PUTRAJAYA : Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menandatangani Ikrar Integriti Pilihan Raya sebagai satu lagi komitmen beliau terhadap pelaksanaan agenda negara dalam membanteras rasuah terutamanya semasa Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Perdana Menteri menandatangani ikrar tersebut sambil disaksikan Timbalan Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Mohd. Shukri Abdul dan Presiden Transperancy International (Malaysia) (TI-M), Datuk Paul Low.
Yang turut hadir pada majlis serba ringkas itu Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan para pemimpin parti komponen BN.
''Apabila nama calon BN yang akan bertanding pada PRU-13 diumumkan, saya akan pastikan mereka menandatangani ikrar tersebut.
''Calon-calon dari parti komponen BN sudah melalui proses saringan SPRM dan adalah sesuai untuk mereka mengambil komitmen menandatangani ikrar integriti untuk pilihan raya yang bersih dan adil," katanya di sini.
Menurut Perdana Menteri, tanggungjawab memenuhi ikrar tersebut terletak di atas bahu mereka yang telah menurunkan tandatangan.
''Dan adalah menjadi hak rakyat untuk memastikan wakil rakyat terbabit berpegang kepada akujanji yang telah dibuat, justeru itu, marilah kita bekerjasama ke arah mengukuhkan proses pilihan raya," katanya.
Maklumat terperinci berhubung akujanji itu boleh diperoleh menerusi laman sesawang TI-M. Orang ramai akan bertanggungjawab menjadi mata dan telinga untuk memantau kepatuhan wakil rakyat masing-masing memenuhi piawaian itu.
Maklum balas boleh disalurkan menerusi akaun Facebook calon atau Twitter wakil rakyat terbabit.
Ikrar Integriti yang digerakkan TI-M adalah kontrak sosial yang ditandatangani secara sukarela oleh mana-mana calon yang akan bertanding pada PRU kelak.
Antara lain calon akan berikrar mengangkat integriti, tadbir urus yang baik, ketelusan dan akauntabiliti di peringkat negeri dan persekutuan serta menegakkan kedaulatan undang-undang.
Sent by DiGi from my BlackBerry® Smartphone
No comments:
Post a Comment