Wednesday, July 24, 2013

PRK K.Besut: Risalah 16:16 Mula Takutkan DAP & @cmlimguaneng #N01KualaBesut @kualabesut_ #KLChronicle

Keadaan tegang antara PAS-PKR dalam menghadapi PRK Kuala Besut bukan lagi rahsia.  Khabarnya, orang-orang PKR menghadiri program-program kempen juga sekadar syarat sahaja.  Lebih dari itu, mereka langsung tidak membantu PAS. 

Manakala perlantikan Husam sebagai Pengarah PRK untuk memujuk hatinya juga nampaknya tidak begitu dihargai oleh Husam. Sebaliknya, jiwa raga Husam terus setia bersama Anwar Ibrahim atau PKR.  Husam tegar memikul tanggungjawab sebagai parasit di dalam PAS.   Dan seperti yang kita tahu, misi Husam di dalam PAS ialah untuk merampas jawatan Presiden. 



Seperti ‘saudara-saudaranya’ di dalam PKR, Husam turut berdendam dengan Hadi, iaitu ‘ulama’ yang menikam belakang PKR di ambang PRU-13 lalu.  Kenyataan Hadi mengenai pil kuda benar-benar ‘makan dalam’ bagi PKR.   PKR kini sedang berura-ura untuk menyaman Hadi berkenaan isu itu. 

PKR juga mula terfikir mengenai saranan awal DAP agar memboikot saja PRK K.Besut.  Saranan DAP itu adalah bertitik tolak dari kebimbangan mereka sekiranya PAS menang yang mana akan menyebabkan kedudukan kerusi Terengganu menjadi seri iaitu 16:16. DAP bimbang jika ini berlaku, maka PAS dan UMNO akan membentuk kerajaan perpaduan dan semangat perpaduan itu merebak ke negeri-negeri lain. 

Kita yakin PKR juga turut bimbang jika perpaduan UMNO-PAS berlaku.  Walaupun PAS mendapat keputusan tercorot dalam PRU yang lalu, namun kekuatan PR untuk memanipulasi pemikiran pengundi Melayu hanyalah atas hakikat kewujudan PAS di dalam pakatan itu. Tanpa PAS, adalah sukar bagi PKR dan DAP untuk memperdaya orang-orang Melayu agar percaya bahawa mereka akan mempertahankan agama Islam sebagai agama rasmi, hak istimewa Melayu serta Institusi Raja-raja di negara ini. 

Kebimbangan DAP dan PKR mungkin berasas apabila terdapat risalah mengenai kerajaan perpaduan mula diedarkan di K.Besut.  Walaupun risalah tersebut dilihat sebagai usaha terdesak PAS untuk menang, namun ia dikhuatiri mampu mempengaruhi pengundi K.Besut yang mendambakan perdamaian UMNO-PAS. 

Husam cukup maklum akan situasi ini serta amat memahami kebimbangan PKR dan DAP.  Namun, sebagai seorang yang meletakkan dirinya mengatasi parti dan segala-galanya, Husam lebih mengutamakan peluang untuk melonjakkan dirinya.   Oleh kerana itu, beliau dilihat membelakangkan terus peranan Hadi Awang dalam PRK Besut, sebaliknya meletakkan dirinya sebagai orang paling utama di dalam PAS buat masa ini.  

Harapannya, PRK K.Besut akan membuktikan bahawa PAS telah tersilap apabila menggugurkan nama beliau dari sebarang jawatan.  


Kesimpulannya, PRK Kuala Besut bukanlah perang UMNO-PAS, tetapi lebih merupakan peperangan psikologi di dalam minda kepimpinan Pakatan Rakyat.  Ia memperlihatkan betapa kroniknya sikap berpura-puraan sesama sekutu dan sesama pemimpin mereka. Tidak salah jika dikatakan bahawa PR pada hakikatnya bukan sekadar retak seribu tetapi telah pun pecah berderai.   Hanya kedegilan dan keegoan sahaja yang memaksa mereka mengaku yang mereka masih sepakat dan bersatu.

No comments:

Post a Comment