Saturday, May 31, 2014

#PRKTelukIntan: Pilihan antara parti dan calon



Sama ada parti atau calon yang mendominasi pilihan pengundi Teluk Intan, perkara itu bakal diketahui esok apabila lebih 60,000 penduduk keluar menunaikan tanggungjawab mereka pada pilihan raya kecil kawasan itu.




Tempoh berkempen selama 12 hari yang bakal tamat tengah malam ini menyaksikan parti-parti politik melalui tempoh bertenang semalam sempena menghormati kemangkatan Almarhum Sultan Azlan Shah, sebelum digiatkan semula hari ini bagi memberi peluang kepada pengundi untuk memilih calon mereka.

Calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mah Siew Keong, 53, dan calon DAP Dyana Sofya Mohd Daud, 27, telah membentang hujah dan manifesto masing-masing untuk dinilai oleh 60,349 pengundi membuat pilihan masing-masing.

Penganalisis melihat Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan begitu kompetitif dengan Mah dan Dyana Sofya mempunyai peluang berdasarkan kredibiliti dan sokongan kepada parti masing-masing.

Penganalisis politik Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian dari Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia, berkata calon dan parti merupakan satu pakej lengkap dalam sesebuah pilihan raya.

Beliau berkata calon daripada parti yang berstruktur bagus berpeluang mendapat kelebihan.

"Jika seseorang itu calon Bebas, memang sukar untuknya untuk mendapat kedudukan yang baik. Parti juga memainkan peranan yang besar dalam memastikan kewibawaan seseorang calon kerana calon juga boleh meningkatkan reputasi parti," katanya.

Sivamurugan berkata dalam mana-mana pilihan raya, pasti ada pengundi yang melihat kepada personaliti atau parti dan dalam kelompok itu, ada pengundi 'atas pagar' yang mungkin melihat kepada isu yang kelak melakarkan pola pengundian.

Mengenai PRK Teluk Intan, beliau berpendapat pengundi perlu melihat kepada calon yang boleh menyumbang kepada Teluk Intan serta dapat memelihara kesejahteraan, kebajikan serta komited kepada usaha membangun Teluk Intan, daripada sekadar menggunakan isu tertentu.

Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Madya Dr Shamsul Adabi Mamat berkata pemilihan calon sepatutnya menjadi kepentingan kepada pengundi kerana calon yang dipilih akan mewakili suara penduduk kawasan itu.

"Namun kita lihat realiti dalam politik negara ini, popularitinya ialah rakyat akan memilih parti. Kita melihat parti lebih dominan daripada calon, ini yang menjadi masalah politik dalam negara kita," katanya. 

Beliau berkata 30 peratus pengundi 'atas pagar' banyak membantu parti kurang popular untuk bertahan dalam landskap politik baharu masa kini. 

Beliau yang membuat tinjauan PRK Teluk Intan juga berkata kedua-dua calon itu gigih berkempen dan strategi mereka menjadikan peluang kemenangan bagi BN dan DAP ialah 50-50.

Pengerusi Badan Bukan Kerajan (NGO) Masyarakat India Teluk Intan, K. Shanmuganathan, 37, pula berkata faktor sumbangan calon adalah perkara penting sebelum beliau membuat pilihan.

" Saya akan lihat sama ada calon itu mampu atau tidak untuk bekerja dan menyumbangkan kepada rakyat. Saya mahu seseorang yang berjiwa rakyat, mencurahkan sepenuh dedikasinya kepada rakyat," katanya. - Bernama

1 comment:

  1. Pengundi kaum Cina di Teluk Intan haruslah berfikir dgn rasional dan bijak. Apa gunanya mengundi DAP? Sudah 2 penggal DAP jadi ADUN Teluk INtan. Apa yg telah DAP buat utk memajukan Teluk Intan? Bolehkah DAP memerintah Perak dgn menang di Teluk Intan?
    Jika kaum Cina mengundi Mah, sudah tentulah Teluk Intan akan bertambah maju. Ini akan menguntungkan kaum peniaga Cina yg sememangnya mengharapkan keuntungan dlm perniagaan yg akan bertambah utk maju. Tak ada untung langsung jika dgn DAP. Kaum Cina kena berfikir utk kepentingan diri sendiri bukannya utk kepentingan dinasti Lim yg tamak haloba dan memberikan janji2 kosong dan harapan2 kosong kpd kaum Cina.
    Kaum Melayu pula janganlah jadi bodoh utk mengundi DAP yg terang2 berhasrat utk menghapuskan kepentingan kaum Melayu di Malaysia ini. Jika anda menyokong DAP utk memerintah akhirnya kaum Melayu akan sama nasib dgn kaum Melayu di Singapura. Bukalah mata dan insaflah dari sekarang. Kalau tidak, anak cucu kita akan kencing di atas kubur kita yg bodoh nanti.
    Kaum India takkan tak serik2 dgn peristiwa Kg Buah Pala? Ramai ahli2 DAP dari kaum India telah dinafikan hak mereka utk mengundi di Pemilihan DAP. Bukalah mata dan berhati2 dan fikir banyak kali sebelum mengundi DAP laknat.
    Selamat mengundi pengundi2 Teluk Intan. Anda akan dapat apa yg anda sendiri pilih!!!!!

    ReplyDelete