Monday, September 1, 2014
Pulak Dah, kini @cmlimguaneng sifatkan anggota PPS ditahan polis sebagai ‘wira’
Seramai 156 anggota Pasukan Peronda Sukarela (PPS) Pulau Pinang yang ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika perbarisan Hari Kemerdekaan di negeri itu semalam adalah "wira masyarakat," kata Ketua Menteri, Lim Guan Eng.
Lim berkata, perkara itu diputuskan selepas mesyuarat tergempar anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dan disokong 30 ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pakatan Rakyat (PR) di Pulau Pinang.
"Keputusan mesyuarat menganggap semua 156 anggota PPS yang ditahan adalah wira masyarakat Pulau Pinang kerana ditahan bukan kerana melakukan sesuatu yang menyalahi undang-undang tetapi kerja amal yang baik," kata Lim melalui satu kenyataan kepada media hari ini.
Beliau turut mengecam Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar kerana menyalahguna kuasanya mengarah tangkapan besar-besaran PPS semasa mereka menghadiri perarakan tahunan sambutan kemerdekaan di Padang Kota Lama itu.
Antara yang ditahan termasuk Exco Kebajikan Masyarakat dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh yang dipertanggungjawabkan menguruskan hal ehwal PPS.
Setiausaha Agung DAP itu berkata mesyuarat hari ini turut mempertahankan penubuhan PPS dan menegaskan ia badan sah serta diluluskan exco negeri pada 8 April 2009.
"Cara PPS diluluskan adalah sama dengan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) yang ditubuhkan kerajaan negeri ataupun JKKK(P) yang ditubuhkan oleh kerajaan persekutuan selepas pilihanraya umum 2008.
"Matlamat PPS adalah membantu semasa bencana dan kecemasan serta memberikan segala bantuan kepada pihak polis jika diperlukan," kata Lim, sambil menambah penyertaan PPS tidak mengira kaum, agama atau latar belakang.
Keanggotaan PPS pada masa ini ialah seramai 9,002 orang, termasuk 2,970 Melayu (33%), 5,123 Cina (57%) dan 873 India (10%).
"Sejak kelulusan penubuhan PPS, mereka menjalankan tugas mereka dengan baik dengan restu pihak polis.
"Selama empat tahun ini, PPS tidak menghadapi sebarang masalah dengan pihak polis kecuali satu dua insiden yang telah pun diambil tindakan disiplin oleh kerajaan negeri dan hukuman oleh mahkamah," katanya.
Kerajaan negeri juga, tegasnya, memberi jaminan akan mengambil tindakan keras ke atas perlakuan tidak berdisiplin atau bersifat jenayah oleh anggota PPS.
Lim berkata, mesyuarat exco hari ini turut menolak dakwaan Khalid PPS adalah pertubuhan haram dan ahli PPS samseng, dan menyifatkannya satu "hasutan dan fitnah jahat".
Selain itu, semua anggota PPS yang ditahan akan diberikan bantuan kewangan RM200 sehari sepanjang tempoh penahanan, kata Lim.
"Kami akan menyediakan bantuan guaman dan kewangan untuk membantu 156 ahli PPS dan Phee yang ditahan polis, untuk menghadapi proses perundangan mahkamah.
"Setiap anggota PPS yang ditahan akan diberi sumbangan RM200 untuk setiap hari dia ditahan serta apa-apa kerugian munasabah yang dialami semasa dalam tahanan," katanya.
Kerajaan negeri juga akan melantik peguam pembela serta berusaha membuktikan kesahihan PPS.
Lim, bagaimanapun berkata, kerajaan negeri memutuskan untuk merehatkan anggota PPS daripada semua aktiviti di Pulau Pinang sehingga keputusan mahkamah dibuat mengenai kesahihannya.
Beliau turut mendesak polis membebaskan semua 135 anggota PPS dan tidak menganiayai mereka dengan perintah reman. Seramai 21 yang lain dibebaskan dengan jaminan polis awal pagi ini. – 1 September, 2014.
No comments:
Post a Comment