KL CHRONICLE: Umno yakin rampas kembali Lembah Pantai dan empat kerusi lain di WP

Saturday, June 2, 2012

Umno yakin rampas kembali Lembah Pantai dan empat kerusi lain di WP

KUALA LUMPUR, 2 Jun — Umno yakin Barisan Nasional (BN) akan dapat merampas kembali kerusi Parlimen Lembah Pantai serta empat kerusi lain di Wilayah Persekutuan yang terlepas ke tangan parti pembangkang dalam pilihan raya 2008. 

Setiausaha Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee berkata keyakinan itu berdasarkan kepada sikap warga kota terutama pengundi muda kini yang mula memberi tanggapan positif terhadap Umno serta BN. 

Empat kawasan parlimen lain yang diyakini dapat ditawan kembali ialah Parlimen Batu, Titiwangsa, Wangsa Maju dan Bandar Tun Razak, katanya dalam laman blog www.umnobahagiancheras.blogspot. 

Beliau berkata sambutan hebat penduduk setempat terhadap pelbagai program yang dijalankan kerajaan di Wilayah Persekutuan memperlihat bahawa rakyat kini telah muak dengan janji kosong pembangkang. 

"Kita sudah lihat ada perubahan... tsunami politik akan berlaku apabila warga kota beralih arah kepada BN setelah mereka kecewa dengan pelbagai janji kosong pembangkang," katanya.

Mengenai soal calon, Syed Ali yang juga Ketua Umno Bahagian Cheras berkata kepimpinan parti di setiap bahagian menaruh kepercayaan dan keyakinan kepada Pengerusi Perhubungan, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung pemilihan calon yang bakal diletakkan bertanding pada PRU ke-13. 

"Pada hemat saya, soal siapa calon bukan isu besar, sebaliknya kita di Wilayah Persekutuan terus bekerja keras bagi memastikan Umno serta BN kembali cemerlang," katanya. 

Daripada 13 kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan, BN hanya memenangi tiga kerusi, iaitu di Putrajaya, Setiawangsa dan Labuan pada pilihan raya 2008. — Bernama
Sent by DiGi from my BlackBerry® Smartphone

No comments:

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget