KL CHRONICLE: Kenapa @NajibRazak Mungkir Janji?

Saturday, May 17, 2014

Kenapa @NajibRazak Mungkir Janji?

Baru dua hari lepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak diumumkan akan menghadiri majlis perkahwinan anak bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said di Kemaman hari ini, media menyiarkan Najib berlepas ke Dubai dalam lawatan rasmi tiga hari ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) mulai hari ini.




Turut serta bersama beliau ke sana adalah isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor serta bekas menteri besar Terengganu yang kini Menteri Pelajaran II, Datuk Seri Idris Jusoh, lapor My Metro, versi online kepada akhbar Harian Metro.

Duta Besar Malaysia ke UAE, Datuk Ahmad Anwar Adnan berkata, pemergian ini adalah lawatan rasmi kedua Najib ke UAE atas jemputan Sheikh Mohammed.

Menurutnya, turut serta dalam lawatan itu adalah Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Najib ketika memaklumkan krisis Terengganu selesai turut mengumumkan beliau akan menghadiri majlis perkahwinan anak Ahmad Said pada 17 Mei (hari ini) di Teluk Kalong, Kemaman.

Katanya, kemelut politik Terengganu yang bermula selepas bekas menteri besar negeri itu mengumumkan keluar Umno disifatkan berpunca daripada masalah komunikasi semata-mata.

‎"Memang tarikh kenduri kahwin anaknya (Ahmad Said) tidak dimaklumkan. Kami fikir kenduri 10 Mei selesai, kami tidak dimaklumkan ada satu lagi majlis pada 17 Mei.

"Ini semua masalah komunikasi. Semuanya sudah diatasi dan semua sudah memberi penjelasan. Sebenarnya Ahmad Said juga berkata dia terlalu cinta pada Umno dan tidak dapat melupakan Umno," katanya semasa sidang media selepas perasmian Auto Forum 2014 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini pada 15 Mei, dua hari lepas.

Ahmad Said juga memaklumkan Najib akan menghadiri majlis perkahwinan anaknya itu di samping memohon maaf kepada beliau.

"Kami saling meminta maaf... perdana menteri ingat 10 Mei sudah selesai (perkahwinan anak), tetapi masih ada lagi (majlis) pada 17 Mei.

"Ini melibatkan maruah, saya meletakkan jawatan. Dan akhirnya sebagai pemimpin besar, perdana menteri juga akui sama ada sedar atau tidak," katanya.

"Kami saling meminta maaf jadi saya pun buat keputusan tarik balik peletakan jawatan sebagai Adun Kijal Umno. Begitu juga Ghazali Taib," katanya merujuk kepada Adun Ajil yang turut meletak jawatan dalam Umno.

Pada 12 Mei lalu, kerajaan negeri Terengganu bergoncang apabila Ahmad Said serta Adun Ajil, Ghazali Taib bertindak keluar Umno dan menjadi Adun Bebas.

Keesokannya, 13 Mei, Adun Bukit Besi Roslee Daud menyertai beliau dan menjadikan kerajaan negeri Terengganu kerajaan minoriti apabila hanya mempunyai 14 Adun sedangkan Pakatan Rakyat 15 (14 PAS dan 1 PKR) manakala Bebas ada tiga ahli.

Ekoran itu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyidin Yassin turun ke Terengganu dan semua Adun Terengganu dipanggil ke Putrajaya.

Selepas itulah, Najib mengumumkan krisis Terengganu selesai.

Kini, janji pertama yang dibuat Najib untuk Ahmad Said sudah tidak tertunai apabila beliau berlepas ke Dubai dua hari selepas berjanji iaitu ketika kenduri Ahmad Said berlangsung.

Najib pula ke Dubai dengan disertai Idris Jusoh, musuh ketat Ahmad Said dalam politik Terengganu. Ahmad mengambil alih jawatan menteri besar Terengganu daripada Idris selepas pilihan raya umum 2008 apabila istana Terengganu menolak cadangan Umno untuk meneruskan khidmat Idris di Terengganu. Sejak itu hubungan antara Idris dan Ahmad tidak baik sehingga kini.

Ketika mahu memujuk Ahmad Said,  menteri besar Terengganu yang baru, Datuk Ahmad Razif Abd Rahman mengumumkan cuti umum untuk negeri Terengganu bagi membolehkan semua rakyat negeri itu meraikan majlis kenduri Ahmad Said.

Kerajaan negeri juga menyediakan bas percuma dari semua daerah untuk membolehkan rakyat Terengganu menghadirinya. – 17 Mei, 2014.

1 comment:

Mohd Hisham Zubir said...

Nak buat cerita tu.....kena selidik dulu...kan jatuh ke fitnah........PM hadir kerumah Dato Ahmad Said bersama Dato Idris.....turut serta TYT Tun Khalil dan Dato Shaberry Cheek.....

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget