada 19 September.
Ikatan antara PAS Pulau Pinang dan kerajaan negeri semakin goyah apabila rakan ahli majlis Iszuree dalam MPPP juga mahu beliau disingkirkan.
Satu delegasi yang diketuai Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa bertemu Lim untuk memperbaiki ikatan antara mereka pada 2 Oktober.
Mujahid kemudiannya berkata, parti itu bertanggungjawab terhadap kritikan Iszuree.
Katanya, PAS mahu menyelesaikan perkara itu secara aman untuk memastikan PR kekal bersatu dan mampu mengekalkan kepercayaan rakyat. – 9 Oktober, 2014.
No comments:
Post a Comment