SUARAM nekad untuk terus menipu walaupun penipuan mereka mengenai kapal selam scorpene dan pembunuhan Altantuya telah terdedah. Nampaknya penipuan SUARAM terlalu mendalam di mana mereka tidak dapat lagi keluar darinya dan satu-satunya jalan yang tinggal ialah untuk terus menuju ke dasar.
Kita faham bahawa SUARAM perlu terus menipu kerana Pilihanraya Umum semakin hampir tetapi sekurang-kurangnya, SUARAM perlu memikirkan penipuan yang lebih baik, ataupun mengetahui bila untuk berhenti menipu, iaitu sebelum penipuan itu menjadi terlalu besar sehingga tidak terkawal lagi.
Kita tahu bahawa SUARAM telah hilang kawalan atas penipuan mereka sendiri apabila penipuan mereka semakin mudah untuk dikesan, malah melucukan. Contohnya, SUARAM menyatakan bahawa mereka mempunyai bukti dalam bentuk gambar bahawa Altantuya berada di Perancis pada tahun 2007 yang mana portal Malaysiakini begitu teruja untuk membantu menyebarkannya di internet.
Tetapi, bahagian yang menyeramkan mengenai penipuan ini ialah: Altantuya telah dibunuh pada tahun 2006.
Bagaimana SUARAM boleh terlepas pandang fakta penting ini – iaitu kunci segala penipuan mereka sendiri?
SUARAM mungkin sedikit panik dalam usaha mereka untuk meyakinkan orang ramai di ketika kredibiliti mereka sendiri telah hancur lebur.
Penyiasatan polis Perancis telah mendedahkan bahawa orang yang bernama Altantuya Shaariibuu tidak pernah memasuki Perancis di antara tahun 1999 hingga 2006 yang mana mengesahkan bahawa mendiang tidak pernah terlibat dalam urusniaga kapal selam sama ada sekadar menemani mana-mana VIP ataupun sebagai penterjemah sepertimana yang didakwa oleh SUARAM. Dan seperti yang disahkan oleh bekas Pengurus Jualan DCNS, Mr. Fredric Faura, semua urusan pembelian dilakukan dalam bahasa Inggeris dan tiada penterjemah yang diperlukan.
Mungkin SUARAM cuba untuk mencabar pihak berkuasa agar mengambil tindakan ke atas mereka dengan harapan ia boleh digunakan untuk meyakinkan orang ramai bahawa kerajaan benar-benar mempunyai rahsia yang perlu ditutup dalam kes ini.
Tetapi kerajaan Malaysia bukanlah bodoh, begitu juga kerajaan dan pihak berkuasa Perancis, termasuk hakim, polis dan pegawai imigresen mereka.
Pihak Perancis tentu telah mengesan ketibaan Altantuya jika benar mendiang memasuki negara tersebut sebelum kematiannya. Kecualilah jika mendiang memasuki negara itu selepas kematiannya sepertimana yang diwar-warkan oleh SUARAM/Malaysiakini. Mungkinkah mendiang telah ‘terbang secara ghaib’ dan ‘menjelma’ di dataran di tengah-tengah kota Paris lalu menyuruh seseorang mengambil gambarnya sebelum menyerahkannya kepada SUARAM dan Malaysiakini. Ini tentulah tidak masuk akal sama sekali.
Justeru, SUARAM perlulah menyusun kembali cerita ini sebelum menceritakan semula kepada kita agar penipuan ini nampak masuk akal sedikit.
Sebenarnya, ramai yang berminat untuk mendengar cerita SUARAM seterusnya kerana ia agak menyeronokkan melihat bagaimana kisah ini dibelit, diterbalikkan, dipusing sebelum tertepek kembali ke muka SUARAM.
Namun, secara rasionalnya, kita menasihatkan SUARAM agar berhentilah membodohkan diri sendiri. Kita menasihati sedemikian bukanlah kerana kita merasa kasihan kepada SUARAM, tetapi bukankah sudah sampai masanya kita membiarkan Altantuya bersemadi dengan tenang?
Jika apa yang SUARAM katakan adalah benar iaitu terdapat sesuatu yang ‘pelik’ dalam urusniaga kapal selam, maka biarlah mahkamah Perancis menentukannya. Tidak perlu sebarang publisiti murah bagi sesuatu yang sedang di dalam siasatan.
Kecualilah jika apa yang dikatakan ‘pelik’ itu tidak berlaku dan SUARAM memang sengaja mencari publisiti murah dan bodoh yang disangkanya dapat memberi sedikit keuntungan politik kepada pihak pembangkang.
No comments:
Post a Comment