KL CHRONICLE: Tujuh Peringatan Sultan Azlan Pedoman Kepada Pemerintah

Thursday, May 29, 2014

Tujuh Peringatan Sultan Azlan Pedoman Kepada Pemerintah

10371507_10202833708537933_6660628228864845132_n

Kemangkatan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni Al-Marhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah Ghafarullahu-Lah, semalam, diratapi kerabat, pemimpin negeri dan negara serta rakyat jelata.



Pemerintahan baginda akan terakam kemas dalam lipatan sejarah negara, sebagai antara Sultan yang hebat, berjiwa rakyat, dihormati dan disegani di dalam dan luar negara.

Almarhum bukan sahaja menjadi pemerintah yang adil dan saksama, malah pandangan bernas baginda sentiasa menjadi pedoman kerajaan dan rakyat dalam pentadbiran berkerajaan, politik, ekonomi dan sosial.

Baginda yang pernah mengetuai Institusi Kehakiman dengan menjadi Ketua Hakim Negara, turut dihormati dalam dunia kehakiman.

Pada 3 Februari lalu, genap 30 tahun pemerintahan baginda. Majlis kesyukuran genap 30 tahun pemerintahan diadakan di Istana Iskandariah, Bukit Chandan, Kuala Kangsar pada hari berkenaan.

Pada hari bersejarah itu, Almarhum menitahkan supaya dizahirkan tujuh peringatan yang disampaikan melalui anakanda baginda, Raja Dr Nazrin Shah selaku Pemangku Raja Perak.

Tujuh peringatan berkenaan adalah: Berpegang kepada prinsip ketuhanan, menginsafi kebesaran Yang Maha Mencipta, berbanding kedaifan insan bertaraf hamba dengan memperlihatkan sifat tawaduk, kemanusiaan serta kasih sayang sesama insan, di samping tidak melakukan kezaliman sesama makhluk dan tidak melakukan kemusnahan kepada alam ciptaan Ilahi.

Menyedari bahawa setiap nikmat adalah anugerah Ilahi. Setiap insan wajib mengamalkan sifat bersyukur agar dikurniakan nikmat lebih besar, di samping menerima ujian dengan penuh ketabahan selaras dengan maksud ayat 17 Surah Al An’Aam;

“Jika Allah menimpakan sesuatu kemudaratan kepadamu, maka tidak ada yang menghilangkannya melainkan Dia sendiri. Jika Dia mendatangkan kebaikan kepadamu, maka Dia maha kuasa atas setiap sesuatu.”

Hargai anugerah Ilahi

Pangkat dan jawatan adalah anugerah Ilahi dan hendaklah dilaksana dengan penuh amanah, senantiasa mengingati akauntabiliti kepada rakyat, begitu juga akauntabiliti ketika diadili di mahkamah Rabbuljalil di Padang Mahsyar, selaras dengan peringatan yang terkandung dalam ayat 9 Surah Ali ‘Imran bermaksud; “Ya Tuhan kami, sesungguhnya Engkau mengumpulkan manusia untuk (menerima pembalasan pada) hari yang tak ada keraguan padanya.” Sesungguhnya Allah tidak menyalahi janji.”

Negeri Perak dan negara Malaysia dilimpahkan dengan nikmat kekayaan sumber dan hendaklah diuruskan secara cekap, jujur, telus lagi berintegriti, menjauhi amalan rasuah, salah guna kuasa serta pembaziran agar negeri dapat dimakmurkan dan kehidupan rakyat disejahterakan.

Perpaduan rakyat hendaklah senantiasa diutamakan dan tidak boleh dikompromikan. Perpaduan rakyat adalah asas kekuatan negara yang memungkinkan kemerdekaan dicapai, ancaman komunis dimusnahkan, kemajuan dicipta serta kemerdekaan tanah air dapat dipertahankan. Bahawa rakyat di negara ini adalah pelbagai kaum, mengamalkan pelbagai agama, berlatar belakangkan pelbagai budaya dan menguasai pelbagai bahasa.

Kepelbagaian itu adalah aset negara jika rakyat berjaya dibimbing untuk berfikiran rasional, mengamalkan sikap saling memahami, saling menghormati, serta tidak mudah dipengaruhi dengan sentimen yang dicetuskan oleh pihak yang berfikiran sempit dan memilih untuk mengadu domba rakyat untuk berkonflik secara mensensasikan isu agama, kaum, budaya dan bahasa.

Mengamalkan pemerintahan yang berlandaskan undang-undang. Undang-undang tidak sahaja perlu digubal, tetapi lebih penting dihormati, dikuatkuasakan secara adil, saksama, malah dipastikan dilaksanakan secara adil tanpa prejudis, tanpa diskriminasi melalui amalan kehakiman, perundangan dan penguatkuasaan berlandaskan prinsip tanpa gentar, tanpa pilih kasih.

Tonggak kestabilan

Takhta pemerintahan menyempurnakan amanah berlandaskan prinsip Raja Berperlembagaan, berfungsi sebagai tonggak kestabilan, keadilan, teras perpaduan dan payung penyatuan.

Raja pemerintah wajib mengamalkan dan mempamerkan sifat tidak memihak, tidak partisan, tidak berkepentingan demi menjamin keadilan, membantu keberkesanan mekanisme semak dan imbang, sekali gus memperkukuhkan institusi perundangan, eksekutif dan kehakiman, lantas meningkatkan tahap keyakinan rakyat kepada sistem berkerajaan dan sistem bernegara berteraskan demokrasi, bertunjangkan doktrin pengasingan kuasa. -BH.

No comments:

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget