KL CHRONICLE: CERITA - CERITA GAZA @DrMaza

Wednesday, February 6, 2013

CERITA - CERITA GAZA @DrMaza

Pada 24-30 Januari baru-baru ini saya melawat Gaza. Saya menyertai rombongan PCOM (Palestinian Cultural Organization Malaysia) yang dikira rombongan rasmi dari pihak Malaysia. Datuk Seri Dr Shahidan Kassim mengepalai rombongan. Datuk Latif Mirasa Pengarah Yayasan Restu juga turut serta. Saya dan sahabat saya Dr Maszlee Malik menjadi anggota jemputan. Sepatutnya, ahli PCOM yang lain daripada PAS dan PKR turut menyertai. Namun, atas sebab yang tertentu mereka tidak dapat bersama.

Lawatan kami disambut oleh jemaah menteri Gaza. Kami bertemu dengan banyak menteri dan akhirnya dengan Perdana Menteri Gaza sendiri, Ismail Haniyeh. Kami melawat hospital dan pusat-pusat lain seperti mangsa perang, keluarga mangsa tahanan Israel dan lain-lain.

Jordan

Sebenarnya, inilah kali pertama saya ke Gaza. Walaupun saya belajar di University of Jordan, Amman (1990-1995) tapi saya tidak pernah berpeluang memasuki Palestine. Saya ada ramai kawan dan guru orang Palestine kerana mereka ramai yang tinggal di Jordan. Justeru, Palestine dan deritanya bukan sesuatu yang asing bagi mereka yang tinggal di Jordan. Di universiti, saya selalu juga menyertai demonstrasi, mahrajan (festival) dan pelbagai aktiviti berkaitan Palestine. Saya pernah lari dari kepungan polis yang menakutkan kerana menyertai demonstrasi isu Palestine. Kadang-kala ponteng kelas kerana sertai demonstrasi di universiti. Itu bukanlah sesuatu yang digalakkan. Namun, demikianlah Palestine itu begitu dekat di jantung hati kami. Sehinggakan terlalu bersemangat bersama kawan-kawan, dengan darah yang terlalu mentah ketika itu, saya berfikir untuk lari ke Palestine menyertai perjuangan mereka serta berdoa agar mati syahid di sana.

Pulang ke Malaysia, Palestine tetap wujud dalam ingatan, tapi kerna banyak kitaran dan putaran hidup, nama Palestine itu sudah tidak kerap dalam sebutan dan ingatan. Isu-isu umat Islam yang lain makin banyak, Palestine hanya salah satu daripadanya. Semangat Palestine dan Masjid Aqsa tidak lagi seperti dahulu. Ya, tidak pernah hilang dari simpanan ingatan, namun ligatnya kehidupan kadang-kala menjadi kita terlupa untuk menyebut bukan sahaja nama orang lain, bahkan nama kita sendiri dan dari mana akar kita ini.

Ahmad Yasin

Pada malam pertama di Gaza, kami menziarahi rumah al-Syeikh Ahmad Yasin r.h. Semoga Allah mengurniakannya darjah syahid yang besar. Tokoh yang terkenal sebagai sumber inspirasi intifadah. Insan yang hanya bergerak di atas kerusi roda, tetapi memiliki cita dan semangat yang membakar rakyat sehingga mereka semua bangkit berjihad atas nama Allah Yang Maha Agung. Tokoh kurang upaya yang menakutkan Israel dan dunia. Semasa di Jordan, apabila khutbah-khutbah Jumaat bercerita tentang Syeikh Ahmad Yasin, perjuangan dan pengorbanannya, kami sering menangis antara kesedihan dan semangat yang berkobar. Saya suka kata-kata Ahmad Yasin yang saya baca -walaupun saya tidak mampu melaksananakannya- menjawab pemohonan maaf muridnya yang menziarahinya pada waktu yang kurang sesuai dengan berkata: "Sesiapa yang hendak hidup untuk umat ini maka tiada baginya waktu yang sesuai dan yang tidak sesuai. Semua waktu hendak diusahakan agar sentiasa sesuai". Demikian, dia seorang pejuang yang lengkap sekalipun cacat kakinya. Saya hanya insan kerdil yang mempunyai cita tapi kurang upaya.

Apabila berita beliau ditembak hancur oleh helicopter Israel pada bulan 22 Mac 2004, para pencinta agama dan umat ini menangis kedukaan. Dunia Islam bergegar dengan airmata dan kesyahduan. Tubuhnya ditembak hancur sebaik sahaja keluar bersolat subuh di sebuah masjid di Gaza. Helicopter Israel dengan tiga peluru berpandu menembak seorang mujahid yang lumpuh kakinya, yang baru sahaja keluar dari menyembah Tuhannya yang Maha Agung. Hanya kepalanya sahaja yang tinggal, tubuhnya hancur berselerakan. Mengenang Ahmad Yasin menyebabkan airmata dan semangat mengalir serta membara serentak. Hanya manusia yang 'tidak insaf' sahaja yang sanggup mengeluarkan fatwa agama bahawa perjuangan Palestine itu sia-sia dan bukan jihad yang diiktiraf oleh Islam.

Kami ke rumah Ahmad Yasin melihat kesan-kesan yang tinggal. Kita tidak mengagungkan manusia melebihi batasan akidah, tetapi kita menziarahi untuk memberikan semangat dan mengenang sejarah perjuangan. Saya suka dengan kata-kata beliau yang diedarkan kepada kami iaitu: "Sesiapa yang bernazar dirinya untuk hidup demi agama maka dia akan hidup dalam keletihan, tetapi dia akan hidup sebagai orang yang agung dan mati sebagai orang yang agung". Saya merenung kepada diri saya yang teramat-amat daif dan tidak agung ini, apakah saya telah berletihan untuk agama ini, ataupun masih banyak lagi tenaga yang belum saya curahkan. Mungkin sebenarnya saya belum pun memberi tenaga yang sepatutnya untuk agama ini. Jika pun saya tidak agung semasa hidup, saya harap janganlah sampai saya dipertanggungjawabkan di akhirat atas dosa kecuaian dalam membela agama dan umatnya. Ya Allah! Ampunilah daku.

Maruah

Dalam lawatan ini, saya dapati satu sikap yang baik rakyat Gaza iatu mereka tidak meminta-minta. Kita tidak dapati orang-orang di tepi jalan yang suka meminta-minta seperti negara jiran mereka iaitu rakyat Mesir yang terkenal suka meminta, menipu dan rasuah di pelbagai tempat. Walaupun bukan semua, tapi kaitan Mesir dan penipuan amat masyhur dan setiap kali saya melalui airport Kaherah, saya akan alami sikap buruk pegawai-pegawai bertugas dalam mengambil harta mangsa-mangsa mereka secara haram. Justeru saya selalu berkata, jika kita menghantar pelajar ke Mesir untuk mempelajari budaya, disiplin dan tamadun itu mungkin pilihan yang kurang tepat. Kekotoran dan sikap tidak bersikap berdisplin dalam pengurusan sudah menjadi warna yang sukar dikikis dari mereka. Harapan agar revolusi dapat membawa perubahan, masih belum dilihat kesannya.

Barangkali oleh kerana lama mereka berjuang, maka rakyat Gaza ada nilai maruah yang tinggi. Mereka tidak meminta-minta di tepian jalan kepada orang asing. Saya membeli di sebuah pharmacy, saya tidak ingin mengambil duit lebihan namun empunya kedai tidak mahu menerima. Sebaliknya, dia memberikan kepada saya sesuatu.

Kataib al-Qassam

Saya kagum dengan Kataib (brigade) Al-Qassam yang menakutkan Israel itu. Walaupun mereka asalnya pasukan jihad rakyat, hari ini mereka mengambil tempat ketenteraan bagi Gaza yang tidak memiliki tentera rasmi. Disiplin mereka mengkagumkan. Kami diberikan taklimat bahawa antara disiplin, anggotanya hendaklah menghafaz al-Quran dengan kadar tertentu. Tidak boleh ponteng solat subuh berjemaah. Mereka sama sekali tidak akan membenarkan orang yang merokok menjadi anggota mereka. Justeru, tidak hairan mereka berperang di bumi Gaza, namun jantung hati mereka di berada di langit yang tinggi. Dalam membela tanahair dan membebaskan Palestine, mereka mencari ganjaran syahid di sisi Pencipta alam semesta. Inilah yang menakutkan Israel. Mereka menjaga Gaza pada siang dan malam. Kebetulan, kami bertemu dengan anak Perdana Menteri Gaza sendiri yang menggalas senjata bertahan pada embun malam menjaga bumi Gaza bersama rakan-rakannya. Al-Qassam juga mampu mencipta roket yang mampu mengenai sasaran di Tel Aviv yang membimbang Israel. Hari ini bukan lagi batu lawan kereta kebal, tetapi mereka sudah ada senjata yang agak banyak sekali tidak standing Israel. Namun mereka ada semangat yang tidak dapat ditandingi.

Tanggungjawab

Saya sempat berucap dalam satu perhimpunan yang agak besar untuk anggota keluarga mangsa tahanan penjara Israel. Ada yang dipenjara puluhan tahun yang tidak pulang-pulang. Tangisan mereka tiada siapa yang dengar. Derita mereka dunia membisu. Sesudah tangisan keinsanan mereka tidak dipeduli, ke mana pergi pula saudara seakidah yang berkongsi shahadah?! Malaysia amat dihargai oleh mereka kerana sumbangan kerajaan dan rakyat  dalam membela mereka.

Palestine mengingatkan kita tentang arahan Allah: Firman Allah: (maksudnya) "Dan apakah yang menghalang kamu (lalu kamu) tidak mahu berperang pada jalan Allah dan (untuk menyelamatkan) orang-orang yang tertindas yang terdiri daripada kaum lelaki, perempuan dan kanak-kanak, iaitu mereka yang selalu (berdoa dengan) berkata: "Wahai Tuhan kami! keluarkanlah kami dari negeri ini, yang penduduknya zalim, dan jadikanlah bagi kami daripada pihakMu seorang pemimpin yang mengawal (keselamatan kami), dan jadikanlah bagi kami dari pihakMu seorang pemimpin yang membela kami (dari ancaman musuh). Orang-orang yang beriman, berperang pada jalan Allah; dan orang-orang yang kafir pula berperang pada jalan taghut (pelampau). Oleh sebab itu, perangilah kamu akan pengikut-pengikut syaitan itu, kerana sesungguhnya tipu daya Syaitan itu adalah lemah". (Surah al-Nisa, ayat 75-76).

Kembara ke Palestine memberikan kami semangat dan muhasabah diri yang dalam.

* Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin ialah bekas Mufti Perlis
Sent by DiGi from my BlackBerry® Smartphone

No comments:

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget