KL CHRONICLE: Suntikan semangat untuk Rapid Rail perhebat prestasi

Sunday, April 16, 2017

Suntikan semangat untuk Rapid Rail perhebat prestasi

Dato’ Ir Zohari menerima anugerah daripada Presiden IEM Ir. Tan Yean Chin atas sumbangan Rapid Rail untuk industri kejuruteraan.

SUNTIKAN SEMANGAT UNTUK RAPID RAIL PERHEBAT PRESTASI

KUALA LUMPUR, Rapid Rail, anak syarikat Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), mendapat suntikan semangat untuk terus memacu transformasi urban rel negara apabila menerima pengiktirafan daripada Institut Jurutera-jurutera Malaysia (IEM/Institution of Engineers Malaysia) atas sumbangannya dalam pembangunan industri kejuruteraan dan tenaga di negara ini.




Syarikat yang mengendalikan penyelenggaraan dan operasi LRT Laluan Kelana Jaya, LRT Laluan Ampang, LRT Laluan Sri Petaling dan perkhidmatan monorel serta MRT Laluan Sungai Buloh – Kajang, itu memiliki bilangan jurutera berkelayakan lebih 200 orang.

“Misi kami adalah untuk mendapatkan lebih ramai jurutera di Rapid Rail untuk didaftarkan sebagai ‘jurutera profesyenal’ di bawah Lembaga Jurutera Malaysia (BEM/Board of Engineers Malaysia) dan IEM. Kami juga sentiasa berusaha untuk membantu juruteknik yang bekerja dengan Rapid Rail untuk meningkatkan karier masing-masing ke tahap jurutera,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Dato’ Ir. Zohari Sulaiman, yang mewakili Rapid Rail malam tadi untuk menerima Anugerah IEM untuk Sumbangan kepada Industri Kejuruteraan di Malaysia – Pengangkutan pada Majlis Makan Malam dan Anugerah IEM ke 58 di sini malam tadi (Sabtu, 15 April 2017).

Di samping perkhidmatan rel Rapid KL di Lembah Klang, Rapid Rail turut mengendalikan penyelenggaraan dan operasi Al Mashaaer Al Mugaddassah Metro Southern Line (MMMSL), Mekah, yang dianggap operasi tren paling mencabar di dunia kerana perlu menggerakkan ratusan ribu jemaah haji pada satu masa.

"Anugerah IEM ini amat bermakna Rapid Rail. Ia adalah pengiktirafan sebuah badan profesyenal terhadap kemampuan Rapid Rail dan wargakerjanya dalam memacu industri kejuruteraan canggih yang bertaraf dunia. Anugerah ini pasti akan menyuntik kebanggaan dan nilai tambah kepada Rapid Rail untuk terus bersikap positif dalam apa jua program dan tugasannya.

“Di Rapid Rail, kami sentiasa berusaha untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan untuk kemudahan dan keselesaan para pelanggan. Sejak beberapa tahun lepas, tahap ‘reliability’ perkhidmatan rel Rapid KL adaah di tahap 99.7 peratus. Aspirasi kami tahun adalah untuk menaikkan peratusan itu sehampir mungkin kepada 100 peratus.

“Pengiktirafan daripada IEM ini diharapkan dapat menguatkan lagi semangat seluruh wargakerja Rapid Rail untuk mencapai sasaran itu. Kami mengakui bahawa ianya bukan mudah kerana terdapat pelbagai cabaran yang perlu dihadapi oleh para jurutera, juruteknik dan staf-staf sokongan lain untuk mendapatkan perkhidmatan bebas 100% daripada masalah teknikal,” kata Zohari.

Katanya lagi, anugerah berkenaan adalah pengiktirafan kepada Rapid Rail untuk sumbangannya dalam memartabatkan industri tenaga negara kerana penggunaan tren yang mesra alam.

“Oleh kerana semua tren Rapid KL adalah tren-tren elektrik sepenuhnya, kami menyumbang kepada industri tenaga negara. Tetapi, bagi saya, perkara yang lebih penting lagi adalah penggunaan tren-tren ini menyerlahkan kepakaran pasukan kejuruteraan kami dalam mengendalikan pelbagai sistem dan teknologi di seluruh dunia.

“Ini diserlahkan lagi dengan keupayaan Rapid Rail dan Prasarana dalam mengendalikan dengan jayanya operasi MMMSL di Tanah Suci Mekah. Walaupun menggunakan sistem dan teknologi yang berbeza, staf Prasarana telah menjalankan kerja mereka dengan cemerlang sejak mengambil alih operasi ini pada 2015.

“Tahun lepas, pada tahun kedua operasi MMMSL oleh Prasarana, ia telah dijulang sebagai perkhidmatan yang terbaik dalam sejarah MMMSL sejak ia dimulakan pada 2010 pada tahap kepuasan pelanggan 98 peratus. Aspirasi kami adalah untuk menaikkan lagi peratusan ini,” kata Zohari.

Sebelum ini, Rapid Rail telah dinobatkan sebagai Operator Terbaik Rel 2015 oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) di samping pelbagai lagi anugerah inovasi dan kecemerlangan di peringkat nasional dan antarabangsa pengangkutan urban rel.

Rapid Rail turut mempunyai Akademi Rel yang bertauliah di bawah Program Latihan Dual Nasional Kementerian Sumber Manusia dan mengendalikan latihan untuk staf dan pegawai rel luar negara termasuk Nigeria, Arab Saudi dan Indonesia. 

TAMAT

No comments:

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget