KL CHRONICLE: Lebih 1,000 graduan kejururawatan akan dilantik berkhidmat dibawah SL1M

Tuesday, October 30, 2012

Lebih 1,000 graduan kejururawatan akan dilantik berkhidmat dibawah SL1M

Kementerian Kesihatan akan membuat pengambilan baharu seramai 1,681 orang graduan lepasan diploma kejururawatan untuk berkhidmat di Kementerian Kesihatan pada Disember.

Proses temuduga akan dilaksanakan pada 10 hingga 12 Nov di 85 pusat temuduga di seluruh negara, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Liow, dalam kenyataan hari ini, berkata kerajaan bersetuju untuk mengatasi masalah pengangguran graduan lepasan diploma dengan menambah bilangan perjawatan bagi jururawat di kementerian.

Beliau berkata pada masa yang sama kementerian itu juga, dengan kerjasama Unit Perancang Ekonomi, akan melaksanakan Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) khusus bagi graduan lepasan diploma kejururawatan yang masih menganggur.

Program SL1M Graduan Kejururawatan ini adalah satu daripada usaha kerajaan untuk memperkasa graduan dengan kemahiran dan pengalaman klinikan yang boleh meningkatkan kebolehan mereka untuk memperoleh pekerjaan sebagai jururawat.

Liow juga berkata program SL1M ini akan melibatkan kerjasama sektor swasta iaitu hospital dan klinik swasta melalui tanggungjawab sosial korporat (CSR).

"Graduan yang terpilih bagi mengikuti program ini akan ditempatkan di hospital atau klinik swasta yang berdaftar bagi tempoh sekurang-kurangnya satu tahun untuk meningkatkan serta memantapkan kemahiran dan pengalaman klinikan para graduan."

Beliau berkata graduan juga akan didedahkan dengan kemahiran insaniah, atau "soft skills", menerusi program latihan dalaman yang dilaksanakan oleh hospital atau klinik swasta yang berkaitan.

Bagi graduan yang tamat mengikuti program SL1M ini boleh terus diambil berkhidmat oleh hospital atau klinik swasta berkenaan ataupun memohon untuk berkhidmat di hospital atau klinik swasta yang lain.

Menurut Liow, program itu akan dilancarkan pada pertengahan Disember juga.

"Kementerian berharap program ini akan menarik minat hospital atau klinik swasta sebagai satu daripada CSR dan pada masa yang sama setiap hospital atau klinik swasta yang mengikuti program ini akan mendapat Insentif Potongan Cukai Berganda," katanya. — Bernama


Sent by DiGi from my BlackBerry® Smartphone

No comments:

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget