Seperti yang diketahui umum, strategi utama pembangkang kebelakangan ini adalah untuk mencipta persepsi bahawa UMNO adalah sebuah parti rasis.
Bagi mengukuhkan persepsi ini, pembangkang perlu mengerahkan seluruh jentera media mereka untuk melakukan provokasi. Maka dari situ, kita lihat perkara yang tidak pernah menjadi masalah sebelum ini seperti kalimah ‘Allah’ tidak boleh digunakan oleh bukan Islam di semenanjung, tiba-tiba menjadi masalah besar apabila Kristian menuntut untuk menggunakannya di dalam Injil berbahasa Melayu di Selangor.
Pembangkang juga berusaha membina momentum perkauman dengan membangkitkan soal Hak Istimewa Bumiputera dan juga kedudukan agama Islam dalam perlembagaan negara secara konsisten. Setiap hari, dua perkara ini dijadikan bahan provokasi dan propaganda bagi menimbulkan keresahan, prejudis dan seterusnya kebencian terhadap kerajaan Melayu-Islam.
Hakikat bahawa kaum minoriti yang memegang kuasa ekonomi sekali gus menafikan bahawa mereka dipinggir oleh kerajaan, telah sengaja ditutup oleh pembangkang. Di masa yang sama, segala NGO seperti Dong Zong mahupun yang berkaitan hak asasi digunakan untuk mendesak kepada perkara-perkara yang berkaitan kaum dan agama dalam dasar kerajaan dan undang-undang negara.
Hari ini, sekolah vernakular dikatakan tidak cukup lagi, tetapi orang Cina mesti dibenarkan terpisah terus dari arus pendidikan negara dan mengiktiraf UEC, barulah kerajaan dianggap sebagai tidak rasis.
Undang-undang yang menghalang aktiviti dakwah agama lain ke atas umat Islam dikatakan tidak menepati hak kebebasan beragama, dan kerajaan harus membiarkan agama lain menggunakan cara muslihat untuk berdakwah melalui nama ‘Allah’, barulah kerajaan dianggap sebagai benar-benar terbuka.
Malah, undang-undang yang menghalang puak songsang LGBT yang diharamkan oleh agama Islam dan Kristian juga perlu dihapuskan, barulah kerajaan akan dianggap sebagai menepati konsep kesederhanaan (moderate) yang dilaungkan.
Lalu, kerajaan dihentam kiri kanan belakang dan hadapan serta atas dan bawah sebagai rasis, korup, tidak terbuka, kolot dan ekstrem.
Saban hari pemimpin pembangkang terutamanya, si-pencetus 13 Mei iaitu Lim Kit Siang, mengingatkan rakyat tentang ancaman berulangnya tragedi itu berdasarkan sikap kerajaan UMNO/Melayu.
UMNO dipersalahkan sebagai berpotensi menyebabkan rusuhan dan pertumpahan darah akibat bertindak balas atas provokasi mereka dan enggan membenarkan Kristian menggunakan nama Allah dalam Injil berbahasa Melayu di semenanjung.
UMNO juga dipersalahkan sebagai sengaja menimbulkan ketegangan kerana memaksa orang-orang Cina bersatu padu dengan kaum lain dengan menghayati aspirasi negara dan pendidikan nasional.
Kononnya keengganan UMNO untuk tunduk pada desakan serta reaksi orang-orang Melayu dalam menghadapi provokasi mereka merupakan punca perpecahan dan ketegangan kaum.
Nampaknya, bagi pembangkang UMNO wajib akur sahaja atas segala desakan dan tuntutan pihak lain dan tidak punya hak untuk bertindak balas.
Apabila keadaan menjadi semakin parah, pembangkang cuba membentuk persepsi bahawa merekalah pejuang perpaduan. Sehubungan dengan itu, Lim Kit Siang dan juga Anwar Ibrahim telah beberapa kali mengajak kerajaan duduk berbincang dan bekerjasama bagi mencari jalan untuk mengatasi masalah polarisasi kaum yang mereka cetuskan sendiri.
Harapan mereka adalah supaya rakyat tidak melihat bahawa merekalah punca perpecahan dan ketegangan tetapi sebagai penyelamat keadaan.
Malang bagi pembangkang apabila segala kepura-puraan mereka itu ‘dikantoikan’ oleh Teresa Kok dalam video ucapan Tahun Baru Cinanya. Video Teresa Kok tersebut secara jelas cuba mempersendakan Perdana Menteri dan isteri, serta dasar-dasar kerajaan.
Teresa menggunakan isu-isu semasa seperti harga barang dan juga perihal peribadi anak tiri Dato’ Seri Najib sebagai subjek sindiran dalam ucapannya. Malah, Teresa juga secara terbuka mengejek usaha murni Perdana Menteri untuk mengambil hati orang-orang Cina dengan menyentuh persembahan Gangnam dan pemberian gula-gula.
Video Teresa Kok ini mungkin tidak salah jika dibuat sempena kempen pilihanraya umum atas dasar keterbukaan dan kebebasan bersuara.
Namun, bagi seorang pemimpin pembangkang untuk menyampaikan ucapan rasmi tahun baru dengan cara menyindir dan mengejek musuhnya, menyerlahkan mentalitinya yang rendah.
Teresa seharusnya lebih professional dan menggunakan kesempatan Tahun Baru Cina ini untuk mengajak kepada perpaduan dan bersangka baik. Tahun Baru Cina bukanlah satu acara politik dan Teresa nampaknya enggan memahaminya serta sengaja ingin memanjangkan perpecahan walaupun di hari sambutan perayaan.
Tindakan Teresa membuktikan bahawa pembangkang tidak pernah berniat ke arah kebaikan mahupun perpaduan. Apapun, terima kasih kepada Teresa kerana rakyat kini dapat melihat sendiri hipokrasi Kit Siang dan Anwar Ibrahim serta pembangkan keseluruhannya, dalam bercakap mengenai perpaduan.
No comments:
Post a Comment