KL CHRONICLE: [BONGKAR] SKANDAL LEMBAH SIREH PAS KELANTAN

Sunday, November 4, 2012

[BONGKAR] SKANDAL LEMBAH SIREH PAS KELANTAN



Lebih kurang seminggu dua kebelakangan ini, Kerajaan PAS Kelantan kelihatannya tak senang duduk, masing-masing semacam kehangatan dan keresahan lebih daripada biasa. 

Ramai pemimpin utama negeri bermula dari Exco-Exco hinggalah Timbalan Menteri Besar dan Menteri Besar sendiri yang terpaksa tampil ke depan untuk memperjelaskan isu skandal Lembah Sireh.

Penjelasan yang keluar dari mulut masing-masing ada pelbagai versi, ada yang mengatakan projek tersebut tidak merugikan, projek itu mungkin gagal, ada yang kata cuma kurang berjaya, kononnya pula bermasalah dengan soal tebus guna tanah dan itu ini segala macam aneka alasan.

Satu yang pasti, kesemua mereka sedaya upaya cuba menggambarkan Projek Pembangunan & Pengindahan Tebing Sungai Kelantan (PTSK) di Lembah Sireh, Kota Bharu yang kosnya dianggarkan sekitar RM2 bilion itu bebas daripada skandal, penyelewengan dan salah guna guasa mahupun rasuah.

Hakikatnya projek pembangunan di Lembah Sireh itu sehingga kini hanya 5% saja yang berjaya disiapkan sebagaimana diakui sendiri oleh Exco Kerajaan PAS Kelantan, Takiyuddin Hassan. 

Itupun hanya melibatkan projek komersial termasuklah pembinaan sebuah Pasaraya Besar Tesco, lot-lot kedai dan beberapa pembangunan lain yang tidakpun berbaloi dengan nilai tanah seluas 716.8 ekar (286.72 hektar) yang sudah menjadi hakmilik syarikat Liziz Standaco Sdn Bhd.

Manakala pembinaan komponen utama yang membabitkan kepentingan orang ramai seperti Jambatan Baru Palekbang (RM150 juta), sebuah masjid (RM20 juta) dan Stadium Tertutup Wanita (RM25 juta) hingga kini satu pun gagal untuk dibina.

Sedangkan kesemua komponen ini sepatutnya sudah siap sejak tahun 2007 lagi. Mentang-mentanglah kesemua pembinaan komponen di atas tidak menguntungkan poket para kroni maka sengaja diabaikan konon atas alasan harga bahan mentah telah meningkat naik.

Kalau setakat lewat disiapkan boleh tahan lagi, sekurang-kurangnya rakyat tahu tanah seluas 716.8 ekar yang sudah menjadi hakmilik Liziz Standaco itu tidaklah sia-sia kerana projek tetap berjalan. 

Masalah sekarang tanah sudah tergadai bertukar milik tapi projek pembangunan sebagai komponen utama yang nilainya hampir setara dengan nilai tanah berharga RM318.29 juta itu waima satu tiang dan batang besi pun tak kelihatan. 

Malah Jambatan Berkembar Sultan Yahya Petra yang pada asalnya termasuk dalam komponen tersebut yang patut dibina dan disiapkan oleh kerajaan PAS Kelantan melalui syarikat swasta yang dilantiknya itu pun tak termampu dibuat, akhirnya Kerajaan Pusat juga yang kena tolong binakan.

Bila Kerajaan Pusat dah tolong bina bermakna berdasarkan perjanjian yang ditandatangani pada 8 Julai 2003 yang turut dihadiri oleh Nik Aziz selaku MB Kelantan, maka Liziz Standaco sebagai pemaju projek perlu membayar wang sekurang-kurangnya RM90 kepada Kerajaan Negeri. Di manakah wang tersebut itu sekarang?

Satu perkara lagi yang cukup meragukan kenapa tanah yang ditafsirkan bernilai RM318.29 juta itu diberi kebenaran untuk dipindah hak milik kepada syarikat swasta itu, sedangkan sepatutnya ia hanya dilakukan selepas keseluruhan projek pembangunan siap dilaksanakan.

Nilai RM318.29 juta jauh lebih besar dari isu NFC yang diberi pinjaman RM250 juta untuk projek ternak lembu skala besar. 

Jika isu NFC begitu kecoh dipersoalkan sedangkan syarikat tersebut tetap wajib membayar pinjaman mengikut jadual, kenapa pula dalam skandal Lembah Sireh yang melebihi angka RM300 juta melibatkan pemindahan hakmilik tanah tanpa mengikut prosedur mahu dibiarkan saja?

Apabila keseluruhan projek Lembah Sireh ini diakui kurang berjaya atau dengan kata mudah telah gagal berjalan mengikut jadual, manakala hakmilik tanah sudah tergadai, maka jelaslah memang wujud unsur penyelewengan ataupun berlaku salahguna kuasa yang serius.

Jika segala jawatankuasa kerja teknikal benar-benar melaksanakan tanggungjawab mereka memantau projek ini sepertimana yang didakwa oleh pemimpin Kerajaan PAS Kelantan, maka sewajarnya tidak akan timbul isu tanah bertukar milik tanpa prosedur dan syarikat swasta itu pula akan patuh membina kesemua komponen yang wajib dibina oleh mereka.

Seseorang mesti mengambil tanggungjawab diatas kegagalan Kerajaan PAS Kelantan memantau perjalanan projek Lembah Sireh ini. 

Tanah hakmilik negeri yang merupakan amanah rakyat kepada Kerajaan PAS Kelantan sudah bertukar milik manakala para petani yang dulu bercucuk tanam mencari rezeki di tebing Sungai Kelantan sudah dihambat keluar. 

Serban dan jubah yang sering dipakai oleh pemimpin PAS Kelantan bukannya jawapan konkrit untuk menutup penyelewengan yang telah berlaku. Kini masanya rakyat menuntut pihak berkuasa segera mengambil tindakan dan mengheret si penyangak ke muka pengadilan. 

No comments:

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget