KL CHRONICLE: MIC optimis rampas kembali kerusi DUN Bagan Dalam melalui J.Dhinagaran #kltu #jbtu #GE14 #PRU14

Saturday, May 5, 2018

MIC optimis rampas kembali kerusi DUN Bagan Dalam melalui J.Dhinagaran #kltu #jbtu #GE14 #PRU14


SEJAK kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Dalam diperkenalkan 14 tahun lalu, Barisan Nasional (BN) seperti telah memberi mandat kepada MIC untuk bertanding kerusi tersebut setiap kali pilihan raya umum.

Bagaimanapun, hingga ke hari ini, hanya mendiang Datuk P.K. Subbaiyah yang juga bekas Pengerusi MIC Pulau Pinang mampu memenangi kerusi itu walaupun untuk tempoh satu penggal iaitu ketika PRU-11 pada 2004.



Subbaiyah yang dicalonkan pada PRU empat tahun berikutnya bagaimanapun gagal mempertahankan kerusi itu selepas tewas di tangan calon DAP ketika itu, A. Thanasekharan.

Kegagalan itu berterusan pada PRU yang lalu apabila seorang lagi calon MIC, M. Karuppanan juga kecundang kepada lawan yang sama iaitu Thanasekharan.

Kini, selepas 14 tahun berlalu, gelombang kebangkitan khususnya dalam kalangan masyarakat India di Bagan Dalam mulai dirasai.

Buktinya, Dewan Creative yang terletak di Jalan Bagan Luar, Butterworth penuh sesak dengan orang ramai malam tadi khususnya kaum India sempena kehadiran Presiden MIC, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam pada majlis makan malam di situ.

Subramaniam ketika ditemui pemberita selepas majlis itu pula dengan penuh yakin memberitahu beliau mahu melihat MIC kembali menawan DUN berkenaan pada PRU-14.

“Kemenangan itu pastinya satu kenangan manis buat MIC kerana kita tidak ada wakil untuk Pulau Pinang sejak 2008,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau turut memuji gerak kerja parti di Bagan Dalam yang diterajui penyelaras MIC untuk DUN berkenaan yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) MIC Pusat, J. Dhinagaran.

“Penyelaras kita (Dhinagaran) dah kerja lama untuk mendapatkan sokongan rakyat di sini,” katanya sambil disambut sorakan daripada kumpulan penyokong Dhinagaran.

Kelibat sekumpulan anak muda yang memakai baju T bertulis ‘Team Dhinagaran’ turut mencuri tumpuan sebahagian besar hadirin dengan sorakan bersemangat mereka pada malam itu.

Biarpun tidak begitu ramai, namun, kesungguhan yang terpancar pada wajah mereka membuktikan mereka bersedia menggerakkan kempen BN dan MIC pada PRU kali ini dengan lebih gigih.

Apapun, setidak-tidaknya, kehadiran mereka telah memberi isyarat jelas MIC Pulau Pinang sudah bersedia untuk kembali menawan kubu yang pernah menjadi milik mereka sebelum ini. – UTUSAN ONLINE

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/politik/mic-optimis-rampas-kembali-kerusi-dun-bagan-dalam-1.652038#ixzz5Ea92jmHf 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget