KL CHRONICLE: @MadiAzmadi : Hudud – Saya Tidak Bersetuju

Friday, April 18, 2014

@MadiAzmadi : Hudud – Saya Tidak Bersetuju


Baru-baru ini dimaklumkan dalam Dewan Rakyat bahawa kerajaan pusat bersedia untuk menyokong kerajaan negeri Kelantan dalam pelaksanaan hukuman hudud selagi mana draf yang akan dibentangkan kelak menepati dengan kehendak hukuman Islam itu sendiri.




Sebagai seorang Muslim, tiada sebab untuk seseorang itu menolak pelaksanaan hukuman hudud. Namun begitu, dalam proses melaksanakan hukuman ini, ianya bukanlah perkara mudah. Terlalu banyak perkara yang perlu diberikan perhatian.

Sebagaimana terdapat perselisihan ulama’ mengenai hukum solat Jumaat pada hari yang sama dengan dua hari raya, begitu jugalah mengenai hukum hudud ini. Sebagai contoh, setiap seorang lelaki wajib mendirikan solat Jumaat namun jika dua hari raya itu jatuh pada hari Jumaat, terdapat sebilangan ulama’ yang menyatakan ianya tidak lagi wajib didirikan sebagaimana hadis nabi yang diriwayatkan Abu Daud yang bermaksud:
“Telah berkumpul pada hari kamu ini dua hari raya, sesiapa yang mahu memadailah baginya solat hari raya bagi solat Jumaat (tidak wajib Jumaat), adapun kami (Nabi s.a.w) akan menunaikan Jumaat”.

Sedangkan ada pendapat lain yang menyatakan perkara wajib sentiasa mendahului perkara sunat. Dalam situasi ini, solat raya adalah sunat.

Hukum hudud begitu menitikberatkan keadilan. Namun ada pihak yang menyatakan, hukum hudud yang akan dilaksanakan kelak hanya untuk orang Islam sahaja. Sebagaimana yang dinyatakan oleh Tun Dr. Mahathir dalam surat balasnya kepada Tuan Guru Nik Aziz, antara sebab beliau menolak draf hudud Kelantan adalah atas sebab ini, hudud hanya untuk orang Islam.

Kita ambil contoh kesalahan murtad. Apabila murtad, seseorang itu sudah terkeluar dari agama, maknanya dia bukan lagi beragama Islam. Adakah seseorang itu masih lagi boleh dihukum dibawah hudud jika klausa hukuman hudud ini terhad kepada orang Islam sahaja? Begitu juga dengan kesalahan lain di bawah hudud. Apabila seseorang Muslim itu meminum arak lalu berzina dan seterusnya membunuh dan apabila ditangkap dia menyatakan dirinya keluar dari agama (murtad), adakah dia masih boleh dikenakan hukuman mati seperti yang termaktub di bawah hukum hudud?

Selain itu juga, akan berlaku suatu pertindihan kuasa antara mahkamah sivil dan mahkamah syariah apabila hukum hudud ini hendak dilaksanakan kelak. Perkara 121(1A) menyatakan kuasa mahkamah syariah terbatas dengan mahkamah sivil. Untuk mengubah perkara ini, sokongan 2/3 di Dewan Rakyat diperlukan. Walaupun pada peringkat awal ini kerajaan pusat bersedia memberi sokongan kepada negeri Kelantan, namun kita harus maklum, ahli Dewan Rakyat yang beragama Islam adalah kurang dari 2/3 iaitu sekitar 137 orang. Jadi agak sukar untuk mengubah perkara ini memandangkan tiada lagi ahli dewan yang bukan beragama Islam menyatakan sokongan kepada hukum hudud ini.

Perkara lain yang perlu diberikan perhatian adalah matlamat utama pelaksanaan hukum hudud ini, hukuman atau pencegahan? Jika dilihat dari sudut hukuman, benar hukuman yang berat menanti mereka yang melakukan kesalahan walaupun ada sesetengah pihak menyatakan hukuman hudud adalah hukuman yang kejam. Namun jika dilihat sejarah di zaman Rasulullah dulu, hukuman ini mampu memberikan pengajaran serta menjadi suatu proses pencegahan.

Melihatkan senario dunia sekarang, contohnya di Pakistan dan Sudan, negara yang rakyatnya agak miskin dan mengamalkam sistem hudud, kadar jenayah di negara tersebut tetap tinggi. Hukum hudud tidak mampu membendung masalah jenayah di sana berbanding dengan hukuman sivil yang dijalankan di negara-negara lain seperti Switzerland.

Sebagai perhatian pihak berwajib, pengukuhan ekonomi rakyat dalam negara ini sangat penting sebelum melaksanakan hukum hudud ini. Pada zaman Rasulullah dulu, hukum hudud hanya dijalankan apabila setiap orang mempunyai kedudukan ekonomi yang kuat sama ada untuk dirinya ataupun bagi membantu orang yang kurang berkemampuan sehinggakan kesalahan mencuri sangat rendah kemungkinannya untuk berlaku. Selagi mana masih ada lagi rakyat yang kurang berkemampuan, masih belum kuat asas untuk melaksanakan hukum hudud ini.

Hudud itu mementingkan keadilan. Jika ianya hanya semata-mata untuk orang Islam sahaja, tidak mustahil perkara yang baik boleh merubah kepada buruk. Dalam hal ini, umat Islam itu sendiri perlu menjadi kuat dan apabila kuat, orang bukan Islam akhirnya wajib mengikut arahan pemerintah tanpa bantahan, seperti mana pecahan golongan kafir dalam sesebuah negara Islam, yang wajib dilindungi mahupun diperangi. Selagi mana orang Islam itu tidak kuat, sukar bagi pemerintah untuk melaksanakan hukum hudud ini.

Sebagai konklusi, saya masih berpegang dengan pendirian tidak bersetuju hukum hudud ini dilaksanakan dalam masa terdekat dan harus ditangguh buat masa ini. Tangguh bukan bermakna menolak. Tangguh sehingga semua perkara berbangkit (terlalu banyak untuk dinyatakan; saksi, hakim, pelaksana hukuman, etc) dapat diselesaikan dan sementara tangguh ini, perbincangan dalam menuju kepada pelaksanaannya tetap harus diteruskan. Saya yakin dan percaya, akan tiba suatu tika dan saat apabila orang Islam itu kuat dan orang bukan Islam berjaya difahamkan akan maksud sebenar hukum ini, hudud tetap akan dilaksanakana di negara ini.

April 16, 2014

SUMBER : http://madiazmadi.wordpress.com/2014/04/16/hudud-saya-tidak-bersetuju/

1 comment:

PUTRA CHUBADAK said...

Undang-undang sesebuah negara hendaklah meliputi semua warganegara tanpa mengira agama/bangsa/warna kulit. Sayabersyukur ke hadrat Allah ke atas mana-mana pihak yg berhasrat untuk melaksanakan undang-undang Islam di negara ini tetapi hendaklah untuk seluruh warganegara.

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget