Walaupun puak
pembangkang berterusan menghentam mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad
(Tun M) namun, mereka tidak dapat menafikan yang ‘aura’ beliau begitu kuat dan
masih menghantui mereka, dan juga musuh-musuhnya.
Biarpun beliau sudah
bersara dan hanya menjadi pemerhati kepada perjalanan politik negara sambil
sekali sekala memberi pandangan dan pendapat, namun pandangan beliau tetap
dianggap sebagai pemantauan dan pendapat beliau dituduh sebagai arahan.
Tun Mahathir adalah
seorang yang berterus-terang dan rasanya tiada seorang pun yang mengenalinya
secara langsung atau sekadar melalui media, yang dapat menafikannya. Apabila beliau merasakan masa sudah tiba bagi
Tun Abdullah berundur, beliau menyatakannya tanpa selindung-selindung. Ini kerana beliau yang kita kenali, tidak
terikat kepada budaya Melayu iaitu ‘pukul anak sindir menantu’ kerana beliau
percaya kepada pentingnya berkata benar biarpun pahit.
Menyedari ‘aura’ Tun M
mampu mempengaruhi perjalanan politik Malaysia, maka pembangkang cuba menukar
‘aura’ itu agar memberi keuntungan kepada mereka. Oleh itu, dalam pada mereka meneruskan
kutukan dan cacian terhadap Tun M, mereka cuba membayangkan yang Tun M turut
bersetuju dengan mereka berkenaan ‘kelemahan’ kerajaan BN dan Perdana
Menteri. Harapan mereka agar aura Tun M
akan dapat mempengaruhi rakyat untuk turut melihat kelemahan kerajaan BN.
Maka, dari situlah
timbulnya kisah kononnya Tun M bersekongkol dengan Tan Sri Muhyiddin untuk
menjatuhkan Dato’ Seri Najib yang digebangkan di Malaysia Chronicle.
Dan semalam, timbul
pula kisah kononnya Tun M ‘menyuruh’ Dato’ Seri Najib meletak jawatan jika BN
gagal menang besar dalam PRU kali ini.
Penjelasan Tun M bahawa perletakan jawatan apabila gagal mencapai
sasaran merupakan amalan biasa sejak dari zaman Tunku Abdul Rahman iaitu
bergantung kepada kehendak ahli, telah ‘diperkecilkan’ di dalam laporan media
pembangkang. Dalam kenyataan yang sama
juga, Tun M ada mengakui bahawa Dato’ Seri Najib mewarisi BN dalam keadaan
lemah, tetapi pihak pembangkang telah membayangkan seolah-olah beliau berkata
yang kerajaan Najib lemah.
Bayangan-bayangan dan kisah-kisah
seperti ini dimainkan dengan giat di portal-portal pembangkang terutama yang
berbahasa Inggeris di mana sasaran pembacanya ialah mereka-mereka yang lebih
rasional. Ianya kelihatan semakin rancak
apabila PRU semakin dekat.
Apa yang sebenarnya
berlaku ialah Tun M memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada kerajaan
pimpinan Dato’ Seri Najib. Beliau juga
telah menyatakan bahawa beliau akan turun membantu secara sukarela sekiranya
didapati ada keperluan untuk berbuat demikian.
Dan seperti yang kita
tahu, jika Tun M merasakan yang Dato’ Seri Najib tidak layak maka beliau pasti
tidak akan teragak-agak untuk menyatakannya secara terus-terang dan tidak akan
sekali-kali berselindung di sebalik bahasa-bahasa manis sekadar untuk
menyedapkan hati sesiapa kerana itulah sifat beliau, dan rakyat semua sudah
memakluminya.
Dan inilah yang amat
ditakuti oleh PR iaitu Tun M memberi sepenuh sokongan kepada Dato’ Seri Najib
dan BN. Sedangkan, apa yang dapat
dilihat kini ialah aura Dato’ Seri Najib seorang sahaja sudah cukup untuk
menenggelamkan Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang dan Hadi Awang. Sekiranya Tun M pula menambah lagi sinaran
aura di belakang Dato’ Seri Najib, apalah daya pembangkang untuk melawan BN
nanti.
Justeru, percubaan
melaga-lagakan kedua-dua tokoh ini terus dilakukan walaupun setakat ini
kelihatannya langsung tidak berjaya.
Ini bukan sahaja kerana rakyat sudah mengenali sikap Tun M yang akan
berterus terang tetapi lebih-lebih lagi ialah kerana rakyat juga sudah mula
mengenali dan menyayangi Dato’ Seri Najib.
Oleh itu, pembangkang
tidak perlulah bersusah payah menjatuhkan maruah sendiri dengan cuba meraih
sokongan melalui aura Tun M. Nampak
sangat, para pemimpin pembangkang tidak punya ketokohan sendiri untuk menambat
hati rakyat agar meyakini dan menyayangi mereka, sehinggakan terpaksa menumpang
ketokohan musuh ketat mereka pula.
No comments:
Post a Comment