Friday, March 15, 2013

Lahad Datu : Dr M sokong RCI, kertas putih siasat penglibatan pihak ketiga #1Malaysia #TolakPR #Pray4Sabah


Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menyatakan persetujuan berhubung cadangan Putrajaya untuk menubuhkan Suruhanjaya Dirajaya (RCI) dan membuka kertas putih bagi menyiasat dakwaan penglibatan pihak ketiga dalam insiden pencerobohan militan Sulu di Lahad Datu, Sabah.
“Kalau semua setuju boleh buat suruhanjaya,” kata bekas perdana menteri itu kepada pemberita selepas majlis penyerahan sumbangan kepada Tabung Kebajikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) oleh Yayasan Keamanan Global Perdana di sini.


“Siasat kemungkinan penglibatan pihak ketiga ... masalahnya semua operasi libatkan duit, dari mana duit orang yang mendakwa sebagai Sultan Sulu itu datang,” katanya.
Dr Mahathir yang pernah menjadi perdana menteri selama 22 tahun itu turut menegaskan, secara peribadi beliau tidak merasakan Sultan Sulu Jamalul Kiram III mempunyai begitu banyak dana bagi membiayai pencerobohan militan yang mendakwa mereka adalah “Tentera Kesultanan Sulu” itu di Sabah.
“Dari mana duit itu datang, saya tidak rasa sultan (Jamalul Kiram III) orang kaya ... kerajaan Filipina sendiri mengakui dia orang miskin,,” soalnya lagi.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishamuddin Hussein semalam berkata Malaysia tidak menolak kemungkinan menubuhkan RCI atau membuka kertas putih bagi menyiasat dakwaan kemungkinan ada pihak yang menjadi dalang di sebalik insiden pencerobohan di Lahad Datu tersebut.
Siasatan menyeluruh jelas Hishamuddin perlu dibuat bagi mengenal pasti motif sebenar pencerobohan itu termasuk kemungkinan ada pihak yang membiayai militan dari selatan Filipina itu untuk menggugat keamanan dan kedaulatan negara.
“Siasatan lebih menyeluruh perlu untuk kita tahu apa sebenarnya yang berlaku...ini kami akan lakukan sama ada menggunakan RCI atau buka kertas putih.
“Saya sendiri pun hendak tahu dalang di belakang pencerobohan ini dan siapa yang membiayai atau merancang kerana ini semua menyentuh kepada keselamatan nasional,” katanya.
Hishammuddin berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Sandakan semalam selepas mendengar taklimat berhubung situasi semasa di Sandakan oleh Ketua Polis Daerah Sandakan ACP Rowell Marong.
Mengenai sama ada hasil siasatan itu akan didedahkan kepada umum, Hishammuddin berkata ia akan dibincangkan oleh pucuk pimpinan apabila perkara itu selesai kelak.
Dr Mahathir hari ini telah menyerahkan sumbangan sebanyak RM80,000 kepada tabung kebajikan PDRM sebagai bantuan untuk pasukan keselamatan negara tersebut yang telah kehilangan lapan anggota sejak insiden pertempuran berlaku antara pasukan keselamatan dengan militan bersenjata Sulu bulan lalu.
“Kita mempertahankan negara, dan kita mempunyai hak untuk mempertahankan negara ini ... kita dapat lihat banyak pihak sedia mengorbankan nyawa untuk mempertahankan negara,” kata Dr Mahathir dalam ucapannya sebelum itu.
“Kita adalah sebuah negara yang merdeka dan diiktiraf diperingkat dunia termasuk juga Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), jangan pernah cuba menceroboh negara kami,” kata Dr Mahathir memberi amaran kepada penceroboh Sulu.
Insiden di Lahad Datu setakat ini telah mengorbankan 10 anggota pasukan keselamatan termasuk dua anggota tentera dan lapan anggota polis, manakala 58 militan Sulu turut terbunuh.
Putrajaya telah melaksanakan Operasi Daulat yang telah pun memasuki hari ke-11 bagi membersihkan saki baki pengganas yang masih berada di kawasan berkenaan.

No comments:

Post a Comment