Tuesday, August 27, 2013

Jenayah di Malaysia dan Arab Spring Berkaitan? #KLChronicle

Bagi mereka yang melihat politik secara sehala, pastinya menyatakan bahawa penulis seorang yang ‘paranoid’ atau mungkin  juga berhalunisasi jika mengaitkan jenayah di Malaysia dengan Arab Spring yang berlaku di Timur Tengah. 

Namun, bagi mereka yang bermaklumat, mereka tahu bahawa politik dunia hari ini adalah berkaitan dan tiada satu perkara pun yang berlaku tanpa dirancang atau diambil kesempatan oleh mana-mana pihak.   Dunia hari ini, terutamanya dunia Islam, sedang mengalami kemusnahan secara sistematik.  Ianya  dimusnahkan oleh umat Islam sendiri dan rata-ratanya atas nama memperjuangkan Islam.  



Laungan seperti  ‘kerajaan tidak cukup Islam’, ‘ingin menegakkan syariat Islam’ dan ‘ingin menghapuskan kemungkaran’ merupakan punca utama tercetusnya ketegangan sebelum ia merebak menjadi pemberontakan, keganasan dan kehancuran total. 

Lebih-lebih lagi di mana di negara-negara Arab, laungan ini disertai dengan keluhan kemiskinan dan ketidakadilan di mana ia begitu mudah menjana api kemarahan yang meluap-luap sehingga sukar dikawal. 

Kecetekan minda umat Islam di negara Arab serta kegagalan mereka mengawal emosi menjadikan Arab Spring tidak sukar untuk direalisasikan.  Sedikit suntikan modal dari luar dan hasutan oleh talibarut mereka cukup untuk membuat negara-negara Arab jatuh bagai domino dalam sekelip mata. 

Senario di Malaysia tidak banyak berbeza sebenarnya.  Laungan ‘kerajaan tidak Islam’, ‘ingin menegakkan syariat Islam’ dan ‘ingin menghapuskan kemungkaran’ sudah lama kedengaran.

Malah, ada yang sanggup menghancurkan negara hanya kerana isteri pemimpin tidak memakai tudung kepala (tidak cukup Islam).    Bagi mereka-mereka ini, mempunyai pemimpin yang menepati ‘citarasa’ mereka adalah penting untuk menentukan pengakhiran nasib mereka di akhirat.  Pastinya mereka yakin bahawa diri mereka sendiri sudah cukup sempurna sebagai Muslim dan kini perlu menyebarkan kesempurnaan tersebut kepada orang lain bagi mendapat ganjaran yang maksima di syurga. 

Namun, Malaysia bernasib baik kerana majoriti rakyatnya masih berfikiran rasional dan tidak mudah dipengaruhi emosi.   Di samping itu juga, sifat semulajadi orang-orang Melayu yang menjadi penganut Islam di negara ini adalah lemah lembut dan menentang keganasan.  Justeru, biarpun ramai yang bermimpi untuk ‘berjihad’ menentang kerajaan, mereka tidak sanggup memperjudikan nyawa dan nikmat hidup di bumi bertuah ini. 

Maka, laungan ke arah ‘Islam’, hanya tinggal laungan sehinggalah akhirnya parti yang melaungkannya bersekongkol dengan musuh Islam untuk menggulingkan kerajaan.  Kini, parti Islam itu tidak lagi melaungkan slogan ingin menegakkan Islam walaupun masih kekal melaung ‘kerajaan tidak Islam’.  

Syukur kepada Allah SWT kerana sehingga ke hari ini, laungan ini masih tidak mampu mencetuskan anarki. 

Namun, apa yang berlaku telah membuka ruang kepada musuh untuk campurtangan, sepertimana yang berlaku dalam Arab Spring.   

Kegagalan menjatuhkan Malaysia melalui permusuhan sesama Islam seperti negara-negara Arab, membawa kepada percubaan melaga-lagakan antara agama dan kaum.   Desakan terhadap penghapusan Akta EO dan ISA serta Akta Hasutan merupakan sebahagian dari perancangan ke arah kemusnahan Malaysia yang dibuat melalui pembangkang. 

Memandangkan rakyat Malaysia sukar untuk dihasut untuk memperjudikan nyawa dengan memberontak, maka para gangster dan kongsi gelap perlu digunakan sebagai pencetus.   Harapan musuh adalah agar rakyat akan terpengaruh dan terbawa-bawa dengan emosi sepertimana orang-orang Arab, lalu mula merusuh di jalanan. 

Rancangan ini semakin terserlah apabila tindakbalas tegas pihak polis terhadap kumpulan gangster ini dijadikan isu perkauman oleh beberapa pihak.  Pendek kata, apa saja isu yang berlaku akan sengaja dikaitkan dengan perkauman.  Niat mereka yang membangkitkan isu perkauman ini tidak lain tidak bukan ialah untuk mencetuskan ketegangan kaum. 

Namun, mengenali sikap rakyat Malaysia yang tidak sanggup menggadaikan keselesaan hidup untuk memberontak di jalanan, maka kita percaya yang harapan musuh ini juga akan tinggal harapan sahaja.   Biarlah para gangster berbunuhan sesama sendiri dan biarlah pihak polis sahaja yang menguruskan mereka. 

Untuk rakyat atau pemimpin yang menyokong gangster semata-mata atas alasan ‘kaum’, merupakan satu penghinaan kepada intelektualiti sendiri. 

Kesimpulannya, rakyat Malaysia wajar berfikir lebih jauh dalam mencerna apa saja yang berlaku dalam negara hari ini.  Jangan kita terjerumus dalam perangkap musuh yang ingin melihat kita berpecah belah dan bersengketa.   Biar apapun berlaku, anarki bukan jawapannya. 

Belajarlah dari kejatuhan negara-negara Arab kerana apa yang berlaku di sana tidak mustahil boleh berlaku di sini.  Sesungguhnya, kita semua mempunyai musuh yang sama, iaitu kuasa besar yang ingin menguasai dunia, selain diri kita sendiri.   

No comments:

Post a Comment