Friday, June 6, 2014

Rogol teman wanita, remaja dikenakan lapan sebatan

Akibat merogol teman wanita remaja, seorang pelajar sebuah kolej hari ini dikenakan lapan kali sebatan ringan di hadapan ibu bapanya di Mahkamah Sesyen Ampang di sini selepas dia mengaku bersalah.




Ainur Asyriq Aizamuddin, 19, disebat menggunakan rotan di dalam mahkamah oleh dua pegawai dari Penjara Kajang di hadapan Hakim Manira Md Nor.

Pelaksanaan hukuman itu turut dihadiri beberapa pegawai penjara dan doktor perubatan serta orang awam di galeri awam termasuk wartawan.

Sebelum sebatan dilaksanakan, Manira menasihatkan remaja itu agar hukuman yang bakal dijalaninya mampu memberi pengajaran.

"Saya harap dengan sebatan ini, ia dapat beri pengajaran kepada kamu, kesalahan rogol memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, tetapi selepas mahkamah mengambil kira faktor umur dan latar belakang, mahkamah jatuhkan hukuman sebatan ringan dan perintah kehadiran wajib," katanya.

Manira turut menasihatkan ibu bapa pesalah muda terbabit supaya dapat mengawal pergerakan sosial anaknya.

Pada 13 Dis tahun lepas, Ainur Asyriq didakwa terhadap dua pertuduhan merogol teman wanitanya yang ketika itu berusia 15 tahun di sebuah rumah di Ampang Jaya dekat sini pada jam 9 pagi, 29 Nov 2013 dan jam 4 petang, 7 Dis 2013.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 20 tahun dan sebat.

Pada 14 Mei lalu, Manira memerintahkan tertuduh menjalani perintah kehadiran wajib empat jam sehari selama tiga bulan mengikut Seksyen 5 (1) Akta Kehadiran Wajib 1954 serta bon bercagar RM6,000 dengan seorang penjamin bagi pertuduhan pertama yang dihadapi Ainur Asyriq.

Bagi pertuduhan kedua, mahkamah menjatuhkan lapan kali sebatan ringan terhadap tertuduh di bawah Seksyen 293 (1)(c) Kanun Tatacara Jenayah yang dijalankan hari ini.

Ketika sebatan dijalankan, Ainul Asyriq yang pada mulanya kelihatan tenang berubah wajah menahan kesakitan ketika sebatan memasuki bilangan ketiga hingga seterusnya.

Selesai menjalani sebatan itu, Manira menasihatkan Ainur Asyriq agar berubah

"Itu baru sebatan ringan, kalau sebatan biasa 10 kali ganda... saya harap awak berubah," katanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Goh Ai Rene manakala Ainur Asyriq diwakili peguam Farhan Read dan Dony Abdullah.


No comments:

Post a Comment