Adakah Adnan Yaakob bakal digugurkan? |
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib bakal menukar dua menteri besar, dakwa kolumnis akhbar Utusan Malaysia, Awang Selamat. Gambar fail.Kolumnis Utusan Malaysia, Awang Selamat hari ini mendakwa pentadbiran Umno-Barisan Nasional (BN) yang ditadbir Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bakal membuat penukaran dua menteri besar tidak lama lagi.
Bagaimanapun, Awang yang berkata demikian melalui kolumnya dalam akhbar milik Umno itu tidak menyatakan dua negeri yang akan menyaksikan pertukaran menteri besar.
"Khabarnya dua menteri besar bakal digantikan tidak lama lagi. Spekulasi mengenainya mulai bertiup bagai sepoi angin petang di pesisiran pantai.
"Tidak perlulah Awang sebut siapa menteri besar berkenaan pada peringkat ini, biarlah ia terus menjadi desas-desus," katanya dalam ruangan bisik-bisik Awang Selamat, edisi mingguan Utusan Malaysia hari ini.
Kolumnis Utusan itu percaya Najib juga sudah mempunyai senarai pengganti calon menteri besar berkenaan.
Jika benar, persoalan lebih menarik ialah siapa pengganti mereka? Beberapa nama calon yang dilihat berwibawa sudah pun dikenal pasti.
"Tentu terdapat tokoh yang boleh dijadikan sandaran, yang Awang percaya Najib sudah ada bayangan calon-calonnya. Kita tunggu," katanya.
Awang berkata, pertukaran dalam pentadbiran negeri wajar dilakukan dan ia tidak perlu dilakukan hanya semasa berlaku pilihan raya umum atau negeri semata-mata.
"Awang berpendapat memang perlu ada peralihan bagi menyuntik kesegaran dalam tampuk pentadbiran negeri tertentu," katanya.
Kolumnis itu juga berharap peralihan pentadbiran tidak hanya ditumpukan kepada jawatan menteri besar namun jawatan dalam parti.
“Bukan sahaja kepimpinan negeri, ramai yang menyimpan harapan agar perdana menteri yang juga presiden Umno menampilkan muka baharu bagi beberapa jawatan (lantikan) tertentu dalam parti," katanya. – 20 April 2014.
No comments:
Post a Comment