Bagaimanapun, sejak itu nampak yang tiga parti berkenaan seolah-olah hangat-hangat tahi ayam atau semakin tidak yakin yang pakatan mereka perlu atau boleh disahkan sebagai pakatan rasmi.
Petunjuk terbaru yang tiga parti itu terus tidak yakin atau kurang berani untuk diijabkabulkan secara sah ialah pengumuman yang mereka akan bertanding PRU akan datang dengan menggunakan lambang parti masing-masing.
Naib Presiden PKR, Chua Tian Chang aka Tian Chua dipetik oleh Sin Chew Daily sebagai berkata parti-parti PR akan menggunakan simbol masing-masing hatta jika Pendaftar Pertubuhan memberi pengiktirafan rasmi esok.
Kenyataan Tian Chua itu senada dengan yang dibuat oleh Ketua Penerangan PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, akhir tahun kalu. Katanya, pembangkang tidak pernah berhasrat menukar lambang pada pilihan raya nanti, sebaliknya PAS, PKR dan DAP akan menggunakan lambang masing-masing pada kertas undi.
Tidak kira apa pun kedudukan sebenar, alasan kesuntukan masa untuk mendaftarkan PR sebagai sebuah parti politik campuran tidak boleh diterima lagi kerana keputusan merasmikan (formalise) PR dibuat hampir empat tahun lalu, iaitu beberapa hari selepas ia menang besar dalam PRU 2008.
Bukan itu saja, pada tahun 2009, PR telah melantik bekas menteri BN, peguam Mohd Zaid Ibrahim, yang ketika itu ahli majlis tertinggi PKR, sebagai penyelaras dan pengerusi jawatan kuasa sementara (protem committee) "parti" Pakatan Rakyat Malaysia (PRM) dengan tugas mendaftarkannya secara rasmi.
Nampaknya, bukan saja parti-parti PR kurang yakin dengan kelangsungan jangka panjang pakatan mereka, tetapi aspek sentimental masih kuat mempengaruhi tindak-tanduk mereka, khasnya PAS dan DAP yang berupa parti tua politik Malaysia.
Ahli dan penyokong kedua-dua buah parti itu mungkin akan tawar hati dengan pertubuhan masing-masing kalau lambang mereka yang ikonik lesap dari kertas undi dan digantikan dengan lambang baru yang asing.
Dalam konteks ini, PAS telah berpengalaman menanggung musibah kerana mengorbankan lambangnya ketika menjadi anggota BN dan bertanding menggunakan lambang BN dalam PRU 1974.
Lagipun, selain daripada kesepakatan untuk menjatuhkan BN, parti-parti PR tidak mempunyai banyak persamaan dan kata sepakat.
Selain itu, kehadiran ramai "free operator" yang kerap cakap celopar dan merapu dalam parti-parti itu memudaratkan satu sama lain, khasnya antara PAS dan DAP yang umpama langit dengan bumi.
Malah dalam PAS sendiri ada ramai ubi rebus tidak empuk yang menyukarkan usaha parti itu mengembangkan sayapnya melepasi negeri-negeri Melayu Utara Semenanjung.
Kejadian terbaru ialah keceloparan mulut bekas Menteri Besar Perak, Mohd Nizar Jamaluddin, yang mempersoalkan pembidaan nombor plat WWW 1 oleh Sultan Johor.
Perbuatan pendek akal beliau itu memudarkan harapan Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub, dalam usahanya menggempur negeri Johor dalam PRU nanti.
Kalau benar DAP, PAS dan PKR mahu pakatan pilihan raya mereka dirasmikan sebagai pakatan formal, mereka tentulah sudah membuat bising satu Malaysia dan melemparkan berbagai tuduhan terhadap ROS kerana lambat mendaftarkan parti mereka.
Sebaliknya, selepas pengunduran Mohd Zaid daripada PKR pada tahun 2010, cakap-cakap mengenai pendaftaran PR amat jarang kedengaran. Salah satu sebabnya ialah DAP yang amat berpengaruh dalam PR, menaruh harapan terhadap Mohd Zaid sebagai orang yang berkemungkinan menggantikan Anwar Ibrahim sebagai ketua de fakto PR. Wallahualam. — kadirjasin.blogspot.com
Sent by DiGi from my BlackBerry® Smartphone
No comments:
Post a Comment