Thursday, May 15, 2014

ADUN Ajil : Tidak mengapa saya hilang kuasa daripada saya hilang kawan


Kecewa dan terkejut dengan tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menukar bekas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said dengan Datuk Ahmad Razif Abd Rahman menyebabkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ajil meninggalkan Umno.




Ghazali Taib berkata, beliau amat terkejut dengan perkara itu dan mengambil keputusan mengikut jejak Ahmad Said mengisytiharkan diri sebagai Adun Bebas kerana simpati dengan bekas menteri besar itu.

"Saya tidak kesal kerana saya membela satu insan ketika itu. Langkah saya betul ketika itu, saya tidak sanggup melihat beliau kesedihan," katanya pada sidang media di Kuala Terengganu lewat petang tadi.

Ghazali menuruti jejak langkah Ahmad Said yang juga Adun Kijal dan Adun Bukit Besi, Roslee Daud mengisytiharkan diri mereka sebagai Adun Bebas sehari selepas Ahmad Razif mengangkat sumpah sebagai menteri besar baru.

"Saya tidak pernah meragui keputusan saya mengikutnya kerana yakin beliau 'pandai terbang dan pulang ke pangkal'.

"Saya amat rapat dengan dia. Saya yakin beliau tidak akan jual Umno demi pangkat. Saya fikir tidak mengapa saya hilang kuasa daripada saya hilang kawan," katanya.

Krisis politik di Terengganu bermula pada 13 Mei namun selesai kurang 48 jam berikutnya selepas kesemua Adun dan bekas menteri besar itu menarik balik tindakan mereka.

Ahmad Said ketika ditemui pemberita di kediamannya berkata, perkara itu berlaku disebabkan salah faham antara beliau dan Najib berhubung tarikh perkahwinan anaknya.

Beliau menarik balik peletakan jawatannya dari Umno setelah Najib membuat permohonan maaf kepadanya.

Ghazali bagaimanapun menegaskan, beliau kembali semula kepada Umno tanpa sebarang jaminan sebaliknya menjelaskan tindakan itu dilakukan setelah Ahmad Said melakukan perkara sama.

"Saya buat 'U-turn' bukan kerana diberi jaminan jawatan dikembalikan, tetapi kembali kepada Umno kerana saya ada agenda besar," katanya.

"Tiada jaminan atau insuran apa-apa. Itu amanah saya."

Beliau turut memaklumkan kepada pemberita pada sidang media itu, Najib memberi jaminan Ahmad Razif tidak akan menggugurkan beliau sebagai ahli Exco negeri disebabkan perkara itu.

Ghazali turut yakin tindakan yang diambilnya ketika itu tepat pada masa kejadian itu berlaku.

"Tindakan saya benar ketika itu kerana membela sesuatu perkara.

"Saya buat demi prinsip saya. Kalau tidak selesai isu ini, saya akan letak jawatan sebagai Adun Ajil," katanya.

Malah, Ahmad Said juga katanya memutuskan perkara yang sama sekiranya kemelut berkenaan tidak selesai.

Tindakan ketiga-tiga pemimpin Umno Terengganu itu menyaksikan konflik politik di negeri tersebut ekoran jumlah kerusi antara Barisan Nasional (BN) berkurangan berbanding Pakatan Rakyat (PR) yang mana mampu mengubah parti pemerintah di Terengganu.

Ghazali berkata, tindakan itu bagaimanapun tidak diambil untuk mengorbankan Umno.

"Ini bukan soal rasa bersalah atau tidak. Kalau tidak mampu, kita mesti bertanggungjawab dan letak jawatan.

"Kita tidak korbankan Umno.. Ahmad (Said) akan lepaskan jawatan dan jika berlaku pilihan raya kecil, beliau akan pastikan Umno menang," katanya.

Ghazali juga menolak alasan tindakan itu dilakukan atas faktor emosi.

"Tindakan ini tidak beremosi," katanya yang turut kelihatan sebak semasa menceritakan situasi insiden tersebut berlaku.

Ghazali turut mengesahkan tiada sebarang perundingan dengan parti pembangkang semasa dalam tempoh mereka menjadi Adun Bebas.

Katanya, sekiranya barisan Exco negeri dirombak dan kehilangan kedudukannya sekarang, beliau akan tetap menyokong kepimpinan baru Terengganu.

"Kalau tidak tersenarai sebagai barisan Exco jika ada rombakan, saya redha," katanya.

No comments:

Post a Comment