KL CHRONICLE: @VellPaari : Akta 355: Beranikah @DAPMalaysia letak jawatan di Selangor?

Sunday, March 19, 2017

@VellPaari : Akta 355: Beranikah @DAPMalaysia letak jawatan di Selangor?


Bendahari Agung MIC, Datuk Seri S Vell Paari berkata, DAP menunjukkan sikap hipokrit kerana lantang menentang pindaan Akta 355 di khalayak ramai tetapi terus bekerjasama dengan PAS dalam pentadbiran kerajaan negeri Selangor.

"DAP terbukti hipokrit dengan tidak meminta PKR untuk menyatakan pendirian mengenai pindaan akta tersebut. Sehingga hari ini, rakyat tidak tahu sama ada PKR akan menyokong atau menentang pindaan tersebut.



"Katakanlah, jika ahli Parlimen PKR sokong pindaan itu, apakah DAP akan letak jawatan daripada kerajaan negeri Selangor untuk nyatakan tidak puas hati dengan PKR.

"Pasti DAP tidak akan berbuat demikian kerana kepentingan mereka adalah untuk mendapatkan kuasa dengan apa cara jua," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang sebelum ini yang mendesak empat pemimpin kanan parti komponen BN meletakkan jawatan sebagai menteri jika kerajaan memberi laluan agar usul pindaan berkenaan dibahaskan di Parlimen.

Pindaan Akta 355 bertujuan meningkatkan had hukuman oleh Mahkamah Syariah kepada penjara 30 tahun, denda RM100,000 dan 100 sebatan.

Ia pertama kali dibentangkan Anggota Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang juga presiden PAS dalam bentuk rang undang-undang persendirian dan kini berada pada kedudukan keenam dalam aturan urusan mesyuarat Dewan Rakyat kali ini.
Mengulas lanjut, Vell Paari berkata, desakan Lim itu tidak masuk akal kerana parti yang membentangkan pindaan ini adalah PAS yang mempunyai ikatan dengan DAP menerusi kerajaan negeri Selangor.

"Para pemimpin BN sehingga hari ini menyatakan pendirian yang jelas bahawa tidak mempunyai apa-apa hubungan peringkat parti mengenai kerjasama dengan PAS dalam mana-mana kerajaan negeri," katanya.

Harus dan perlu diingat bahawa Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng yang kemaruk kuasa dan ingin menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional pada pilihan raya yang lepas menyokong PAS sehingga membawa kepada keadaan hari ini, ujar beliau.

No comments:

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget