Tuesday, August 13, 2013

100 hari kerajaan baru PAS Kelantan semakin panas - Kickdefella #KLChronicle

Dalam posting pada 5 Ogos 2013, saya membicarakan mengenai kepulangan perantau ke negeri tanah tumpah kelahiran, Kelantan untuk menyambut Hari Raya Aidil Fitri yang kebetulan hampir genapnya 100 hari pemerintahan berwajah baru Kerajaan PAS Kelantan.
Kepulangan mereka bersama seribu satu persoalan mengenai apa yang dijanjikan kepada rakyat Kelantan sebelum PRU 13 lalu. Ada beberapa group Facebook yang pro-PAS mula melancarkan serangan terhadap kredibiliti Kerajaan Negeri berkenaan hal tersebut dan bagaimana ‘sejuknya’ Kerajaan di bawah pimpinan baru ini.


Mereka juga memalitkan kesalahan kesukaran melaksanakan projek itu adalah disebabkan Kerajaan Negeri tidak menyenaraikan bekas Exco Kanan, Dato Husam Musa sebagai punca kepada kegagalan itu, dengan kata lain `mengkambing jamnaparikan’ kerajaan bawah pimpinan baru ini.
Sebelum ini tiada respon dari Kerajaan Negeri, mungkin kerana blog ini disifatkan oleh  mereka hanya suara kecil yang tidak perlu dihiraukan, dan boleh diletak tepi.
Sehinggalah teguran secara terbuka Professor Agus Yusoff di Wall Facebooknya pada Jumaat, 9 Ogos 2013 ,yang secara jelas memberikan teguran ‘berhemah’ tentang betapa tiadanya keghairahan baru di Kelantan, setelah 100 hari mendapat mandat baru dari rakyat Kelantan.
Keghairahan yang dimaksudkan Prof Agus adalah berkenaan tiadanya dasar dasar baru yang diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri dibawah pimpinan Dato Ahmad Yaakob dan Timbalannya Dato Nik Amar, ia juga mengenai status dua projek ikonik Lebuhraya Rakyat (LERAK) dan Bandar Sukan Bukit Merbau yang menjadi tanda tanya penyokong PAS sendiri.
Mereka perlu tahu status dua projek ini kerana mereka bermati matian sebelum ini, mengatakan ia akan menjadi kenyataan dan bukan omongan kosong semata-mata, malah mereka mendabik dada dengan kehebatan Kerajaan PAS yang mereka pertahankan , mampu melancarkan peletakan batu asas walau dipersoalkan dengan pelbagai persoalan dibawa oleh suara suara yang menentang mereka.
Pada 10 Ogos 2013, selepas jamuan Hari Raya Rasmi Kerajaan Negeri Kelantan  berlangsung di Dewan Jubli Perak MPKB, yang dikatakan berlangsung hambar, Datuk Nik Amar sudah mengeluarkan kenyataan bagi menjawab ISU 100 HARI ini dengan menempelak, Prof Agus Yusoff dengan kenyataan sinikal “Dalam 100 hari nak bina bangunan pun takkan boleh siap”-Dato Nik Amar.
Satu statement yang bagi saya tidak memahami apa yang dipersoalkan dan tidak patut keluar dari mulut seorang Timbalan Menteri Besar. Sambil membawakan contoh, Kerajaan Negeri  melalui Menteri Besar mengumumkan akan melaksanakan rumah mampu milik pada bulan Mei lalu.
Kalau tidak silap saya polisi ini berjalan semasa pemerintahan Menteri Besar terdahulu, dan jika ditanya kepada rakyat Kelantan masih ramai yang tidak dapat maklumat tentang pemilikan rumah ini yang bilangannya masih jauh lebih sedikit dibandingkan dengan pembinaan komersial usahasama Kerajaan Negeri dan swasta, mungkin kerana kelemahan jentera penerangan Kerajaan Negeri.
Tapi, yang lebih menghairankan ramai rakyat Kelantan tahu mengenai pembinaan ratusan unit Pangsapuri Mewah di Tunjung, Seri Cemerlang, Jalan Hamzah dan di beberapa tempat strategik yang ada diantaranya dibina secara usahasama dengan GLC Negeri dan Swasta. Walau mereka tidak mampu memilikinya tapi ia boleh jugalah dibanggakan sebagai ‘penanda aras’ pembangunan bagi mereka , dari tiada langsung yang boleh dibuat modal bercakap.
Bercakap mengenai Lebuhraya Rakyat (atau ringkasan tepatnya LERAK) pula. TMB mungkin menyifatkan mereka yang mempersoalkannya terlepas ‘Keretapi’, berikutan dari pengumuman yang menyatakan ia dalam proses memperhalusi projek tersebut.
Dalam kenyataan beliau ia sedang diteliti dari segi teknikalnya kerana Kerajaan Pusat mengistiharkan akan menyertainya. Jadi, jika diamati jelaslah sekarang apa yang diumumkan semasa peletakan batu asas/pecah tanah/sembahyang hajat dibuat ditapak perasmian di Felcra Berangan Mek Nab berasaskan kepada sesuatu yang belum diperhalusi oleh pentadbiran terdahulu walau mereka bermati matian mengatakan ia sudah diperingkat perlaksanaan, malah pembinaan sudahpun dimulakan di Kg Bukit Bakar, beserta dengan bukti video tentang perkembangannya yang disiarkan di laman Youtube.
Rakyat tertanya-tanya dengan wang siapakah yang dibelanjakan oleh pentadbiran terdahulu untuk melakukan ‘site clearing’ ke atas sebuah projek yang belum dimuktamadkan?. Malah kini balik semula kedalam proses ‘memperhalusi’, satu proses awal yang perlu dan wajib dibuat sebelum perlaksanaan sesuatu projek, bukan selepas projek mula baru nak perhalusi.  Suatu ‘seni’ yang hanya ada dalam Kerajaan PAS Kelantan.
Ia juga dikatakan, Kerajaan Negeri dalam proses menunggu kertas cadangan oleh sebuah syarikat Abu Dhabi yang akan melaksanakan projek LERAK, setelah Kontraktor terdahulu menarik diri dari meneruskan projek tersebut.
Perlu dijelaskan kepada rakyat Kelantan apakah situasi sebenar yang akan berlaku jika menerima cadangan Syarikat tersebut, apa cagaran yang akan diberikan kepada syarikat itu?, adakah pemajakan tanah? Atau pemilikan hasil galian Kelantan? Kalau benar, untuk berapa puluh tahun ia akan dipajakkan?, semua ini perlu dijelaskan kepada rakyat Kelantan.
Jangan kerana terdesak ingin memenuhi janji semata mata, Kerajaan Kelantan kehilangan hasil beribu ribu lagi ekar tanah yang bernilai lebih tinggi dari itu untuk tempoh yang lama.
Jika benar ia akan dilaksanakan bersama bantuan Kerajaan Pusat, maka diucapkan tahniah kerana dalam keadaan dituduh zalim bersekali dengan doa kehancuran oleh pemimpin dan penyokong PAS, Kerajaan Pusat masih seperti biasa sentiasa membuka pintu kepada sebarang kerjasama, seperti sebelum ini dengan berbagai projek prasarana yang telah pun dibuat di Kelantan, walau tidak dihargai sedikitpun oleh penyokong PAS, tapi atas dasar tanggungjawab Kerajaan Pusat ia dilakukan juga.
Terkejut juga saya dengan jawapan mengenai dasar baru yang telah dilancarkan oleh Kerajaan Baru PAS Kelantan apa bila beliau menyatakan iaitu dasar mesra keluarga untuk menempatkan kakitangan dan pegawai berkhidmat dekat dengan ahli Keluarga mereka.
Suka juga saya ingin bertanya adakah bermaksud seorang kakitangan  Kerajaan Negeri yang tinggal di Tumpat bertugas di Kota Bharu dan mengambil masa lebih kurang 30 minit melalui jambatan Kedua Sultan Yahya untuk sampai ke pejabat akan ditukarkan Ke Tumpat supaya lebih dekat dengan rumah.
Kalau itulah dasarnya maka bolehlah kerajaan negeri umumkan berapa ramai sudah terlibat dengan pertukaran ini? Mungkin boleh diumumkan sekali Dasar Belia barangkali mengajak anak muda Kelantan supaya ramai ramai panjat Gunung Stong.
Jangan memperlekehkan suara rakyat Kelantan, ada baiknya dalam menerima tekanan dari dalam dan luar Parti sendiri, pentadbiran Kerajaan Baru PAS Kelantan harus mula berterus terang tentang apa yang telah berlaku dalam perancangan terdahulu sehingga keputusan sebegini rupa diambil yang lebih menimbulkan persoalan lebih banyak dari rakyat.
Penyokong PAS yang kecewa dengan penyingkiran Dato Husam Musa akan terus menekan mereka dari dalam, Pentadbiran baru ini harus mengambil jalan terbaik dari dipandang serong oleh mereka tiada guna terus berlapik berkias dengan rakyat, kalau perlu dedahkanlah segala perancangan Pentadbiran terdahulu yang tidak mencapai matlamat asal kepada rakyat supaya rakyat boleh berlapang dada dengan setiap keputusan yang Kerajaan Negeri ambil di masa hadapan. Seperti mana pendedahan mereka tentang persoalan kenapa Datuk Husam Musa tidak disenaraikan dalam Barisan Exco.

No comments:

Post a Comment