KL CHRONICLE: #DemiRakyat Kerajaan sedang kaji harga siling bagi minyak kenderaan

Friday, February 10, 2017

#DemiRakyat Kerajaan sedang kaji harga siling bagi minyak kenderaan


Kerajaan tidak akan kembali kepada cara lama iaitu subsidi pukal harga minyak yang menyaksikan semua orang menikmati bantuan kerajaan walaupun sebenarnya mereka tidak layak.

Sebaliknya penetapan harga siling minyak antara pilihan yang sedang dipertimbangkan kerajaan untuk menangani isu harga minyak meningkat.

Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, di beberapa negara maju, kerajaan akan membiarkan harga minyak terapung, dan penggiat industri minyak dan gas akan menentukannya.



"Apabila kami (kerajaan) telah membuat keputusan mengenai harga siling, sama ada mereka (penggiat industri minyak dan gas) mahu menjual minyak pada harga rendah bagi tujuan promosi, kami menyerahkannya kepada mereka. Ini antara pilihan yang kami sedang teliti," katanya.

Johari berkata demikian kepada pemberita sempena Sambutan Tahun Baru Cina 2017 anjuran Persatuan Rangkaian Runcit Malaysia (MRCA) di sini semalam.

Beliau berkata kerajaan juga perlu berhati-hati sama ada dasar itu menjadi masalah kepada mereka yang tinggal di luar bandar.

"Kami bimbang penggiat industri akan lebih memberi tumpuan untuk mendapatkan hasil daripada pengguna di bandar, dan tidak mahu melakukan perkara yang sama kepada mereka yang di luar bandar. Kami perlu berhati-hati mengenai ini juga," katanya.

Mengenai pengenalan semula subsidi bahan api, Johari berkata, ia tidak baik kepada ekonomi Malaysia dan tidak mampan.

"Kami sedar mengenai harga minyak. Kami akan memantaunya. Jika ia terus meningkat dan jika ada pendapatan tambahan, saya rasa kerajaan boleh mempertimbangkan bentuk bantuan kepada kumpulan berpendapatan rendah, tetapi bukan golongan berada," katanya.

Beliau berkata kerajaan akan mengeluarkan satu mekanisme.

"Bagaimanapun, buat masa ini tiada formula lagi, tetapi kerajaan telah memutuskan bahawa ia tidak boleh mengembalikan dasar ini (subsidi)," katanya.

Johari berkata kerajaan mengambil kira kos sara hidup dan mengenal pasti tekanan kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40).

Menurut Laporan Ekonomi 2015/2016, kumpulan B40 terdiri daripada isi rumah dengan pendapatan bulanan sehingga RM3,855.

Beliau berkata jika Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) tidak mencukupi, kerajaan akan mempertimbangkan untuk meningkatkannya bagi mengurangkan kesan kenaikan harga minyak.

"Bagaimanapun, jika harga minyak merosot pada masa akan datang, kerajaan perlu mengambil semula BR1M. Ini adalah pemboleh ubah dan formula yang kerajaan perlu ambil," katanya.

Katanya dari segi harga minyak, negara lain berkongsi nasib yang sama.

"Kami tidak dapat mengawal harga, dan apabila harga meningkat, harga minyak Malaysia alami kenaikan yang sama," katanya.-10/2/2017

No comments:

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget