KL CHRONICLE: Kawasan pencarian baharu #MH370 diumum Khamis ini

Tuesday, June 24, 2014

Kawasan pencarian baharu #MH370 diumum Khamis ini


Kawasan pencarian baharu pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 yang hilang pada 8 Mac lalu akan diumumkan pada Khamis, kata pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata pengumuman itu akan dibuat oleh Australia.



"Selepas berbincang dengan rakan sejawatan dari Australia dan China, kami akan mengumumkan kawasan pencarian baharu pada Khamis.

"Ini sesuatu yang telah kami lakukan ketika meninjau dan berbincang dengan pakar-pakar dari seluruh dunia.

"Ia adalah perbincangan dan pengumuman yang akan dibuat dengan persetujuan tiga negara - Australia, China dan Malaysia," kata beliau.

Hishammuddin berkata demikian kepada pemberita selepas perasmian Terminal klia2 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di sini hari ini.

Penerbangan MH370, bersama 227 penumpang dan 12 anak kapal yang dalam penerbangan ke Beijing, China, hilang daripada imbasan radar pada 8 Mac, sejam setelah berlepas dari Lapangan terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam.

Pesawat itu sepatutnya tiba di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.

Gerakan mencari membabitkan pelbagai negara dikerah untuk menjejaki pesawat Boeing 777-200 itu, mula-mula di Laut China Selatan dan kemudian di selatan Lautan Hindi apabila maklumat menyatakan bahawa MH370 telah melencong daripada laluan asal.

Analisis data satelit menunjukkan bahawa kedudukan terakhir pesawat ialah di tengah-tengah Lautan Hindi.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pada 24 Mac bahawa Penerbangan MH370 dipercayai telah "berakhir di selatan Lautan Hindi".

Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan memberi jaminan bahawa gerakan mencari pesawat malang MH370 itu akan diteruskan.

"Australia, China dan Malaysia bekerjasama dengan pakar-pakar dan amatlah sukar bagi orang untuk mendakwa bahawa ada konspirasi atau menyembunyikan maklumat daripada pengetahuan umum," kata beliau.

Mengenai bayangan Najib mengenai rombakan kabinet dengan pelancaran klia2 bakal menjadi majlis rasmi terakhir beliau sebagai pemangku menteri pengangkutan, Hishammuddin berkata beliau sedia menggalas tanggungjawab untuk terus menyelaras pencarian MH370.

Namun begitu, beliau berkata ia bergantung kepada prerogatif perdana menteri.

"Muka saya sinonim dengan MH370. Negara-negara di Timur Tengah menggelar saya sebagai Menteri MH370.

"Kalau diminta untuk terus memantau, menentu hala tuju dan menyelaras (pencarian) MH370, saya sanggup memikul tanggungjawab itu.

"Ia tidak menimbulkan apa-apa masalah kerana kita semua berada dalam satu kerajaan dan tanggungjawab yang kita pikul ini tidak berkisar pada satu kedudukan jawatan sahaja tetapi bergantung kepada perdana menteri.

"Sekiranya perdana menteri ingin saya memberi fokus kepada Kementerian Pertahanan dan pada masa yang sama memikul tugas pencarian MH370, itu satu perkara yang boleh saya tangani," katanya.

Sementara itu, Hishammuddin berkata beliau sedia melepaskan jawatan Menteri Pengangkutan sejak hari pertama beliau menggalas tugas tersebut.

Katanya beliau hanya memangku jawatan itu dan peralihan kepimpinan akan berjalan lancar.

Najib pada pelancaran klia2 memberi bayangan tentang rombakan kabinet, dengan menyatakan ia mungkin yang terakhir dihadiri Hishammuddin sebagai pemangku menteri pengangkutan.

"Ini mungkin majlis rasmi terakhir anda (Hishammuddin) sebagai Pemangku Menteri Pengangkutan," kata Najib dalam nada berseloroh.

No comments:

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget