Tengku Putera memberitahu pemberita, presiden Umno itu bercakap dengan Ahmad menerusi telefon dan bekas menteri besar itu kesal kerana menimbulkan kekecohan di negeri itu sejak semalam.
Najib mengadakan pertemuan dan makan tengah hari dengan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) Terengganu di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya, tengah hari ini.
Bagaimanapun, Adun Hulu Besut, Nawi Mohamad tidak dapat ke Kuala Lumpur kerana tidak sihat.
Menteri Besar Terengganu baharu, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman turut hadir dan bertemu media selepas perjumpaan dengan Najib.
"Kekecohan di Terengganu tidaklah sehebat dilaporkan sebelum ini. Banyak pihak cuba mengambil kesempatan dengan melakarkan imej negatif mengenai insiden tersebut," kata Ahmad Razif kepada media.
Ahmad Razif berkata, wujud perkembangan positif dalam perbincangan antara Najib dengan bekas menteri besar Terengganu itu.
"Saya dimaklumkan ada komunikasi antara PM dengan Datuk Seri Ahmad Said dan jawapannya positif.
"Kita akan terima maklum balas dalam masa terdekat," katanya.
Beliau berkata, ada kemungkinan Ahmad bersama seorang lagi Adun yang keluar parti semalam akan mengumumkan penarikan balik keputusannya.
"Beliau (Ahmad) akan mengadakan sidang media bila-bila masa," katanya.
Pada Isnin, Ahmad mengumumkan keputusannya keluar parti selepas meletak jawatan sebagai menteri besar, dan mengikut jejak beliau ialah Adun Ajil, Ghazali Taib dan Adun Bukit Besi, Roslee Daud.
Roslee bagaimanapun mengumumkan keputusan menarik balik keputusan keluar parti semalam.
Sementara itu, media menerima jemputan daripada Ahmad bagi menghadiri sidang medianya di Kemaman jam 5 petang.
Situasi yang berlaku di Terengganu mewujudkan kekecohan dan menyebabkan komposisi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dikuasai oleh Barisan Nasional di Terengganu berubah dan menjadikan jumlah kerusi sama dengan Pakatan Rakyat (PR).
BN menguasai DUN dengan 17 kerusi, manakala Pakatan Rakyat memiliki 15 kerusi DUN, PAS 14 dan PKR 1.
PAS juga awal-awal lagi berkata akan memanggil sidang tergempar bagi mendapatkan undi tidak percaya ke atas BN.
PAS mengintai peluang untuk membubarkan DUN bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri diadakan untuk memilih semula pemerintah negeri dan menteri besar.
Ahmad Razif yakin akan mampu melaksanakan tanggungjawabnya sebagai menteri besar Terengganu dan menjadikan negeri tersebut sebagai deposit tetap kepada BN pada pilihan raya depan.
"Kami akan bekerja sebagai satu pasukan dan meneruskan agenda BN.
"Saya berhasrat untuk menjadikan Terengganu sebagai deposit tetap kepada BN," katanya.
Mengenai status Ahmad dan Ghazali, Razif berkata setakat ini Speaker DUN belum menerima sebarang surat rasmi mengatakan kedua-dua mereka keluar parti.
"Speaker belum terima apa-apa kenyataan bertulis,"katanya.
Ahmad Razif juga menghargai kesudian Najib berjumpa dengan semua Adun Terengganu dan menjelaskan kepada mereka mengenai situasi sebenar berhubung keputusan yang diambil itu.
"Ada hikmah di sebalik apa yang berlaku, kita dapat peluang pencerahan daripada perdana menteri dan bertukar-tukar fikiran.
"Ini peluang baik untuk mantapkan Umno di Terengganu," kata Ahmad Razif.
Ahmad yang mengawal sesetengah pecahan dalam Umno Terengganu mengangkat sumpah sebagai menteri besar pada Mac 2008, walaupun Umno memilih Datuk Seri Idris Jusoh.
Idris kini merupakan menteri pendidikan II dalam Kabinet Najib.
Tahun lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkata ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut mereka tidak boleh campur tangan di Terengganu jika berlaku keadaan DUN tergantung disebabkan BN menang tipis.
Menurut SPR, terpulang kepada parti politik untuk menyelesaikan masalah itu. – 14 Mei, 2014.
1 comment:
Ini semua gara2 malaon2 dari UMNO yg nak gasak duit royalti yg akan turun ke T'ganu tak lama lagi. Sebelum Ahmad Said balas melalui kroni2nya, lanun2 UMNO telah mencantas utk mereka berleluasa menyapu bersih fulus.
Tetapi Ahmad Said pun boleh tahan juga strategi dia. Dgn berapa juta agaknya dia dipujuk utk menyertai UMNO kembali?
Rakyat marhaen taklah bodoh sangat utk tidak dapat melihat mainan politik lanun2 UMNO ini.
Kan Melayu mudah lupa?
Di PRU14 nanti, kita lihatlah bagaimana nasib BN.
Tunggu dan lihat .........
Post a Comment