KRISIS dalaman serta perebutan kerusi yang semakin panas antara pemimpin parti pakatan pembangkang di Perak sudah tidak dapat dibendung.
Walaupun cuba ditutup dengan penuh kepura-puraan termasuk lakonan mesra di pentas-pentas ceramah, pekung percakaran sesama pemimpin mereka sudah tidak mampu disembunyikan.
Ketika DAP berdepan krisis dalaman apabila pemimpin kanan mereka bertelagah sehingga berperang secara terbuka di laman sosial, Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula terus bergelut dalam soal agihan kerusi apabila kedua-duanya berebut-rebut antara satu sama lain.
Perkembangan ini memperlihatkan betapa pemimpin pembangkang terlalu dibuai dengan impian ke Putrajaya - masing-masing mengaku mampu menjadi jagoan dalam pilihan raya kali ini.
Pengumuman Dr. Muhammad Nur Manuty sebagai calon di Parlimen Bagan Serai semalam misalnya memberi tamparan hebat kepada Pas yang sejak awal-awal lagi mahu kerusi itu dikembalikan kepada parti itu lantaran masih berdendam ekoran tindakan wakil rakyat PKR, Mohsin Fadzli Samsuri menjadi wakil rakyat Bebas pada 2010.
Ketidakhadiran pemimpin Pas Bagan Serai ketika pengumuman Muhammad Nur diumumkan sebagai calon kawasan itu oleh Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Taman Serai Perdana semalam, dilihat sebagai protes terhadap pencalonan Pengerusi PKR Perak itu.
Difahamkan, permintaan supaya PKR membenarkan Pas kembali bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Alor Pongsu juga tidak dilayan.
Mereka (PKR) sedar peranan besar Pas di Bagan Serai pada 2008, tetapi nampaknya mereka buat keputusan sendiri. Sepatutnya soal (calon) ini dibincangkan lagi, bukan dengan umum begitu sahaja," kata sumber dalaman Pas ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Desas-desus mengenai percakaran Pas-PKR juga terserlah apabila Pemuda Pas Perak sebelum ini secara terbuka menamakan Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Mohammad Nizar Jamaluddin bertanding di DUN Changkat Jering walaupun mereka tahu kerusi itu milik PKR.
Usaha itu dipercayai bertujuan menyelamatkan Mohammad Nizar yang dijangka berdepan laluan sukar mempertahankan DUN Pasir Panjang setelah MIC memutuskan untuk menyerahkan semula kerusi majoriti orang Melayu itu kepada UMNO.
Di beberapa kawasan, Pas turut berdepan masalah dalaman termasuk di Parlimen Larut apabila pemimpin tempatan dikhabarkan tidak senang dengan bekas Ketua Siasatan Jenayah (KSJ) Bukit Aman Fauzi Shaari yang semakin pasti diletakkan sebagai calon.
Keadaan sama turut berlaku di kerusi-kerusi strategik termasuk Teluk Intan, Pasir Salak dan Parit apabila PKR pernah membayangkan hasrat untuk mengatur calon-calon mereka di kawasan berkenaan.
Krisis dalaman DAP terutamanya melibatkan kem Ahli Parlimen Ipoh Barat, M. Kulasegaran, Pengerusi DAP, Datuk Ngeh Koo Ham dan Setiausahanya, Nga Kor Ming pula dilaporkan semakin hebat apabila kedua-duanya bertelagah secara terbuka di Twitter.
Pertelagahan dikatakan berpunca apabila DAP negeri yang dikuasai Koo Ham berkeras mahu meletakkan lebih ramai calon-calon Cina termasuk di kerusi-kerusi yang sebelum ini ditandingi pemimpin India DAP.
Senario ini mencerminkan betapa pembangkang sebenarnya tidak mempunyai keyakinan menghadapi pilihan raya apabila masing-masing mahu mencari kerusi selamat, malah ada yang tamak mahu bertanding kedua-dua kerusi - Parlimen dan DUN.
Tujuannya cuma satu, jika tidak menang di Parlimen, mereka berharap boleh menjadi Yang Berhormat di peringkat DUN, itu pun jika pembangkang mampu menghalang gelombang sokongan rakyat yang kini dilihat semakin memihak kepada BN.
Ironinya, dalam banyak keadaan, Pas dilihat begitu kerdil dalam soal membuat keputusan walaupun diketahui parti itu paling dominan dalam soal kekuatan jentera pilihan raya - hakikat yang sebenarnya semakin dipandang enteng oleh kepimpinan DAP dan PKR.
Apa pun, rakyat sedang menilai semua senario ini kerana sejarah pernah menyaksikan percakaran sesama pemimpin pembangkang telah membawa krisis politik paling buruk di Perak pada 2009.
Melihat segala kerosakan dan porak-peranda akibat krisis itu, rakyat Perak tentunya tidak rela episod hitam itu kembali berulang.
Pssss........: kata Pakatan Rakyat... Tp pemimpin depa sendiri x pernah berpakat..
No comments:
Post a Comment