Tuesday, August 20, 2013

Idris Jusoh: Kerajaan pastikan pelaksanaan CCRIS tidak menindas #KLChronicle

Datuk Seri Idris Jusoh (gambar) memberi jaminan pelaksanaan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) ke atas peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tidak akan menindas golongan muda, seperti dikritik dan dikecam pelbagai pihak terhadap rancangan itu.



Menteri Pendidikan II itu berkata, Putrajaya sedia menerima pandangan semua pihak mengenai cadangan berkenaan dan akan membuat pertimbangan sewajarnya.
"Kita akan memastikan tiada sesiapa menjadi mangsa kepada pelaksanaan CCRIS ataupun dipinggirkan menerusi program itu.
"Biar saya bincang dahulu dan kita perlu lihat semua pandangan diambilkira," kata Idris apabila disoal wartawan The Malaysian Insider hari ini selepas Mesyuarat Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan hari ini di PWTC.
Idris berkata, Kementerian Pendidikan akan terus melakukan perjumpaan dan perbincangan dengan PTPTN bagi meneliti dengan mendalam  pelaksanaan CCRIS.
"Kami akan berbincang mengenai butiran dengan PTPTN mengenai pelaksanaan tersebut," katanya.
Beliau bagaimanapun mempertahankan langkah yang diumumkannya semalam adalah bertujuan baik untuk kepentingan semua pihak.
"Pelaksanaan itu  untuk tujuan baik.
"Ia baik untuk semua," katanya.
Setiausaha Agung Pertubuhan Pribumi Perkasa Kebangsaan (Perkasa), Syed Hassan Syed Ali hari ini mengkritik  pengumuman Idris tersebut sebagai langkah yang akan menindas golongan belia bumiputera khususnya.
"Ia satu bentuk penindasan. Saya cabar Idris Jusoh tuntut hutang pinjaman itu terlebih dahulu melalui mahkamah terhadap pelajar  Melayu dan bumiputera.
"Kerajaan kena ingat bahawa rakyat sudah ada pilihan. Rakyat boleh pilih pihak yang perjuangkan pinjaman itu dihapuskan atau pihak  yang hendak CCRIS kan mereka," kata Syed Hassan kepada The Malaysian Insider.
Idris ketika mengumumkan perkara itu berkata, menerusi pendekatan melalui CCRIS,  peminjam PTPTN ingkar berkenaan akan  menerima kesan seperti peminjam institusi kewangan lain, terutama membabitkan kelulusan permohonan pinjaman, kad kredit, sewa  beli dan sebagainya.
Jelas ahli Parlimen Besut itu lagi, pelaksanaan CCRIS bagaimanapun tidak bertujuan membebankan peminjam PTPTN sebaliknya mahu  menggalakkan budaya pembayaran balik sebagai kemudahan pembiayaan pendidikan kepada generasi seterusnya

No comments:

Post a Comment