Tuesday, June 24, 2014

@PDRMsia Beri Amaran Kepada Facebookers Cc @KBAB51


Polis akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang didapati menyebarkan maklumat palsu berhubung khabar angin terdapat van putih menggunakan nombor pendaftaran kenderaan negara jiran berkeliaran dan menculik kanak-kanak sebagai mangsa organ.




Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Mohd berkata, pihak yang didapati masih meneruskan penyebaran berita palsu itu menerusi laman sosial akan dikenakan tindakan undang-undang di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).



Menurutnya, seseorang yang menggunakan internet atau telefon untuk menyebar berita palsu boleh dikenakan tindakan mengikut seksyen 233(1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang memperuntukkan hukuman denda RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.



“Polis memberi amaran keras kepada mana-mana pihak supaya tidak lagi menyebarkan berita palsu yang bertujuan menakut-nakutkan orang awam terutama pelajar sekolah tentang sindiket menculik dan menjual organ menggunakan van berwarna putih,” katanya kepada Sinar Harian.



Noor Mushar berkata, penyebaran maklumat menerusi Facebook (FB), WhatsApp dan Sistem Pesanan Ringkas (SMS) itu dipercayai menular sejak seminggu lalu hingga mendatangkan kegusaran kepada masyarakat setempat.



“Sehingga kini polis masih tidak menerima apa-apa laporan daripada orang awam berhubung perkara ini dan hasil siasatan kita juga mendapati tiada sebarang kes dilaporkan berlaku di daerah ini,” katanya.



Beliau berkata, beberapa individu turut dipanggil bagi membantu siasatan berhubung penyebaran maklumat palsu itu ekoran terdapat dakwaan kononnya mereka terserempak dengan van terbabit.



“Hasil siasatan polis juga mendapati gambar pada van terbabit telah disunting pihak tidak bertanggungjawab yang bertujuan menakut-nakutkan orang awam terutama pelajar sekolah,” katanya.



Menurutnya, orang awam diminta merujuk terlebih dahulu kepada polis sebelum menyebarkan sesuatu perkara itu bagi mengesahkan maklumat yang diterima itu benar atau sebaliknya kerana ia memberi kesan kepada masyarakat.



“Jangan bertindak sendiri dan orang awam yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Sabak Bernam (0332242222) atau melalui Bahagian Hal Ehwal Awam IPD Sabak Bernam, Asisten Superintendan, Iek Ren Chong (0192825748),” katanya.

No comments:

Post a Comment