Wednesday, October 2, 2013

Laporan Audit : Pelaksanaan Program Hadiah Anak Masuk Universiti Negeri Selangor Kurang Memuaskan #KLChronicle

Program Hadiah Anak Masuk Universiti atau dipromosikan sebagai Hadiah Pengajian Institusi Pengajian Tinggi (Program HPIPT) merupakan salah satu daripada Program Merakyatkan Ekonomi Negeri Selangor (MES) yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri mulai 1 Julai 2008.




Tujuan Program HPIPT dilancarkan adalah untuk meringankan beban pelajar bagi menampung yuran dan perbelanjaan di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) serta menghargai dan meraikan pelajar yang layak melanjutkan pelajaran ke peringkat IPT setelah berusaha bersungguh-sungguh di peringkat Sijil Peperiksaan Malaysia dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia. Menerusi Program HPIPT, Kerajaan Negeri menghadiahkan RM1,000 kepada pelajar yang mengikuti pengajian sama ada di peringkat Diploma atau Ijazah Sarjana Muda di IPT bergantung kepada syarat permohonan yang telah ditetapkan. 

Urus setia program ini adalah Cawangan Biasiswa Dan Pinjaman Pelajaran di bawah Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri. BPSM diketuai oleh Setiausaha Bahagian gred M54 dan dibantu oleh Ketua Penolong Setiausaha gred M48. Cawangan Biasiswa Dan Pinjaman Pelajaran pula diketuai oleh Penolong Setiausaha gred M41 dan dibantu oleh seorang Penolong Pegawai Tadbir gred N27, seorang Ketua Pembantu Tadbir gred N22 serta 5 Pembantu Tadbir gred N17.


Laporan Audit mendapati pelaksanaan Program HPIPT adalah kurang memuaskan kerana terdapat kelemahan pelaksanaan seperti yang diringkaskan di bawah:

  1. Syarat kelayakan pemohon tidak dipatuhi sepenuhnya.
  2. Permohonan rayuan diluluskan tanpa polisi dan prosedur bertulis.
  3. Pengesahan pendapatan adalah berdasarkan pengesahan pada borang permohonan dan bukan pada surat perakuan pendapatan yang ditetapkan.
  4. Surat perakuan pendapatan disahkan oleh pihak selain yang dibenarkan.
  5. Pembayaran lewat dibuat dan lebihan bayaran belum dikutip.



Bagi menambah baik pengurusan Program Hadiah Pengajian Institusi Pengajian Tinggi, Kerajaan Negeri melalui Cawangan Biasiswa Dan Pinjaman Pelajaran selaku urus setia program adalah disyorkan mengkaji semula prosedur Program Hadiah Pengajian Institusi Pengajian Tinggi secara komprehensif. Prosedur yang ditambah baik hendaklah dikemukakan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk kelulusan sebelum diterima pakai. Antara perkara yang perlu diberi perhatian adalah seperti berikut:

  1. Menetapkan dokumen yang perlu untuk pengesahan pendapatan bagi ibubapa/penjaga yang tidak bekerja/bekerja sendiri atau pesara swasta
  2. Mengemas kini senarai pihak yang dibenarkan bagi memperakukan dokumen berkaitan pengesahan pendapatan.
  3. Menetapkan polisi dan prosedur secara bertulis untuk kelulusan permohonan secara rayuan dengan justifikasi yang dikenal pasti sebagai langkah kawalan dalaman yang lebih berkesan. Antara kriteria yang boleh dipertimbangkan adalah ibubapa Orang Kelainan Upaya dan bilangan tanggungan yang tinggi. Selain itu, kebenaran untuk membuat rayuan juga wajar dimaklumkan kepada orang awam/pemohon supaya berlaku keadilan kepada semua pemohon yang gagal pada peringkat permohonan kali pertama.
  4. Menetapkan pengagihan masa bagi setiap peringkat pemprosesan borang permohonan untuk mengelakkan kelewatan bayaran wang hadiah

No comments:

Post a Comment