Tuesday, June 17, 2014

Suami Nurul Izzah diarah failkan penyata pembelaan berhubung hak jagaan anak


Mahkamah Tinggi Syariah di Kuala Lumpur mengarahkan Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim (gambar), suami Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar, memfailkan penyata pembelaan berhubung permohonan hak penjagaan anak (hadanah) yang difailkan isterinya.



Hakim Syarie Amran Mat Zain turut mengarahkan Raja Ahmad Shahrir Iskandar memfailkan tuntutan balas selepas beliau tidak bersetuju dengan tuntutan yang dikemukakan Nurul Izzah.

Beliau membuat keputusan itu selepas menemui pihak-pihak berkenaan ketika kes disebut di dalam kamarnya hari ini.

Mahkamah kemudian menetapkan 27 Ogos ini untuk sebutan bagi Raja Ahmad Shahrir Iskandar selaku defendan memfailkan penyata pembelaan dan tuntutan balas itu.
Peguam Azmi Mohd Rais yang mewakili Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim memberitahu pihaknya perlu memfailkan perkara itu sebelum atau pada tarikh berkenaan.

Beliau memberitahu anak guamnya itu hanya hadir pada prosiding menyempurnakan wakalah pelantikan peguam secara rasmi. Bagaimanapun anak guamnya itu tidak menunggu sehingga selesai kerana kurang sihat.

Nurul Izzah, bagaimanapun turut tidak hadir.

Pada 30 April lepas, Nurul Izzah, 34, yang diwakili peguam Nor Mawaddah Ramli memfailkan tuntutan itu dan menyerahkan dokumen berkaitan kepada peguam dan defendan pada 24 Mei lepas.

Nurul Izzah, yang juga naib presiden PKR, memfailkan permohonan hadanah itu mengikut Seksyen 81 Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984.

Anak sulung Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim itu memfailkan permohonan cerai terhadap suaminya mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984, pada awal Januari lepas.

Seksyen itu juga menyentuh pembubaran perkahwinan yang memperuntukkan perceraian dengan talak atau dengan perintah mahkamah.

Nurul Izzah dan Raja Ahmad Shahrir Iskandar berkahwin pada 9 Mei 2003 dan dikurniakan seorang anak perempuan berumur tujuh tahun dan seorang anak lelaki berusia empat tahun.

No comments:

Post a Comment