SALAH satu isu yang turut mendapat perhatian pemimpin dan
perwakilan UMNO ketika Perhimpunan Agung UMNO 2013 ialah berkaitan pendekatan
politik Pas yang kini seolah-olah terperangkap dalam kerjasama dengan PKR dan
DAP.
UMNO membangkitkan persoalan mengenai sikap Pas sepanjang
perhimpunan berlangsung bukanlah kerana parti itu adalah musuh politik UMNO,
tetapi UMNO membuat peringatan itu demi masa depan orang Melayu dan umat Islam.
UMNO tidak mahu orang Melayu terperangkap dengan mainan politik
Pas yang hakikatnya sedang diperalatkan oleh PKR dan DAP untuk mendapat kuasa.
Bagaimanapun kita percaya Pas tidak akan mempedulikan apa juga
kata UMNO kerana bagi Pas apa yang penting ialah meranapkan kuasa politik UMNO
dan menamatkan pemerintahan Barisan Nasional (BN) melalui kesepakatan dengan
PKR dan DAP.
Sebab itulah, Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak
menegaskan, UMNO adalah sandaran orang Melayu dan umat Islam. Sudah terlalu
banyak jasa UMNO dalam usaha meningkatkan taraf hidup orang Melayu dan
memartabatkan Islam.
Apa yang UMNO katakan dalam soal itu bukan untuk mendabik dada
tetapi ia adalah realiti. Untuk memberikan gambaran lebih jelas berikutan
penulis paparkan perbezaan antara UMNO dan Pas yang seharusnya menjadi sandaran
kepada orang Melayu kenapa mereka harus menjadikan UMNO sebagai harapan untuk
melakar masa depan lebih jelas.
l Memartabatkan Islam
- UMNO yang mengemudi kerajaan melalui kerjasama dalam BN telah
berjaya membawa negara ini menjadi negara Islam contoh. Di mana-mana juga
pemimpin-pemimpin Islam memuji usaha UMNO memartabatkan Islam.
- Pas pula lebih banyak bercakap soal Islam tetapi tidak mampu
berbuat apa-apa. Malah di negeri yang mereka perintah pun, pelaksanaan Islam
tidak ke mana, ia lebih banyak berkisar kepada slogan dan laungan sahaja.
l Membina Masjid Dan Mewujudkan Institusi Islam
- UMNO bertanggungjawab memastikan peruntukan khas disediakan
untuk membina masjid di seluruh negara. Masjid dijadikan tempat untuk
memperkembangkan syiar Islam dan mengukuhkan perpaduan ummah.
- Pas tidak membina masjid tetapi menjadikan masjid sebagai medan
untuk memecah belahkan ummah melalui khutbah, kuliah dan tazkirah yang berbaur
politik.
l Menyatukan Umat Islam
- UMNO seperti mana kata Najib sentiasa bersedia untuk
menghulurkan salam perpaduan dengan mana-mana parti politik, demi melihat umat
Islam kembali bersatu.
- Pas bersedia bersahabat dan berpeluk mesra dengan
pemimpin-pemimpin DAP, tetapi memandang sinis salam persaudaraan yang
dihulurkan oleh UMNO. Malah ada pemimpin Pas pernah berkata, lebih rela makan
babi bersama pemimpin DAP daripada minum kopi bersama Perdana Menteri.
l Menghormati Ulama
- UMNO menghormati apa juga pandangan alim ulama tanpa mengira apa
juga latar belakang politiknya. Asalkan apa yang diusahakan oleh ulama itu
boleh membawa kebaikan kepada umat Islam, UMNO akan patuh.
- Pas hanya mendengar apa kata ulama mereka. Ulama di luar parti
itu biar pun memberi pandangan yang betul akan dianggap 'suara UMNO' dan 'suara
kerajaan'. Malah mana-mana ulama yang berada dalam UMNO akan dicemuh, diejek
dan ditohmah dengan pelbagai tuduhan dan dakwaan.
l Berhujah Atas Dasar Kebenaran
- UMNO biar pun bekerjasama dengan parti-parti bukan Melayu dan
Islam, sentiasa berhujah dan bercakap atas dasar kebenaran. Dalam apa keadaan
pun, UMNO tetap tegas mempertahankan kepentingan Melayu dan umat Islam.
- Pas pula dilihat terlalu takut dengan PKR dan DAP. Apa sahaja
yang mereka hendak lakukan hatta berkaitan dengan Islam sekali pun mereka
seolah-olah perlu mendapat persetujuan PKR dan memperoleh restu DAP.
l Tegas Dalam Menjaga Agama
- UMNO sentiasa tegas mempertahankan akidah umat Islam termasuklah
dalam memastikan umat Islam berpegang teguh kepada aliran Ahli Sunnah Wal
Jamaah. UMNO juga secara lantang menolak segala kesesatan termasuk usaha
mengembangkan fahaman Syiah. Sebab itulah dalam perhimpunan agungnya kali ini
UMNO mencadangkan supaya Perlembagaan Persekutuan dipinda dengan memasukkan
agama rasmi Persekutuan adalah Islam berlandaskan kepada pegangan Ahli Sunnah
Wal-Jamaah.
- Pas pula dilihat teragak-agak dalam soal ini khususnya untuk
memberi penegasan terhadap penyebaran fahaman Syiah.
l Mengajar Rakyat Erti Berterima Kasih
- UMNO sentiasa mengajar rakyat negara ini khususnya umat Islam
bersyukur dengan nikmat yang diperolehi dan tahu berterima kasih kepada mereka
yang berbudi.
- Pas bersekongkol dengan PKR dan DAP 'mendidik' rakyat untuk
menolak segala kebaikan yang dilakukan oleh kerajaan. Mereka menguar-uarkan
segala bantuan oleh kerajaan adalah tanggungjawab kerajaan justeru tidak perlu
berterima kasih atau mengenang budi yang ditabur.
l 'Menjatuhkan' Hukum
- UMNO dan BN sama sekali tidak akan mengamalkan sikap menjatuhkan
hukum sewenang-wenangnya kepada musuh politiknya.
- Pas pula begitu mudah menghukum pemimpin-pemimpin UMNO. Malah
tanpa mengkaji kebaikan kerjasama mereka dengan DAP dan PKR. Pas menuduh
kerjasama UMNO dalam BN adalah haram.
l Pentas Ceramah
- UMNO menggunakan pentas ceramah untuk menyampaikan dasar
kerajaan dan membuat penjelasan.
- Pas pula menggunakan pentas yang sama untuk memaki hamun
pemimpin UMNO dan kerajaan serta menyebarkan dakyah dan fitnah.
l Dominan Dalam Kerjasama
- UMNO adalah parti dominan dalam BN, namun kedudukan itu tidak
pernah disalah gunakan untuk menunjukkan siapa lebih kuat. Sebaliknya kelebihan
itu digunakan oleh UMNO untuk tegas memperjuangkan orang Melayu dan
memartabatkan Islam, di samping membela nasib kaum lain.
- Pas tidak dominan dalam pakatan pembangkang. Parti itu dilihat
sekadar 'pak turut' dan tidak mempunyai apa-apa kuasa untuk membantah kehendak
PKR dan DAP.
Demikianlah serba sedikit perbezaan antara dua parti Melayu itu.
Sebenarnya, banyak lagi yang membezakan antara UMNO dan Pas. Sebab itulah,
orang Melayu perlu mengkaji, meneliti dan menimbang kenyataan Najib bahawa UMNO
menjadi sandaran golongan itu.
Apatah lagi, Presiden UMNO itu juga secara tegas sudah menyatakan
dalam ucapan dasarnya bahawa, ''Kita (UMNO) tak boleh bersegan silu lagi dalam
terus memperjuangkan nasib bangsa.
Dan Najib juga sudah memberi jaminan bahawa, ''...Selagi hayat
dikandung jasa, bercerai nyawa dari badan! Islam akan terus UMNO junjung.''
Oleh itu, sudah jelas kini orang Melayu tidak perlu lagi berasa
gusar atau bimbang, tidak perlu lagi gusar untuk memilih dan tidak perlu takut
untuk menentukan parti mana yang harus diberikan amanah bagi membela untung
nasib mereka.
Ia memandangkan sejarah perjuangan UMNO telah membuktikan bahawa
parti itulah perjuang Melayu, pembela Islam dan pelindung rakyat Malaysia.
Artikel ini dipetik dari akhbar Utusan Malaysia. Apa pendapat pembaca? Adakah benar atau tidak apa yang ditulis oleh Utusan.. ? Sila tinggalkan komen saudara/i .. terima kasih.
Kepada Allah s.w.t Kami Berserah
No comments:
Post a Comment