KL CHRONICLE: Ahmad Said : Saya Tidak Mahu Jadi Calon PRU-14

Saturday, May 17, 2014

Ahmad Said : Saya Tidak Mahu Jadi Calon PRU-14


Bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said memberi amaran kepada Barisan Nasional (BN) untuk lebih berhati-hati mengendalikan kerajaan negeri itu kerana ia rapuh.




Ahmad yang ditemui di kediamannya pada majlis perkahwinan anak perempuannya di Kemaman, Terengganu berkata, dalam tempoh empat tahun sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), pelbagai perkara boleh berlaku kepada negeri itu.

"Keadaan politik Terengganu rapuh, uruskan dengan cermat, macam-macam boleh berlaku dalam empat tahun," katanya kepada pemberita.

Ketika ditanya maksud "rapuh" yang dikatakannya, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal itu hanya berkata:"Kamu pemberita, sepatutnya kamu tahu, (kedudukan kerusi) 15:17."

BN kini memiliki 17 daripada kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, dengan baki 15 lagi menjadi milik Pakatan Rakyat (PR).

Tindakan Ahmad bersama Adun Bukit Besi, Roslee Daud dan Adun Ajil, Ghazali Taib mengisytiharkan diri menjadi Adun Bebas memberikan risiko BN kehilangan Terengganu pada 13 Mei lalu.

"Kalau kita bawa barang dalam kapal terbang, barang itu rapuh, kita perlu balut betul-betul, dan letakkan pelekat 'mudah pecah',” katanya.

Ahmad berkata, meskipun salah faham berkenaan tarikh perkahwinan anak perempuannya itu menjadi punca kepada krisis politik Terengganu, beliau menjelaskan isu berhubung perkara itu adalah "kesilapan cara."

"Saya katakan kita tiada masalah, hanya cara sahaja silap. Perjuangan kita belum selesai.

"Saya hanya susah hati bila ia melibatkan anak saya, bagi saya sendiri tidak, saya ‘fighter’," katanya.

Ahmad berkata, beliau akan meninggalkan arena politik pada PRU14 apabila menyatakan hasrat untuk tidak bertanding dalam pilihan raya akan datang.

Katanya, sudah tiba masa untuk beliau berehat bersama keluarga setelah menjawat jawatan menteri besar Terengganu.

"Saya tidak mahu jadi calon (PRU14). No sorry. Cukup setakat di sini, cukup setakat yang saya ada.

"Saya tiada perancangan. Sekarang hendak rehat dulu dengan anak dan isteri," katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak turut hadir di kediaman Ahmad hari ini bagi memeriahkan majlis perkahwinan anak perempuannya itu.

Najib tiba dengan menaiki helikopter dari Pekan, Pahang sekitar jam 1.10 petang tadi.

Salah faham berhubung tarikh perkahwinan anak perempuan Ahmad dengan Najib menjadi punca bekas menteri besar itu mengisytiharkan beliau keluar daripada Umno bersama dua Adun lain.

No comments:

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget