KL CHRONICLE: Tabung Haji sudah mulakan tindakan undang-undang ke atas @RafiziRamli - Asyraf Wajdi

Saturday, November 5, 2016

Tabung Haji sudah mulakan tindakan undang-undang ke atas @RafiziRamli - Asyraf Wajdi



MENJAWAB CABARAN SAMAN YB RAFIZI RAMLI


1. Saya merujuk kepada surat YB Rafizi Ramli bertarikh 4 November 2016 berkaitan cabaran saudara yang mengkehendaki saya menyaman saudara YB Rafizi Ramli berhubung tuduhan menfitnah TABUNG HAJI (TH) atau berdebat secara terbuka dengan saudara sekiranya saya atau pihak TH tidak memfailkan saman dalam tempoh 7 hari.



2. Untuk pengetahuan semua, pihak TH telahpun membuat laporan polis di bawah Kanun Keseksaan Seksyen 499 kerana telah memfitnah TH. YB Rafizi sendiri memperakuinya dan saya difahamkan siasatan pihak polis telah mendapati wujud kes jenayah fitnah atau 'criminal defamation'. Pihak Peguam Negara telah pun memfailkan pertuduhan Jenayah Fitnah di bawah seksyen 500. Di bawah seksyen ini, jika disabit kesalahan, saudara YB Rafizi boleh DIPENJARA tidak lebih 2 TAHUN atau DENDA atau kedua-duanya sekali.

3. Justeru tidak perlulah saudara YB Rafizi Ramli menunggu sehingga 7 hari untuk mendapatkan jawapan daripada saya untuk mengambil tindakan undang-undang atau menyaman saudara kerana TABUNG HAJI telahpun mengambil tindakan undang-undang saman jenayah terhadap perbuatan fitnah saudara. Untuk makluman juga saman jenayah lebih berat berbanding dengan saman sivil. Biarlah proses perbicaraan di mahkamah yang mulia kelak menentukan sama ada saudara bersalah atau tidak.

4. Saya percaya cabaran saudara untuk saya menyaman atau berdebat tidak lebih daripada gimik politik bagi mengalihkan perhatian rakyat terhadap hukuman denda RM200,000 yg telahpun diputuskan oleh mahkamah atas kesalahan saudara menfitnah syarikat NFC baru-baru ini.



5. Buat akhirnya sebagai saudara seislam saya hanya boleh mendoakan agar saudara diberikan hidayah oleh Allah SWT agar menginsafi segala tindakan fitnah saudara sebelum ini terhadap TH sehingga mendorong 3954 pendeposit menutup akaun mereka, bahkan ada yang terlepas giliran haji hanya kerana terpengaruh dengan fitnah saudara terhadap TH.



 6. Saya juga dengan rendah diri menasihatkan saudara dan rakan-rakan saudara supaya dapat menghentikan kerja-kerja menghasut yang telah dan sedang dilakukan selama ini sepertimana yang saudara sendiri akui. Ia hanya mengundang kemudaratan kepada rakyat dan Negara keseluruhannya. Politik menghasut bukanlah amalan politik matang, berakhlak dan berilmu. Malah fitnah yang dinyala dan disemarakkan telah terbukti telah memudaratkan banyak pihak. Marilah kita sama-sama membudayakan politik baru berteraskan adab dan ilmu yang menjadi teras kepada amalan Politik Islam demi kesejahteraan negara dan tanahair yang sama-sama kita cintai.

Saudaramu SeIslam,
DR ASYRAF WAJDI DUSUKI (DAWD)
Timbalan Menteri (Hal Ehwal Agama)
Jabatan Perdana Menteri

No comments:

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget