KL CHRONICLE: Bantuan Lesen 1 Malaysia (BL1M), Pekan Pahang

Tuesday, October 23, 2012

Bantuan Lesen 1 Malaysia (BL1M), Pekan Pahang

BL1M

Sebanyak 234 belia lelaki dan wanita di daerah Pekan menerima lesen motosikal kelas B2 masing-masing melalui program Bantuan Lesen 1Malaysia (BL1M) yang disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di sini hari ini.

Program anjuran Sekretariat Hal Ehwal Bandar (SHEB) Pemuda UMNO itu menjadikan Parlimen Pekan sebagai projek perintis bertujuan meningkatkan pengetahuan undang-undang jalan raya dan etika pemanduan dalam kalangan golongan sasaran.

Dalam ucapan ringkasnya pada majlis itu, Najib berkata, program tersebut merupakan sebahagian daripada bantuan yang dapat diberikan bagi meringankan beban rakyat.

Sebahagian penerima BL1M
"Saya ucap terima kasih kepada Pemuda UMNO menerusi SHEB yang diketuai Tengku Azman Tengku Zainol Abidin yang menjalankan program perintis ini," katanya.

Sementara itu, Tengku Azman berkata, program dengan kerjasama Kelab Anak Wawasan Pekan (Kawan) yang bermula Mei lalu dianjurkan bagi menggalakkan pemilikan lesen memandu yang sah dan memberi kesedaran kepada mereka mengenai pemanduan berhemah.

"SHEB menerima lebih 800 permohonan namun, hanya 234 peserta berjaya mendapat lesen.

"Melalui program BL1M ini, SHEB mendapat beberapa penemuan berhubung permasalahan lesen seperti tidak mampu membiayai kos belajar memandu yang tinggi, tidak mahir komputer bagi ujian lesen dan kesedaran yang rendah terhadap keselamatan," katanya.

Beliau ditemui Utusan Malaysia selepas Majlis Penyerahan Program Perintis BL1M Lesen B2 tersebut.

Sementara itu, bagi penerima BL1M, Mohd. Hazwan Abd. Halim, dari Kuala Pahang di sini, dia tidak menyangka akan memperoleh lesen memandu yang diidamnya selama ini secara percuma.

"Saya gembira dan tidak menyangka kerajaan akan memperkenalkan program seperti ini kerana selama ini hanya diumumkan bantuan buku atau pakaian sekolah.

"Tetapi kali ini lesen turut diberikan percuma. Tiada apa yang boleh saya katakan melainkan ucapan terima kasih kepada kerajaan ," katanya yang merupakan seorang juruteknik.

Bagi Nur Afifah Abu Talib, 21, dari Kampung Padang Polo di sini, program BL1M itu berjaya merealisasikan impiannya untuk memiliki lesen memandu.

"Sebelum ini tidak pernah terfikir untuk memiliki lesen memandu kerana masalah kewangan.

"Saya juga tidak bekerja dan tidak mungkin mampu untuk mendapatkannya sendiri," katanya sambil mengucapkan terima kasih kepada kerajaan atas inisiatif tersebut.

Sementara itu, pada majlis sama turut diadakan program Jom Check Mata kendalian Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) dengan kerjasama Pergerakan UMNO Bahagian Pekan.

Menerusi program itu, kira-kira 1,200 orang hadir membuat pemeriksaan dan sebanyak 451 orang menerima cermin mata masing-masing secara percuma.

Dalam pada itu, seorang penerima cermin mata, Riana Fitri Lukman, 19, berkata, pemeriksaan mata dan pemberian cermin mata secara percuma dapat mengurangkan beban terutama golongan yang kurang berkemampuan.

"Kos membuat cermin mata pada masa kini boleh dikatakan agak tinggi dan saya lihat program seperti ini dapat membantu golongan yang memerlukan terutama pelajar seperti saya.

"Sehubungan itu, saya harap program bermanfaat seperti ini wajar diteruskan demi kesejahteraan rakyat," katanya.

No comments:

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget