Penerbangan Malaysia Airlines MH198 yang sedang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Hyderabad, India, terpaksa berpatah balik selepas berlepas malam tadi kerana masalah teknikal.
Dalam satu kenyataan, syarikat penerbangan nasional itu berkata pusingan tersebut dilakukan sebagai langkah keselamatan.
"Isu teknikal tersebut tidak memberi sebarang impak kepada keselamatan pesawat ataupun penumpang," kata MAS.
MH198 mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 2.01 pagi ini. Ia berlepas pada jam 10.20 semalam.
MAS berkata penumpang diberikan tempat penginapan di hotel berhampiran dan dijangka akan berlepas tengah hari ini.
"MH198 dijadualkan beroperasi sekali lagi sebagai MH198D dan akan berlepas dari Kuala Lumpur pada tengah hari."
"Penerbangan akan tiba di Hyderabad pada 1.35 hari ini," kata kenyataan tersebut.
MAS meminta orang ramai supaya tidak membuat spekulasi tentang punca patah balik MH198 supaya mengelak rasa tidak selesa penumpang.
Penerbangan nasional itu belum lagi mendedahkan masalah teknikal yang menyebabkan MH198 berpatah balik ke Kuala Lumpur.
Ia merupakan tahun yang amat buruk bagi penerbangan tersebut, dengan kehilangan MH17 dan MH370 sebelum ini.
MH370 berlepas dari Kuala Lumpur pada 8 Mac menuju ke Beijing apabila ia hilang.
Tiada berita tentang 12 anak kapal dan 227 penumpangnya sejak pesawat itu hilang daripada radar.
Pada 17 Julai, 15 anak kapal dan 283 penumpang terkorban apabila MH17 ditembak oleh peluru berpandu darat.
MH17 berlepas dari Amsterdam menuju ke Kuala Lumpur dan terhempas di timur Ukraine. – 14 September, 2014.
No comments:
Post a Comment