KL CHRONICLE: BISIK-BISIK AWANG SELAMAT - @mediaumno

Sunday, June 10, 2012

BISIK-BISIK AWANG SELAMAT - @mediaumno

Ada seorang sahabat lama menarik perhatian Awang tentang ceramah Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim yang mengaitkan pemimpin-pemimpin dunia dan tokoh agama.

Antaranya negarawan India, Mahatma Ghandi, pemimpin Turki, Recep Tayyip Erdogan, pemimpin Hamas, Khalid Masyal dan tokoh Islam, Yusof Qaradhawi.

Menurut sahabat itu, Anwar ghairah mengangkat diri seolah-olah menyamai ketokohan mereka.

Awang sekadar senyum. Persoalannya, apakah beliau tidak percaya kebolehan sendiri sehingga terpaksa mengheret nama tokoh dunia?

Jawapannya mudah. Anwar semakin terdesak untuk menyakinkan orang ramai. Reputasinya merudum kerana isu moral dan integriti, yang setakat ini gagal dijawab. Maka salah satu jalan keluar ialah mengaitkan dirinya dengan tokoh-tokoh dunia agar memberi kesan psikologi kepada para hadirin.

Tetapi Anwar terlupa bahawa tokoh-tokoh yang disebut itu mempunyai rekod bersih sama ada dari segi moral mahupun integriti. Mereka bukan biseksual dan tiada kes liwat. Setiap daripada mereka tidak pernah terbabit dalam skandal video seks bersama pelacur.

Awang membaca sejarah dan rekod pencapaian tokoh-tokoh berkenaan, kesemuanya belum pernah dilaporkan bercakap bohong apatah lagi untuk mengheret rakyat dalam isu moral. Mereka juga tidak pernah mempunyai akaun induk berbilion ringgit dan menyalahgunakan kuasa.

Pendirian tokoh-tokoh itu dalam menolak amalan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) begitu jelas dan tiada kompromi. Awang melihat manipulasi Anwar ke atas negarawan dan tokoh antarabangsa tidak akan membantu. Yang kotor tidak sama dengan yang bersih.

Awang tiada masalah kalau yang kotor mahu menumpang imej yang bersih. Tetapi kasihan kepada tokoh-tokoh dunia berimej bersih kerana dipergunakan oleh pemimpin yang berimej kotor.

Atau Anwar, yang disebabkan kecelaruan dan fikiran songsangnya tidak berupaya membezakan antara bersih dan kotor. Yang kotor dianggap bersih dan yang bersih dilihat kotor. Tidak mengejutkan.

Julai atau Sept?

Pertanyaan yang paling popular sekarang ialah bilakah Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) akan diadakan?

Ia terus menjadi teka-teki rakyat Malaysia. Desas-desus yang berlegar mengaitkan PRU13 sama ada pada Julai atau September.

Malah ada yang menjangkakan lebih lewat iaitu selepas pengumuman Bajet atau awal tahun depan.

Setiap jangkaan dan ramalan ada hujah masing-masing dengan mengambil kira senario tertentu. Beberapa teman Awang tidak sabar-sabar menunggu pengumuman pembubaran Parlimen.

Ada ramai juga politikus sama ada parti memerintah mahupun pembangkang mengakui sudah penat dengan senario politik sekarang. Lagi lama PRU13, lagi banyak kerja dan tekanan.

Nasihat Awang yang bernilai 10 sen kepada mereka, dalam politik ketahanan adalah kriteria utama. Politik adalah berkaitan percaturan. Bersedialah dengan andaian PRU13 sudah terlalu hampir dan bertahanlah seolah-olah ia akan diadakan selewat tahun depan. Lagi lewat PRU13, bukan suatu masalah termasuk kepada parti politik. Ia membolehkan Barisan Nasional (BN) dan pakatan pembangkang mempunyai lebih kesempatan menyelesaikan banyak isu dalaman. Paling mencabar ialah memuktamadkan calon dan bagi menangani mereka yang kecewa tidak dipilih. Beberapa pemimpin pakatan juga berharap PRU13 diadakan selepas September kerana banyak isu semasa yang tidak memihak kepada pembangkang pada masa ini.

Awang tidak mahu fikir berlebihan tentang tarikh PRU13. Buat apa rungsingkan fikiran, bila-bila PRU13 mahu diadakan pun tidak menjadi masalah. Bukannya ada hadiah jika membuat ramalan tepat, sebagaimana menang peraduan. Yang penting ialah rakyat Malaysia perlu analisis yang betul dalam membuat persiapan memilih parti bertanggungjawab dan berkebolehan untuk mentadbir negara. Siapa yang anda lebih percaya dalam semua aspek, antara Perdana Menteri, Najib Razak yang menerajui BN dan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim? Siapa di antara mereka yang mampu membawa Malaysia menangani cabaran negara dan menjadi sandaran kepada masa depan anak cucu kita? Silap memilih nakhoda, musnahlah negara dan rakyat menjadi mangsa.

