YB Seputeh @teresakok |
Bekas pembantu peribadi Naib Pengerusi DAP Teresa Kok (gambar), Tony Tan Chee Chong hari ini berkata satu lagi dakwaan penyelewengan Ahli Parlimen Seputeh itu dilaporkan kepada polis pada 10 Jun lepas.
Ia berupa tindakan Kok yang dikatakan mengeluarkan lima keping cek berjumlah RM117,230 tanpa kebenaran mesyuarat jawatankuasa perhubungan kawasan Parlimen (PLC).
Tan dalam sidang media di Kuala Lumpur hari ini, berkata laporan polis itu dibuat oleh bekas DAP yang dipecat Mei lepas, Danny Leong Eng Tiom, dan mereka menyerahkan bukti itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Leong sebelum ini disaman RM10 juta oleh Kok kerana mempertikaikan pengurusan dana awam dan dana DAP, sementara Tan pula keluar parti pada 2007, kerana hilang kepercayaan terhadap pemimpin DAP.
Tan dan Leong turut membuat laporan kepada SPRM pada Februari lepas mengenai dakwaan penyelewengan dana yang diurus oleh Kok.
Tan mendakwa pemimpin tertinggi DAP bersikap bongkak apabila mengambil tindakan memecat mana-mana anggota yang menegur kelemahan mereka sehingga berlaku ketidaktelusan dalam kepimpinan parti.
Beliau memberi contoh pemecatan keanggotaan dan kes saman terhadap Leong oleh Kok.
Tan juga mendakwa mempunyai dokumen lengkap bukti penyelewengan Kok dan menyerahkannya kepada SPRM pada Februari lepas.
Sementara itu, Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin Ramesh Rao yang turut hadir mendesak Penasihat DAP Lim Kit Siang supaya memandang serius dan memecat Kok berhubung isu dakwaan ketidaktelusan Kok dalam memerangi gejala rasuah dan salah guna kuasa. – Bernama, 23 Jun, 2014.
- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/bekas-pembantu-peribadi-teresa-kok-dakwa-ada-bukti-penyelewengan#sthash.mHsOupAM.dpuf
No comments:
Post a Comment