Saturday, October 4, 2014
Mana hilangnya ketua pengarah Majlis Sukan Negara? @khairykj
Sudah menjadi tradisi setiap kali tamat kejohanan besar seperti temasya Sukan Asia, ketua pengarah Majis Sukan Negara (MSN) akan mengadakan sidang media khas bagi mengulas pencapaian kontinjen negara sepanjang kejohanan berlangsung.
Namun berbeza kali ini, apabila kelibat 'orang kuat MSN itu' serta pegawai kanannya tidak kelihatan, sebaliknya hanya Ketua Kontinjen negara, Datuk Danyal Balagopal Abdullah berani tampil memberi ulasan pencapaian atlet negara di Incheon.
Kebanyakan media Malaysia yang membuat liputan di temasya Sukan Asia ke-17 meluahkan rasa pelik apabila melihat sikap berbeza Datuk Seri Zolkples Embong seolah-olah melarikan diri apabila bertembung media di venue kejohanan.
Keadaan tersebut menimbulkan pelbagai andaian sama ada ketua pengarah MSN itu 'melarikan diri' atas kegagalan di Incheon dan Sukan Komanwel 2014 di Glasgow, Scotland pada Ogos lepas ataupun pengumuman Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin untuk membuat rombakan besar-besaran dalam MSN mengganggu fikirannya.
Apapun bentuk andaian dibuat sekalipun hanya 'tuan milik badan' yang mengetahui keadaan sebenar.
Danyal berkata beliau ada menjemput Zolkples bersamanya hari ini, namun ketua pengarah MSN itu menolak tanpa menyatakan alasan.
"Saya tak tahu kenapa Datuk Zol (Zolkples) tidak mahu hadir hari ini walaupun saya memberitahu bahawa media Malaysia membuat permintaan untuk mengadakan sidang media hari ini," katanya.
Beliau berkata mungkin Zolkples mempunyai urusan lain yang lebih penting untuk diselesaikan hari ini.
Danyal berkata ketua pengarah MSN itu turut memberitahunya bahawa beliau tidak dapat hadir pada majlis penutup kejohanan di Stadium Utama Asiad Incheon kerana tidak membawa pakaian rasmi kontinjen negara.
Malaysia gagal mencapai sasaran lapan pingat emas seperti yang diletakkan sebelum ini apabila menamatkan cabaran di Incheon di tempat ke-14 dengan membawa pulang lima pingat emas, 14 pingat perak dan 14 pingat gangsa.
Sepanjang penyertaan di Sukan Asia, kontinjen Malaysia meraih empat pingat emas di Hiroshima, Jepun (1994), lima emas di Bangkok, Thailand (1998), enam emas di Busan, Korea Selatan (2002), lapan emas di Doha, Qatar (2006) dan sembilan emas di Guangzhou, China (2010) yang juga adalah pencapaian terbaik negara. – Bernama, 4 Oktober, 2014.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
anak omak bwk sial pada sukan negara!!
Post a Comment