Sunday, June 29, 2014

Cerita JDT II #Johor #JDT #LuaskanKuasamu

Pasukan Liga Super, T-Team dan Johor Darul Takzim II (JDT II) dari Liga Perdana mengisi dua slot terakhir ke Piala Malaysia 2014 selepas mengalahkan lawan masing-masing pada aksi playoff malam tadi.




T-Team mengalahkan pasukan yang meraih tangga keenam Liga Perdana, Negeri Sembilan dengan kemenangan tipis 1-0 di Stadium Shah Alam.

Gol tunggal perlawanan dijaring oleh penyerang Mohd Ramzul Zahini Adenan pada minit ke-42.

Di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, JDT II yang menduduki tangga kelima Liga Perdana menundukkan PKNS FC yang menduduki tangga tercorot iaitu di tempat ke-12 Liga Super dengan kemenangan 2-1.

Dua gol skuad 'Harimau Selatan' dijaring oleh bekas penyerang kebangsaan Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak pada minit ke-45 dan Akmal Ishak pada minit ke-70 manakala gol tunggal PKNS FC disumbang oleh Karlo Primorac pada minit ke-80.

T-Team dan JDT II akan menyertai 14 pasukan lain yang sudah melayakkan diri secara automatik ke Piala Malaysia, yang dijadual bermula  Ogos ini.

Pasukan berkenaan ialah Johor Darul Ta'zim, Selangor, Pahang, Terengganu, Sime Darby, Kelantan, Sarawak, Lions XII, Perak dan ATM dari Liga Super manakala PDRM, Felda United FC, Pulau Pinang dan Kedah dari Liga Perdana. – Bernama, 29 Jun, 2014.

No comments:

Post a Comment