PORT KLANG, 18 Januari – Penyambungan Laluan LRT Kelana Jaya ke Putra Heights, yang dijadualkan beroperasi pada pertengahan tahun ini, bukan saja akan meningkatkan lagi kemudahan ketersambungan dan jarak perjalanan; tetapi juga memberikan tahap keselesaan dan keselamatan yang lebih tinggi kepada pengguna dengan pengenalan tren generasi baru Bombardier INNOVIA Metro 300.
Diperkenalkan kepada media massa di sini hari ini, tren-tren generasi baru ini bukan saja bersaiz lebih luas untuk meningkatkan kapasiti dan tahap keselesaan; tetapi juga dipermantapkan dengan ciri-ciri tambahan dari aspek keselamatan dan sistem maklumat penumpang eletronik.
Selain mempunyai reka bentuk yang lebih dinamik untuk menyerlahkan penampilan yang lebih hebat, ia memiliki bahagian hujung tren atau ‘end cab’ yang lebih aerodinamik dengan bahagian cermin depan dan belakang yang lebih luas untuk penglihatan yang lebih baik bagi menikmati pemandangan sepanjang perjalanan.
Berbeza dengan tren-tren yang digunakan untuk LRT Laluan Kelana Jaya sekarang, setiap gerabak tren dipasang empat unit kamera litar tertutup atau CCTV; sekali gus menyediakan 16 unit kamera CCTV yang boleh membuat rakaman untuk satu tren.
Setiap gerabak juga dipasang dengan kemudahan Sistem Informasi Penumpang atau ‘Passenger Information System (PIS)’, yang boleh menyediakan kemudahan infortainment untuk hiburan dan maklumat kepada para penumpang.
Setiap gerabak turut dilengkapi dengan Peta Laluan Dinamik atau ‘Dynamic Route Map’, yang akan memberi maklumat tentang arah perjalanan, stesen-stesen sebelum dan selepas serta stesen seterusnya.
Berbeza juga dengan tren-tren Bombardier Hartasama yang digunakan untuk LRT Laluan Kelana Jaya sekarang, Bombardier INNOVIA Metro 300 turut dilengkapi dengan Sistem Pelinciran Roda atau ‘Wheel Lubricating System’, yang akan mengurangkan kesan bunyi sepanjang pergerakan tren.
Setiap gerabak turut dilengkapi dengan kemudahan ‘intercom’ penumpang untuk komunikasi audio dengan Pusat Kawalan dengan ruang khas untuk kerusi roda untuk golongan kelainan upaya atau OKU.
Majlis pengenalan tren baru Bombardier INNOVIA Metro 300 ini telah diadakan di fasiliti Hartasuma, yang bertanggungjawab menyiapkan bahagian dalaman tren berkenaan dan menjadi rakan kongsi kepada Bombardier untuk kontrak menyediakan 14 set tren empat-gerabak ini untuk Prasarana Malaysia Berhad di bawah projek Kuala Lumpur Additional Vehicle (KLAV).
Kerja-kerja di Hartasuma melibatkan pemasangan sepenuhnya bahagian dalaman tren termasuk sistem dalam tren untuk keselamatan dan komunikasi. Setelah siap, ia akan dihantar ke Depot LRT Laluan Kelana Jaya di Subang pada akhir bulan ini untuk menjalani proses ujian dan persijilan sebelum diserapkan masuk ke dalam perkhidmatan apabila laluan sambungan LRT Kelana Jaya dibuka pada Jun ini.
Majlis pengenalan Bombardier INNOVIA Metro 300 ini telah dihadiri oleh Pengerusi Kumpulan Prasarana Tan Sri Ismail Adam, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Dato’ Azmi Abdul Aziz dan Pengarah Urusan Hartasuma, Datuk Abdul Rahman Abdul Halim.
Turut hadir adalah Encik Pierre Attendu, Presiden, Divisyen Sistem & Asia/Australia Bombardier Transportation.
Direka, dibangun dan diuji di Bombardier’s Centre of Competence for Mass Transit Systems di Kingston, Kanada, tren pertama model INNOVIA Metro 300 ini sampai di Malaysia pada 18 Disember tahun lalu selepas lebih dua bulan perjalanan melalui laut. Tren-tren ini dihantar ke Malaysia secara berperingkat dengan tren kedua dijadual tiba akhir bulan depan. Tren ke 14 dan yang terakhir akan dihantar dari Kanada pada Mac tahun depan.
KLAV adalah bagi menyokong Projek Penyambungan Jajaran LRT atau ‘LRT Line Extension Project’ untuk Laluan Kelana Jaya, yang melibatkan penyambungan jajaran LRT dari stesen Kelana Jaya yang ada sekarang ke Putra Heights. Laluan tambahan ini akan menyediakan perkhidmatan untuk kawasan Lembah Subang, Ara Damansara, Glenmarie Shah Alam, USJ dan Subang Jaya.
Projek LEP turut melibatkan penyambungan jajaran LRT Laluan Ampang; dari stesen Sri Petaling ke Putra Heights, yang merupakan stesen yang mengintegrasikan kedua-dua laluan ini. Empat stesen baru LRT Laluan Ampang telahpun dibuka pada 31 Oktober tahun lepas iaitu stesen-stesen Awan Besar, Muhibbah, Alam Sutera dan Kinrara BK5.
Untuk projek LEP Laluan Ampang, 20 unit tren enam-gerabak baru telah dibeli daripada CSR Zhuzhou Electric Locomotive Company, China. Sebanyak 30 lagi unit tren yang sama turut dibeli untuk menggantikan tren-tren yang digunakan sekarang.
Berbeza dengan LRT Laluan Ampang, perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya akan terus menggunakan tren-tren dua-gerabak dan empat-gerabak, yang mula digunakan sejak 2010. Tren-tren dua-gerabak, yang mula digunakan sejak 1998, pula telah dihantar untuk pembaikan semula atau ‘mid-life refurbishment’.
1 comment:
Hartasuma
http://www.2427junction.com/66a-1kj15.jpg
Post a Comment