@anwaribrahim degil tetap mahu isteri jadi Menteri Besar Selangor |
Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini menafikan sekeras-kerasnya dakwaan beliau adalah calon tunggal yang dinamakan untuk memegang jawatan itu selepas Pilihan Raya Umum ke-13 pada tahun lalu, berbeza dengan dakwaan yang dibuat PKR dan DAP malam tadi.
"Cerita ini tidak dilaporkan dengan baik dan jujur. Ada juga keadaan di mana permohonan berasingan dibuat PKR dan PAS pada 2008 dan juga 2013," katanya pada sidang media hari ini.
"Bukan hanya satu nama...ada lebih satu nama yang dicadangkan dari masa ke masa kepada istana," katanya.
Malam tadi, PKR dan DAP berkata, mereka hanya akan menghantar satu nama saja iaitu Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk dicalonkan sebagai menteri besar walaupun Sultan Selangor menitahkan Pakatan Rakyat (PR) menghantar lebih dua nama calon daripada setiap parti.
Ia adalah amalan sebelum ini iaitu pada 2013 apabila Sultan Selangor meminta 4 nama calon menteri besar.
PKR dan DAP semalam berkata, PR sebelum ini mencalonkan satu nama iaitu Khalid untuk dipertimbangkan pada 2013, dan cara itu diperkenankan Sultan Selangor.
"Oleh demikian PKR dan DAP menjunjung titah tuanku dan akan mempersembahkan pencalonan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail kepada Sultan Sharafuddin sejajar dengan konvensi yang diamalkan PR pada tahun lalu," kata Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua.
Namun Khalid menepis dakwaan itu dan berkata, PR sebelum ini mematuhi kehendak istana apabila memberikan lebih daripada satu nama sebagai calon tambahan tetapi dalam surat yang berbeza.
"Tidak ada yang dikatakan satu nama, sebab persetujuan dengan pihak istana adalah lebih daripada satu nama utnuk diserahkan kepada pihak mereka," katanya.
Khalid berkata, pihaknya difahamkan istana akan menghantar surat kepada PKR, PAS, dan DAP untuk menghantar nama calon pada hari ini.
"Saya difahamkan surat sudah dihantar pada hari ini. Jadi saya mengharapkan pihak istana tidak menghantar salinan kepada saya. Itu sahaja.
"Sebab saya tidak mahu tahu apa-apa juga informasi," katanya.
Pesuruhjaya PAS Selangor, Iskandar Abdul Samad berkata setakat ini pihaknya masih belum membuat keputusan untuk memberikan nama calon lain memandangkan PKR dan DAP hanya memberikan satu nama sahaja.
Katanya, isu penamaan calon akan dibincang dan ditentukan di peringkat PAS Pusat dalam minggu ini.
"Itu akan ditentukan oleh PAS Pusat selepas meminta pandangan kami (PAS Selangor)," katanya.
Exco Selangor itu berkata, pihaknya akan mengadakan mesyuarat dengan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali bagi membincangkan mengenai isu pencalonan menteri besar.
"Saya akan bagi komen selepas mesyuarat," katanya yang enggan mendedahkan butiran pendirian PAS mengenai isu itu.
Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pagi tadi mempertahankan pendirian PKR dan DAP yang mahu menghantar nama Dr Wan Azizah sahaja dan berharap PAS juga akan menyokong.
"Ini adalah kerusi PKR dan keputusannya kita perlu hormati kerjasama ini. PAS menyertai proses membuat keputusan dalam mesyuarat Majlis Presiden Pakatan pada 17 Ogos," katanya ketika ditemui pemberita di Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur.
No comments:
Post a Comment