Itu lebih penting daripada soal tarikh. Namun semua orang bebas membuat congak dan telahan PRU13 jika itu membawa kepuasan dan keseronokan. Apa pun, Perdana Menteri yang akan membuat penentuan tarikhnya nanti. Tunggulah dengan fikiran lapang dan terbuka.

Di mana mereka?Daripada 141 perusuh perhimpunan haram Bersih 3.0 yang dikehendaki polis sebagaimana disiarkan beberapa kali menerusi media sebelum ini, hanya 35 telah menyerah diri.

Nampaknya ramai yang masih berdegil walaupun telah melebihi tempoh sebulan sejak pengumuman dibuat.

Maka Awang setuju dengan langkah polis menubuhkan pasukan khas, Cantas bagi memburu mereka.

Golongan itu mesti dikesan dan diberkas. Tindakan enggan menyerah diri adalah bukti mereka tidak bertanggungjawab dan terus mencabar undang-undang.

Awang harap menerusi penubuhan Cantas, polis akan lebih efisien dan bukan sekadar menunggu maklum balas orang ramai. Peringatan dan amaran yang berulang kali tidak menggerunkan.

Menjadi harapan rakyat untuk melihat polis di bawah pimpinan Ketua Polis Negara, Ismail Omar lebih bertegas dan agresif dalam soal menegakkan undang-undang dan memelihara keamanan.

Kegagalan memberkas mereka bagi dihadapkan ke mahkamah hanya akan memberi isyarat yang salah kepada orang ramai. Selepas ini, perusuh jalanan boleh bebas malah berpeluang mengulangi perbuatan mereka termasuk mencederakan polis dan merosakkan harta awam.

Kepentingan majoriti rakyat yang cintakan keamanan tidak boleh dinafikan. Golongan terbesar ini juga punya hak dalam amalan demokrasi.

Kepimpinan polis pasti lebih arif. Penyelesaiannya ialah tindakan, bukannya retorik.

BAM dan NadzmiGelombang kritikan pelbagai pihak terhadap kepimpinan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menarik perhatian orang ramai.

Ini ekoran kegagalan pasukan badminton Malaysia pada suku akhir akhir misi Piala Thomas di Wuhan, China, baru-baru ini. Ia merupakan kali kedua Malaysia tidak melepasi suku akhir selepas sejarah hitam 2004.

Antara kritikan yang dilemparkan ialah BAM gagal melahirkan ramai bintang dan terlalu bergantung kepada Lee Chong Wei serta kelemahan dalam perancangan.

Turut membidas BAM ialah bekas jaguh beregu negara, Cheah Soon Kit yang kini menjadi jurulatih program remaja. Katanya, persatuan itu asyik memberikan alasan lapuk setiap kali gagal.

Rumusan beliau: BAM hanya gah dengan perancangan menjelang Piala Thomas sedangkan realitinya masih banyak kelemahan yang perlu diatasi.

Bekas Presiden BAM, Elyas Omar lebih pedas komennya. Menurut beliau, BAM memerlukan perubahan drastik dan rombakan besar-besaran. "Kalau saya pegang (terajui persatuan) badminton 12 tahun tapi tak capai apa-apa susahlah," katanya.

Awang juga tertanya-tanya hala tuju BAM. Sudah 20 tahun Malaysia gagal membawa pulang Piala Thomas sejak kali terakhir memenanginya pada 1992 di bawah kendalian Elyas.

Hari ini, kedudukan Malaysia pada ranking dunia jatuh tangga keenam. Pencapaian negara-negara yang tidak mempunyai tradisi kecemerlangan dalam sukan itu terutama Jepun dan Thailand meningkat.

Sedangkan Malaysia yang merupakan jaguh dunia ketika era kegemilangan 1960-an hingga awal 1990-an, masih tidak mampu bangkit. BAM tidak boleh membiarkan sukan itu mengalami nasib seperti sepaktakraw. Bertindak sebelum terlewat.

Awang percaya Presiden BAM, Mohd. Nadzmi Mohd. Salleh yang menyandang jawatan itu sejak 2000 mendapat mesej yang sangat jelas. Awang setuju dengan Elyas bahawa Nadzmi perlu berundur. Tidak akan jatuh maruah jika beliau memberi laluan kepada orang lain memimpin BAM.

Walaupun langkah itu bukan menjamin penyelesaian total, namun pembaharuan mesti bermula terutama pada peringkat pucuk pimpinan. Kita harus semai budaya kebertanggungjawaban termasuk dalam persatuan sukan. Sambil Awang mengakui sumbangan besar Nadzmi kepada sukan badminton, beliau juga harus bersikap realistik dan membaca suara ramai. Dalam kehidupan, akan sampai suatu tahap bahawa era kita sudah berlalu. Itu lumrah sebenarnya. — Utusan Malaysia
Sent by DiGi from my BlackBerry® Smartphone

No comments:

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget