18 MEI — Perbalahan dan percanggahan pendapat dalam pakatan pembangkang khususnya membabitkan persetujuan bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan PAS dalam isu hudud terus hangat diperkatakan. Perang mulut antara pemimpin PAS dan DAP berkaitan isu hudud jelas menggambarkan ketiga-tiga parti itu sebenarnya dilanda konflik dalaman.Tidak cukup dengan itu, DAP turut menerima tamparan hebat apabila Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim mengambil keputusan keluar parti kerana menganggap dirinya "sudah tidak selari" dengan pendirian parti itu terutama berkaitan isu demonstrasi jalanan Bersih 3.0 di ibu negara, 28 April lalu.
Rentetan beberapa isu yang melanda pakatan pembangkang memberi petunjuk pembangkang kini tersepit dalam pelbagai masalah parti yang tidak mampu diselesaikan kerana tiada kesepakatan antara mereka.Walaupun begitu, isu yang memporak perandakan pakatan pembangkang ini cuba disembunyikan. Sebaliknya sikap biadap beberapa individu rakyat Malaysia yang terjerit-jerit perkataan Bersih ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berucap pada majlis "Sepetang Bersama Perdana Menteri" di London pada 15 Mei lalu dibesar-besarkan media sosial terutama portal berita dan blog propembangkang.
Media propembangkang menyifatkan tindakan beberapa individu biadap yang menghadiri majlis berkenaan sebagai berani dan luar biasa walaupun hakikatnya perbuatan mereka tidak beradab dan tidak sepatutnya dilakukan oleh warga Malaysia, seolah-olah tidak pernah diajar untuk menghormati pemimpin negara, apatah lagi beliau adalah Perdana Menteri yang selayaknya kita sanjungi.Hakikatnya, perbuatan biadap dan tidak menghormati Perdana Menteri itu sama seperti menghina Perlembagaan, Yang di-Pertuan Agong, Parlimen serta rakyat majoriti yang menerima Najib sebagai Perdana Menteri.
Namun begitu, ada juga Facebook (fb) yang mengutuk, membantah dan mengkritik tindakan biadap individu berkenaan.Melihat kepada sikap biadap mereka, apa yang disifatkan sendiri oleh Perdana Menteri sebagai tidak bertamadun, memang tidak syak lagi mereka ini adalah pengikut Bersih dan propembangkang.Dalam ilmu psikologi, jiwa dan diri penyokong pembangkang ini mempunyai sikap suka menentang (anti-establishment), suka menimbulkan kekecohan, tidak menghormati hak orang lain, tidak bersyukur dan psikologi mereka cenderung kepada tindakan di luar norma manusia biasa yang lazimnya mahukan keamanan, kedamaian serta keharmonian.
Tanpa mengira apa fahaman dan anutan agama mereka atau keturunan mereka, golongan ini memiliki sikap sama iaitu suka melakukan provokasi bagi membangkitkan kemarahan atau mengaib-kan pihak lain tetapi pada masa sama mahu orang lain mengiktiraf kebiadapan mereka.Justeru, dalam insiden di London itu, Timbalan Menteri Luar, S. Kohilan Pillay menyifatkan ia sebagai perbuatan tidak wajar dan bertentangan dengan budaya masyarakat Malaysia yang lazimnya amat menghormati orang lain, apatah lagi pemimpin tertinggi negara.Baginya, rakyat Malaysia termasuk yang berada di luar negara perlu berfikiran terbuka dan matang, tidak terpengaruh dengan emosi dengan menghormati pemimpin negara yang mahu bertemu dengan mereka.
"Tidak perlu timbulkan kekecohan apabila pemimpin nombor satu negara sedang berucap. Perbuatan menjerit-jerit ketika Perdana Menteri sedang berucap memang tidak wajar. Jangan terikut-ikut dengan politik samseng seperti yang berlaku ketika perhimpunan Bersih," katanya.
Beliau turut melahirkan perasaan hairan dengan sikap pelajar berkelakuan biadap itu yang dianggap sebagai tidak tahu menjaga imej dan maruah pemimpin negara di depan rakyat asing.Katanya, perbuatan itu hanya memalukan negara kerana ia menggambarkan seolah-olah tiada saluran bagi pelajar untuk menyuarakan pandangan, pendapat dan pendirian mereka kepada kerajaan."Kalau tidak ada saluran perhubungan, kita faham mereka mungkin bertindak sedemikian, tetapi kerajaan sentiasa bersikap terbuka."Setiap kali pemimpin kita pergi ke luar negara, akan ada sesi penerangan dan dialog bersama rakyat kita termasuk pelajar bagi menyatakan pandangan, buah fikiran dan cadangan dalam sesuatu isu.
Di situ pelajar boleh bersuara secara tertib, bukan dengan menjerit-jerit pada majlis rasmi," katanya.Sebagai rakyat Malaysia, kita bangga dengan sikap kepemimpinan ditunjukkan Perdana Menteri berdepan insiden itu dengan tenang walaupun perbuatan segelintir individu itu mungkin menjejaskan maruah diri dan negara. Beliau tidak menunjukkan reaksi marah dengan sikap biadap mereka, sebaliknya dengan nada bersahaja menasihati mereka supaya tidak membuat kacau pada majlis yang dihadiri ramai hadirin dan bertemu beliau selepas majlis jika ada sesuatu yang hendak diperkatakan.
Antara lain Perdana Menteri berkata: "Anda boleh menyampaikan pandangan anda. Anda mahu bercakap mengenai pengundi... saya akan beramah mesra dengan orang ramai selepas ini. Bercakaplah dengan saya dalam cara bertamadun."Jangan mengganggu ketika orang ramai kerana ia bertentangan adab orang Malaysia, malah sangat biadap. Kita tidak mengajar nilai-nilai sebegini di Malaysia."Mungkin pemimpin dan penyokong Bersih perlu belajar sesuatu daripada teguran Perdana Menteri itu dan jangan pamer sikap yang memalukan itu di khalayak ramai, apatah lagi di luar negara. — Berita Harian
Sumber : Anwar Patho Rahman/Berita Harian
1 comment:
mmg biadap sungguh penyokong2 cina bersih kat london tu. done follow - Noob
Post a Comment