KL CHRONICLE: @Anwaribrahim Bakal Tubuh Gabungan PAS Demokrat & PKR Berimej Nasionalis-Islamis? #KLChronicle

Friday, July 26, 2013

@Anwaribrahim Bakal Tubuh Gabungan PAS Demokrat & PKR Berimej Nasionalis-Islamis? #KLChronicle

Berita mengenai cadangan pembentukan sebuah parti gabungan PAS dari kalangan berfahaman demokrat dengan PKR ini dipetik dari blog tersohor Blog Gelagat Anwar dan AIDC.   Adalah difahamkan bahawa parti gabungan tersebut akan dinamakan Parti Demokrat Rakyat Malaysia (PDRM) dan akan membawa imej ‘nationalist-religious’ atau nasionalis-Islamis.



Usahlah sesiapa daripada UMNO mencebikkan bibir atau mengetawakan ide yang berkiblatkan Indonesia-Amerika ini, tetapi untuk pertama kalinya, renungkan dan cernakanlah maklumat ini baik-baik sebelum bersuara.  Belajarlah mengupas sesuatu berita secara terbuka dan jangan terlalu pantas membela atau menuduh sesiapa. 

Apa yang dapat diperkatakan mengenai berita ini? 

Pertamanya, jelas didapati bahawa pihak Anwar/pembangkang telah mengadakan satu post-mortem terhadap PRU-13 yang jitu dan rapi.   Mereka nampaknya mula memahami yang rakyat sudah jelak dengan retorik dan demonstrasi jalanan.   Lalu mereka diam sebentar dan mengkaji apa sebenarnya yang rakyat mahukan. 

Apa yang penting untuk difahami mengenai pembangkang ialah, walaupun mereka tidak pandai mentadbir dan terpalit dengan berbagai skandal tetapi mereka cukup bijak memainkan persepsi. 

Malah, UMNO sendiri mengakui bahawa parti itu kalah dalam perang persepsi.  Segala kebaikan UMNO tidak lagi dilihat oleh sebahagian rakyat yang terpedaya dengan persepsi yang dibina oleh pembangkang terhadap UMNO.   Apa yang dibimbangkan ialah nampaknya sehingga ke hari ini, UMNO masih lagi kabur dalam menangani perkara ini. 

Sebelum ini pembangkang hanya melihat kepentingan menagih undi bukan Islam sehingga sanggup menggadaikan segala-galanya.  Pedih untuk diakui bahawa UMNO juga, malangnya, turut menggunakan strategi yang sama iaitu mengemis undi bukan Islam. 

Namun, sekiranya berita yang dipetik di atas adalah benar maka jelaslah bahawa pembangkang sudah belajar dari kesilapan itu. Kegilaan pembangkang merebut undi bukan Islam telah memakan diri di mana majoriti rakyat yang terdiri dari umat Islam akhirnya menolak mereka.  Dan inilah yang menyelamatkan UMNO dalam PRU-13 kerana dalam keadaan di mana kedua-dua pihak membelakangkan pengundi Islam, umat Islam merasakan ada sedikit harapan di bawah UMNO berbanding pembangkang yang didominasi DAP. 

Jadi, Anwar/pembangkang sudah memahami bahawa dalam sebuah demokrasi, undi yang perlu direbut adalah undi majoriti, bukan minoriti.   Dari situ mereka mengkaji kehendak majoriti dan mendapati bahawa majoriti rakyat amat mendambakan kepimpinan nasionalis!   

UMNO boleh memperlekeh ide ini sebagai satu lagi retorik pembangkang.  Tidak dinafikan ia  memang hanya satu retorik pembangkang.  Pembangkang atau Anwar Ibrahim tidak pernah meletakkan prinsip nasionalis dalam perjuangan mereka sejak dari mula dan kenapa mereka perlu menukarnya pada hari ini? 

Percayalah, mereka tidak akan menukarnya, tetapi sekadar membina imej dan seterusnya persepsi kononnya merekalah parti yang benar-benar prihatin terhadap kehendak majoriti.  Semua ini dilakukan sekadar untuk meraih undi majoriti dan menang pilihanraya sahaja. 

Oleh itu, Anwar mungkin akan kembali membawa imej Muslim sejati dan bukan lagi pejuang hak asasi.  Anwar mungkin akan kembali membela Melayu dan semakin garang dengan DAP.  Tentu sekali semua ini lakonan, tetapi jangan terkejut jika ramai yang terpedaya dengan lakonan itu akibat terlalu sangat mendambakan pemimpin nasionalis. 

Penulis punya satu cadangan kepada UMNO dalam menangani masalah ini dan menghadapi PRU-14.  Inilah dicadangkan agar UMNO membentuk imej nasionalis-professional.  Tidak perlu membawa imej Islamis kerana ia hanya akan berakhir dengan terperangkapnya kita semua dalam agenda iblis untuk memecahbelah dan menyesatkan umat Islam. 

Lagipun, imej Islamis tidak pernah berjaya kerana hakikatnya, kebanyakan dari kita, termasuk yang mengaku Ulama sebenarnya masih jahil lagi tentang agama.  Mesir yang ingin membawa pendekatan politik-Islam juga tumpas akhirnya kerana pemimpinnya hanya melihat Islam dalam satu arah iaitu ‘agama’ semata-mata.  Politik-Islam hanya akan berjaya jika pemimpinnya mempunyai kemampuan dan kebijaksanaan dalam semua bidang, serta tidak menumpukan seluruh perhatian terhadap hukum-hakam agama semata-mata.  
   
Justeru, penulis percaya imej nasionalis-professional adalah lebih relevan dalam dunia hari ini di mana rakyat semakin kritis dan sinis.  Apatah lagi dengan hakikat bahawa negara ini bersifat majmuk.  Kita tidak boleh memaparkan imej Islamis tanpa membuatkan masyarakat bukan Islam merasa terancam.  Tetapi kita boleh mengajak mereka untuk turut menjadi nasionalis, iaitu satu bangsa. 

‘Professional’ pula merujuk kepada kecekapan dan keterbukaan dalam pentadbiran, namun tegas dan tidak boleh diperkotak-katikkan oleh sesiapa.  Dan sikap sebeginilah yang perlu dibentuk di dalam UMNO. 

UMNO perlu hapuskan persepsi yang bersarang di pemikiran rakyat iaitu sebagai parti yang lembab, kampungan dan santai serta korup.  Dan ini hanya boleh dilakukan jika UMNO mengambil sedikit masa untuk menilai diri sendiri dan berubah, bukannya menyerang orang atau membela diri dua puluh empat jam sehari. 

Jika langkah mengubah persepsi rakyat ini tidak dilakukan segera maka ia hanya akan mengukuhkan lagi persepsi itu sekali gus membawa bencana kepada UMNO dalam PRU-14 nanti.   

PKR dan ‘PAS Demokrat’, atau PDRM atau apa saja panggilan nama mereka, nampaknya telah mempunyai gambaran yang jelas dan bersedia untuk memperbaiki diri dari segi persepsi.  Biarpun mereka tidak mungkin mampu memerintah dengan baik dan biarpun mereka penuh dengan skandal, korup serta diselaputi najis, namun semua itu tidak relevan dalam era di mana persepsi adalah segala-galanya.  

Lagipun, memperbaiki persepsi rakyat terhadap UMNO adalah lebih berkesan daripada memberitahu rakyat bahawa mereka telah diperdayakan oleh permainan persepsi pembangkang. 

Ingatlah bahawa UMNO punya banyak kelebihan dalam permainan persepsi ini kerana UMNO telah terbukti mampu mentadbir dengan baik.  Justeru, imej nasionalis-professional yang bakal ditonjolkan nanti bukan sekadar persepsi, tetapi realiti.

2 comments:

Anonymous said...

Parti Demokrat kat Indonesia pun nak kiok, SBY tak leh tanding presiden lagi, takde calon kuat presiden tahun depan, lagu pun beberapa pemimpin tertinggi masalah korupsi.

Yang tu Anwar nak.

Parti Keadilan Sejahtera yang logonya macam PKR tapi berlagak macam PAS pun ketuanya kantoi baru ni terima suap. Siap ada perempuan bayaran terlibat lagi.

Anonymous said...

Apa-apapun rakyat sudah jelak dengan demokrasi itu sendiri. Yang menang macam tak menang asyik tergugat je dalam nak buat keputusan. Yang kalah pun macam tak kalah , tindak tanduk sentiasa berbisa. yang jadi mangsa rakyat jelata.

Rakyat memang mahukan perubahan iaitu ISLAM. tapi Islam yang betul-betul punya. Islam yang kuat dan berwibawa, Islam yang sudah terbukti boleh membela rakyat. bukan setakat cakap-cakap atau ceramah kosong! Islam yang disegani kawan dan lawan! Islam yang dibelakangnya ALLAH DAN RASUL bukan disokong Amerika dan sekutunya. Barulah musuh takut untuk mempermain-mainkan Islam!

Islam macam Arqam je yang boleh selamatkan Melayu.itupun kalau orang Melayu dah sedar!

Melayu Islam

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget